04 December 2013

Banjir: Pemuda PAS tubuh JK Khas, tabung dana

30 Muharram 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengarahkan Dewan Pemuda PAS negeri-negeri membentuk satu jawatankuasa bancana alam bagi membantu mangsa banjir di beberapa negeri yang terlibat.


Menurut ketuanya Suhaizan Kaiat, pihaknya memandang serius perkembangan banjir di beberapa buah negeri di semenanjung Malaysia khususnya di Pahang, Terengganu dan Johor.
"Atas keprihatinan itu, DPPM mengarahkan Dewan Pemuda PAS Negeri-negeri terutama di negeri terlibat membentuk Jawatankuasa Bencana Alam yang diketuai oleh seorang Ketua Operasi Bencana Alam Pemuda Negeri.

"Peranannya adalah untuk menerima maklumat banjir seluruh negeri, menyusun gerakerja membantu mangsa banjir, menjadi penghubung di antara pihak pemuda dengan pihak luar dan mengambil tindakan yang perlu berkaitan banjir," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga mengarahkan pemuda negeri untuk membuka bilik gerakan banjir dengan sesegera mungkin dan jawatankuasa yang dibentuk perlu mengadakan kerjasama dengan Badan Perhubungan PAS Negeri-negeri bagi mengoptimumkan tindakan dan gerak kerja.

Bagi tujuan itu juga, DPPM juga melancarkan Tabung Derma untuk membantu mangsa banjir dan ianya boleh disalurkan melalui Tabung Kemanusiaan Pemuda melalui akaun Maybank: 564025400100

Selain wang ringgit, sumbangan dalam bentuk peralatan dapur, selimut, bantal serta pakaian juga dialu-alukan.

Dalam pada itu Jabatan Amal Malaysia bersama Jabatan Amal Negeri-negeri juga diarahkan mengadakan kerjasama dengan Jawatankuasa Bencana Alam DPPN dan diminta menurunkan anggotanya ke lokasi banjir bagi memantau dan membantu mangsa terlibat.

DPPM juga telah melantik Ketua Bilik Gerakan Banjir DPPM yang diketuai oleh Pegawai DPPM, Yusapiza Ya’acob. 

Segala maklumat semasa daripada Ketua Operasi Bencana Alam seluruh negara perlu di laporkan melalui nombor talian hotline: 017 2692944.



Harakahdaily

No comments: