04 Disember 2013

'R' Kelantan pertemuan MB, PM positif buat rakyat

30 Muharram 1435H. [MOD] -
KOTA BHARU: Pertubuhan Royalti (R) Kelantan mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob kerana berjaya mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak pada 28 November lalu di Putrajaya.


Pengerusinya, Nazri Deraman berkata rakyat menyambut baik pertemuan itu dengan perasaan penuh syukur.

Katanya, paling penting pertemuan antara keduanya dapat mengeratkan hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Kami berharap soal politik kepartian tidak menjadi agenda utama, sebaliknya kepentingan rakyat yang perlu diutamakan demi menjaga kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Menurutnya, rakyat telah menyerahkan amanah itu kepada semua pimpinan untuk melaksanakan pelbagai program, projek untuk mereka.

Pada masa yang sama R Kelantan berharap beberapa perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu dilaksanakan seperti tuntutan royalti petroleum 1975.

Jelasnya, selain itu cadangan pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai yang telah dibincangkan juga sewajarnya dilaksanakan setelah pelaksanaan yang dicadangkan melebihi 25 tahun sudah.

“Berdasarkan masalah sosial dan jenayah yang makin berleluasa sekarang ini, diharapkan kerajaan Pusat juga turut memberi laluan pada kerajaan Kelantan untuk melaksanakannya menerusi Enakmen Kanun Jenayah Syariah II,” ujarnya.

Sehubungan itu, Nazri turut mencadangkan kedua pihak melalui agensi pelaksana masing-masing mengambil inisiatif yang proaktif sebagai memenuhi kejayaan pertemuan itu.



Harakahdaily

Tiada ulasan: