PETALING JAYA: Sampah sarap dan sisa buangan yang terjatuh dari trak dan lori di lebuh raya PLUS menyebabkan kemalangan berlaku hampir setiap hari, dengan jumlah kemalangan meningkat setiap tahun.
Kargo dibelakang kenderaan berat itu yang diletakkan dalam keadaan tidak selamat atau cebisan tayar pecah, sering berada di tengah-tengah jalan raya sehingga menyebabkan pemandu lain sudah terlambat untuk mengelak.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Noorizah Abd Hamid berkata 292 kemalangan jalan raya dilaporkan berlaku di lebuh raya PLUS dari Januari hingga Oktober lalu.
Kadar kemalangan yang disebabkan sisa buangan tersebut turut meningkat: dari 231 kes pada 2011 kepada 285 pada 2012, dengan purata dua kematian setiap tahun sejak 2008.
"Tiga peratus daripada kemalangan di lebuh raya itu disebabkan oleh halangan-halangan seperti ini. Ia tidak sepatutnya berlaku. Sisa buangan itu tidak sepatutnya berada di atas lebuh raya," kata Noorizah kepada The Star.
Kebanyakannya, sisa buangan itu datang dalam bentuk cebisan tayar pecah, bahan sekerap, batu atau papan.
Bagaimanapun, sisa buangan itu yang terjatuh dari lori turut menyebabkan kesesakan lalulintas yang teruk.
"Kami menjumpai sofa dan tilam di tengah-tengah jalan raya. Malah, ada sekali seekor lembu memasuki lebuh raya dari sebuah lori yang dalam perjalanan ke pusat penyembelihan," kata Noorizah.
Beliau turut merujuk kepada kemalangan yang berlaku pada 18 Januari 2011, apabila duit syiling berjumlah RM75,000 bertaburan di atas lebuh raya Utara-Selatan selepas kemalangan dan menyebabkan pengguna jalan raya berebut-rebut untuk mengutip duit tersebut.
Kemalangan seperti ini turut dilaporkan di beberapa lebuh raya lain.
Pada 26 Disember lalu, sebuah lori membawa muatan 34 tong asid terbabas lalu terbalik, menyebabkan tumpahan di Jalan Machang-Kota Baru di Kelatan.
Menurut Noorizah, terdapat juga kemalangan membabitkan lori yang membawa muatan sayur-sayuran dan beras terbalik di lebuh raya tersebut.
Dalam kes ini, PLUS akan menutup laluan di lebuh raya itu manakala pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (Propel) akan dipanggil untuk mengawal keadaan.
Noorizah berkata, anggota PLUS Ronda akan memantau lebuh raya sepanjang 25km dari kedua-dua arah, sentiasa memeriksa jika terdapat sisa buangan di atas lebuh raya dan memberi maklum balas terhadap empat aduan setiap hari.
Kira-kira 400 anggota PLUS Ronda diperlukan untuk bergegas ke mana-mana lokasi di lebuh raya tersebut dalam tempoh kurang daripada 25 minit.
Jelas Noorizah, proses untuk membersihkan sampah sarap atau sisa buang di lebuh raya memerlukan bantuan polis, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
PLUS merekodkan purata 89,000 lori dan trak menggunakan lebuh raya Utara-Selatan setiap hari.
PLUS mendapati laluan Tanjung Malim-Bukit Lanjan dan Machap-Skudai mencatatkan rekod kemalangan tertinggi akibat sisa buangan atau sampah sarap yang terjatuh di lebuh raya Utara-Selatan.mStar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan