Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menantikan pendirian Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak tentang pandangan dan nasihat agar mengubah cara Sambutan Malam Tahun Baru yang biasa diadakan dengan hiburan seperti konsert yang menyumbang kepada maksiat. Bermula dengan pandangan daripada Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Jamawi Jaafar meminta agar cara sambutan diubah dan yang terbaru nasihat daripada Mufti Negeri Perak, Tan Sri Dr Haji Harussani Haji Zakaria agar mencegah bentuk hiburan yang cenderong ke arah maksiat.
Kami acap kali, mengharapkan sambutan yang dianjurkan terutamanya oleh Kerajaan Negeri Perak dan juga syarikat swasta mesti mengikut garis panduan daripada Jabatan Mufti Negeri Perak. Ianya termasuk usaha pencegahan dengan penguatkuasaan yang dijalankan pada malam sambutan. Kami cukup bimbang dengan suasana yang ada dan mengharapkan Badan-Badan Bukan Kerajaan, Pertubuhan Persatuan, individu-individu untuk bersuara dan membantah jika pihak kerajaan negeri tidak mengambil perhatian tentangnya. Kami yakin dengan desakan ini akan mengubah pendirian kerajaan negeri untuk mengetatkan penguatkuasaan.
Sebenarnya, kerajaan negeri mampu bertindak dengan bidang kuasa yang ada dan ianya terletak ditangan kerajaan negeri sama ada hendak bertindak atau sebaliknya. Sebarang kelulusan dan kebenaran mestinya datang daripada pihak berkuasa dan kerajaan yang memerintah. Bagi kami, Jamawi selayaknya memegang jawatan sebagai Naib Ketua Pemuda Umno berbanding Khairul Azwan Harun yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Perak dahulu. Kami juga menantikan respon Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abd Kadir atas nasihat Tan Sri Harussani kerana kerajaan negeri turut menganjurkan sambutan tahun baru tersebut.
Kami dengan ini mengajak semua pihak untuk bersama-sama kami pada sambutan tahun baru kali ini dengan mengadakan expedisi dakwah. Kami juga menjemput Pemuda Umno Perak untuk bersama dengan expedisi dakwah kali ini agar melihat sendiri golongan muda di luar sana setelah ‘dihidangkan’ dengan konsert dan pelbagai aktiviti. Kami mengharapkan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) tegas dan memastikan penguatkuasaan diadakan pada sambutan malam tahun baru kali ini!
DR RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan