SIBUTI - Hujan lebat yang berterusan menyebabkan kejadian banjir kilat berlaku di beberapa kawasan rendah di sekitar Pekan Niah. Air naik dari sungai berdekatan menyebabkan sistem perparitan tersumbat sebelum air melimpah ke hampir semua jalan utama ke pekan Niah.
Kesesakan teruk berlaku sepanjang laluan utama di sekitar kawasan Institut Memandu Batu Niah akibat banjir kilat. Begitu juga jalan masuk ke Masjid Al-Jabbar Niah terkena banjir kilat menyebabkan penduduk Muslim sukar untuk mengerjakan solat sekiranya air banjir terus melimpah di kawasan masjid tersebut.
Antara kawasan-kawasan lain yang berhadapan dengan banjir kilat di Niah dan Bekenu adalah kawasan Saeh yang melibatkan beberapa buah rumah panjang dan kampung Kelulit dan beberapa kampung di tebing Sungai Sibuti.
Jalan masuk terputus di beberapa rumah panjang di Niah akibat limpahan dari air sungai naik dan jalan masuk ke Rh Ngindang dan kawasan sekitarnya juga terputus hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat. Masalah banjir kilat menyebabkan jalan terputus dan menyekat penduduk dari rumah-rumah panjang tersebut untuk keluar mendapatkan bekalan harian khasnya makanan dari pekan Niah dan Sepupok. Sebahagian besar penduduk di beberapa buah rumah panjang berkenaan tidak mempunyai perahu kerana sudah bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan jalan darat.
Kita mengesa pihak kerajaan dan mereka yang berkenaan segera memberi bantuan yang sewajarnya kepada penduduk yang terlibat kena banjir.
Antara punca banjir kilat ialah air sungai pasang tinggi tidak dapat mengalir terus ke laut apabila bertembung dengan air hujan lebat. Ini akan mengakibatkan banjir berlaku khususnya di kawasan rendah berhampiran laut. Pembangunan pesat tidak terkawal dengan baik, Infrastruktur saliran tidak mencukupi, pembinaan yang menghalang aliran sungai seperti pembinaan jalan tidak mengikut speksifikasi. Pembuangan sampah sarap yang tidak teratur, penyenggaraan sistem perparitan yang tidak sempurna adalah antara punca kejadian banjir kilat berlaku.
Antara cadangan yang perlu diambil perhatian oleh pihak kerajaan untuk mengatasi banjir kilat berulang ialah dengan menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian banjir serta merancang langkah-langkah yang paling berkesan untuk mengatasinya. Mengendalikan program kesedaran awam seperti kempen-kempen kebersihan dan jangan membuang sampah merata tempat terutama ke dalam parit dan sungai. Membina parit yang lebih sempurna agar ianya memudahkan air hujan mengalir ke luar sungai dengan mudah dan lancar.
Kerjasama dengan pihak yang berkenaan untuk mengatasi masalah banjir kilat dengan segera sangat dihargai.
Jofri Jaraiee
PAS Sarawak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan