02 Disember 2013

Tidak pelik ‘pendakwah bebas’ tiba-tiba dimakan ‘serigala’

28 Muharram 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tertarik dengan istilah 'pendakwah bebas' yang selalu disebut-sebut oleh masyarakat. 

“Saya faham maksud bebas tersebut ialah tidak terikat dengan mana-mana fahaman organisasi khususnya politik,” ujar beliau menerusi facebook, semalam.

Tetapi sebenarnya, jelas beliau pendakwah sebenarnya tidak mungkin bebas. 


Dalam arus politik, kata beliau seseorang semestinya mempunyai pendiriannya masing-masing apatah lagi seorang pendakwah yang bertanggungjawab membawa kebaikan kepada masyarakat. 

“Di dalam Islam, cuma ada iman atau kufur. Di akhirat kelak, cuma ada neraka atau syurga. Begitu juga di dunia, yang ada ialah benar atau batil,” ujarnya lagi. 

Tegasnya, seorang pendakwah wajib memilih untuk menyeru manusia kepada kebenaran atau kebatilan. 

“Dia tidak boleh bebas tanpa apa-apa pendirian politik,” kata beliau. 

Beliau berkata, jika dia benar-benar menjadi bebas dari sudut pendiriannya, lambat laun mudahlah ia dimakan oleh 'serigala'.

Justeru, tambah bekas Menteri Besar Kelantan itu tidak pelik jika mana-mana 'pendakwah bebas' tiba-tiba dimakan oleh 'serigala'.


Harakahdaily

Tiada ulasan: