02 December 2013

Wakil rakyat PAS sedia tambah potong gaji

28 Muharram 1435H. [MOD] -
SHAH ALAM: Wakil rakyat PAS Selangor akan terus memberi sumbangan kepada parti dengan potongan gaji sebanyak 30 peratus setiap bulan dan bersedia membuat tambahan ekoran kenaikan gaji bermula tahun 2014. 


Adun Meru, Dr Abdul Rani Othman berkata, selepas pilihan raya umum ke-12 tahun 2008 semua Adun PAS Selangor membuat ketetapan selaras dengan keputusan PAS Pusat menyumbang 30 peratus kepada parti. "Kita telah lakukan potongan gaji sama ada exco dan Adun 30 peratus. 20 peratus untuk tabung negeri dan 10 peratus untuk tabung kawasan," katanya ketika ditemui di lobi Annex, SUK. 

Beliau berkata, sebenarnya pada tahun 2008 Adun-adun PAS yang memberi sumbangan kepada gaji kakitangan yang bekerja di Pusat Khidmat Masyarakat. 

Hal ini kerana katanya, kerajaan negeri hanya memberi gaji kepada kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat setakat RM800 dan ia tidak cukup untuk mereka membiayai kehidupan keluarga. 

"Kita tambah gaji mereka sehingga ada yang mencecah RM1,500. Kita guna duit gaji kita sendiri," katanya. 

Beliau setuju dengan tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menaikkan gaji Adun kerana duit mereka memang diagihkan kepada parti dan rakyat di kawasan masing-masing. 

Menjawab pertanyaan pertukaran Pesuruhjaya PAS Selangor kepada Iskandar A Samad katanya, "Saya tidak ada masalah dan saya telah melakukan sujud syukur apabila mendapat tahu pertukaran itu."

Beliau mengakui boleh menumpukan permasalahan masyarakat di Dun Meru.


Harakahdaily

No comments: