02 Disember 2013

Ustaz Ahmad teruskan kecemerlangan TG Nik Aziz

28 Muharram 1435H. [MOD] -
KOTA BHARU: Pemuda menyifatkan PAS Kelantan merasai kehilangan seorang murabbi apabila jawatan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Pesuruhjaya PAS negeri digantikan Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Setiausaha Pemuda PAS Kelantan, Borhanuddin Ahmad berkata, bekas pesuruhjaya terbabit banyak menyumbang jasa, tenaga, idea malah seluruh kehidupannya untuk memperkuatkan PAS.

“Namun semestinya realiti kehidupan yang perlu diterima. Biar apa pun Ustaz Ahmad juga merupakan sosok peribadi paling layak meneruskan legasi yang ditinggalkan Tok Guru.


“Semoga Allah merahmati Tok Guru Dato' Bentara Setia dan mudah-mudahan pelantikan Ustaz Ahmad sebagai Pesuruhjaya PAS yang baru akan meneruskan kecemerlangan PAS di Tanah Serendah Sekebun Bunga,” katanya di sini.

Pada mesyuarat kali pertama jawatankuasa PAS Pusat malam tadi, Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengumumkan Ustaz Ahmad dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan.

Selain itu Menteri Besar Kelantan juga dilantik Bendahari PAS Pusat, manakala Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah pula dilantik sebagai anggota jawatankuasa PAS Pusat.

“Pemuda PAS Kelantan merakamkan kalungan tahniah kepada Ustaz Ahmad Yakob atas keputusan mesyuarat tersebut. Pelantikan berkenaan merupakan suatu penghargaan besar buat rakyat negeri ini,” ujarnya.

Borhanuddin juga berkata, kehadiran beberapa nama besar dalam jawatankuasa PAS Pusat sebagai suatu amanah bagi mengekalkan kemenangan Islam di Kelantan.

Menurutnya juga model negeri berkebajikan dan Membangun Bersama Islam perlu dilebarluaskan dengan penyertaan tokoh-tokoh baru yang ada kewibawaan masing-masing.

“Semoga Allah merahmati semua pimpinan dan Pemuda PAS Kelantan akan teguh berdiri mempertahankan negeri ini, seiring Pakatan Rakyat menuju Putrajaya, Insya Allah,” katanya.


Harakahdaily

Tiada ulasan: