21 Januari 2014

Anak Rosmah digesa semarakkan filem tempatan

19 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: PAS melahirkan kekecewaan dengan penglibatan anak pimpinan negara yang mendakwa sebagai pemimpin Islam, tetapi dalam masa sama menyebarkan eleman yang bertentangan dengan Islam dan budaya timur.

Pengerusi Lajnah Sukan, Rekreasi dan Kebudayaan PAS Pusat, Dr. Muhaimin Sulam (gambar), menegaskan seharusnya filem sebagai medium berpengaruh yang diterbitkan oleh seorang yang beragama Islam tidak menerapkan elemen negatif yang boleh mencemarkan nama baik negara dan pemimpin negara.


"Sememangnya, penerbit di negara ini amat digalakkan menjalinkan kerjasama dengan pihak antarabangsa seperti Hollywood, Hong Kong dan lainnya, tapi biarlah kita mengikuti dari aspek teknikalnya, persembahannya, dan bukan dari segi moralnya," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas filem tersohor tetapi penuh kontroversi 'The Wolf of Wall Street' yang diterbitkan Red Granite Pictures, syarikat yang dimiliki bersama Riza Aziz yang merupakan anak Datin Seri Rosmah Mansor, daripada perkahwinan pertamanya.

Tegas Muhaimin, biarpun Riza bukanlah pengarah bagi filem terbabit, namun beliau masih boleh memainkan peranannya dengan lebih berkesan, apatah lagi sebagai seorang anak kepada pemimpin negara yang selalu menyebut tentang memelihara kesucian agama Islam.

"Tidak salah jika beliau memberi peranan kepada pelakon utama filem itu, Leonardo DiCaprio sebagai seorang pegawai British yang datang ke Malaysia untuk membantu mencapai kemerdekaan Malaysia, atau apa saja filem yang boleh mengangkat budaya Malaysia di peringkat antarabangsa," tegas Muhaimin yang menyambut baik langkah kerajaan mengharamkan penayangan filem terbabit di Malaysia.

Muhaimin turut mengambil contoh sebuah produksi negara, KRU Studio yang turut menerbitkan sebuah filem, Vikingdom yang turut membabitkan kerjasama dengan pihak antarabangsa, malah dilakonkan pelakon antarabangsa.

"Boleh dikatakan KRU telah membuka jalan untuk mana-mana penerbit bagi menjalinkan kerjasama di peringkat antarabangsa, namun masih memelihara segala elemen-elemen yang terkandung dalam filem tersebut. Walaupun bagi saya ia bukanlah sesuatu yang hebat, tapi masih boleh dicontohi penerbit tempatan," kata beliau.

Malaysia, tambah beliau mempunyai ramai penerbit yang berbakat besar dalam seni ini, namun mungkin tidak mendapat peruntukan yang sewajarnyanya daripada kerajaan, biarpun terdapat beberapa filem yang ditaja kerajaan seperti Hikayat Merong Mahawangsa.

"Namun, saya percaya jika kerajaan mahu melakukannya, tidak mustahil penerbit-penerbit seperti Datuk Rosyam Nor, Datuk Yusof Haslam, malah David Teoh sendiri boleh menghasilkan filem-filem yang berkualiti untuk diangkat ke peringkat antarabangsa," kata Muhaimin lagi.

Dalam pada itu, Muhaimin turut menyarankan agar Riza kembali ke Malaysia untuk sama-sama menyemarakkan industri seni di negara sendiri dengan pengalaman yang diperolehinya sepanjang di Hollywood.

Katanya, pengalaman yang baik dari Hollywood itu wajar diapliksikan di negara ini, namun meninggalkan segala elemen negatif yang tidak bersesuaian dengan norma budaya negara ini.

Harakahdaily

Tiada ulasan: