21 Januari 2014

Satu lagi mayat mangsa bot karam ditemui

19 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
DARO (Sarawak): Pasukan mencari menemui satu lagi mayat mangsa bot panjang terbalik di Batang Lassa di sini hari ini, menjadikan 10 mangsa ditemui lemas dalam tragedi Sabtu lepas.

    
Mayat wanita yang dikenali sebagai Ibong bt Rais, 60, ditemui di Tanjung Bubus, Seberang Daro di sini pada pukul 9.02 pagi.
    
Berikutan penemuan itu, operasi mencari yang diketuai Ketua Polis Daerah Matu Daro DSP Wagner Lisa Libut kini memberi tumpuan untuk mencari mangsa terakhir yang dilapor hilang iaitu seorang lelaki berusia 55 tahun.
    
Dalam kejadian 1 tengah hari Sabtu lepas, sebuah bot panjang yang membawa 27 penumpang terbalik selepas dipukul ombak besar.
    
Ketika kejadian bot panjang itu membawa 27 penumpang berusia lingkungan 23 hingga 69 tahun dari Kampung Tekajong dalam perjalanan pulang ke kampung mereka selepas menghadiri majlis perkahwinan.

Enam belas orang berjaya menyelamatkan diri, tiga ditemui lemas dan lapan lagi hilang. 

- Bernama

Tiada ulasan: