21 Januari 2014

Muhyiddin jelas langkah k'jaan bendung kenaikan harga

19 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
LONDON: Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan Malaysia telah melaksanakan pelbagai langkah dan strategi untuk mengurangkan kenaikan harga dan kos hidup.

    
Beliau berkata satu daripadanya ialah penubuhan jawatankuasa kabinet, dipengerusikan beliau sendiri, untuk memantau kenaikan kos hidup di dalam negara.
    
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada majlis makan malam dengan Majlis Penuntut Malaysia di United Kingdom dan Eire (Ireland) di sebuah hotel di sini pada Isnin malam.
    
Muhyiddin berada di sini untuk lawatan kerja tiga hari ke United Kingdom dari Isnin untuk menghadiri Forum Pendidikan Sedunia 2014, perhimpunan terbesar menteri-menteri pendidikan dan kemahiran di dunia yang dihadiri 97 menteri mewakili 100 negara dari 20 hingga 22 Jan.
    
Menjelaskan isu menjejaskan rakyat itu telah diperdebat secara meluas di tanah air, Muhyiddin berkata antara langkah diambil jawatankuasa kabinet ialah turun padang untuk mengenai pasti punca kenaikan harga berkenaan.

"Kami turun padang untuk meninjau kenaikan harga dan mengenal pasti faktor-faktor yang menyebabkan kenaikan harga barang.
    
"Banyak faktor menyebabkan harga naik. Apa yang menyebabkan kos meningkat - adakah disebabkan dasar-dasar kerajaan atau peniaga tidak bertanggungjawab?" katanya.  
    
Muhyiddin berkata kenaikan harga tidak akan menjejaskan ekonomi negara. Memberikan contoh London, beliau berkata disebalik menjadi antara bandar raya paling mahal di dunia untuk dihuni, ia masih mempunyai banyak tempat  menarik untuk membeli-belah.
    
Beliau berkata jawatankuasa berkenaan akan mengkaji harga berkenaan dan akan campur tangan untuk memastikan rakyat mendapat keadilan.
    
"Isu ini perlu dikendalikan secara holistik," katanya.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan berkata Malaysia perlu terus mempunyai dasar-dasar fiskal yang baik untuk membolehkannya menguruskan situasi itu.
    
"Kami mencatatkan pertumbuhan ekonomi antara lima dan 5.5 peratus. Kami mempunyai dana-dana dan banyak peluang kerja yang telah menarik lebih dua juta pekerja asing ke negara, dengan antara 500,000 dan satu juta daripada mereka pendatang tanpa izin," katanya. 
    
Beliau berkata Malaysia turut menikmati kadar inflasi rendah, antara 2.5 dan 3 peratus, dan telah hampir mencecah tenaga kerja penuh.
    
"Disebalik kejayaan negara dalam menguruskan ekonomi, Malaysia masih perlu berhemah dalam perbelanjaannya dan sepatutnya mencapai defisit fiskal kurang daripada 30 peratus, kata Muhyiddin sambil menjelaskan kerajaan baru-baru ini  mengambil langkah mengurangkan perbelanjaan.
    
"Jika tidak, situasi ekonomi akan memberi kesan kepada rakyat biasa," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan juga terbuka kepada idea dan cadangan pihak lain.
    
Majlis United Kingdom dan Eire (Ireland) atau UKEC secara rasminya diasaskan pada 1995 dan berperanan sebagai platform kepada penuntut Malaysia di rantau ini, di peringkat ijazah pertama dan ijazah lanjutan, untuk berinteraksi.

 - Bernama

Tiada ulasan: