21 Januari 2014

Rakyat Malaysia dinasihati berhati-hati di Bangkok

19 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
BANGKOK: Kedutaan Malaysia di Bangkok semalam menasihatkan rakyat Malaysia yang berkunjung ke bandaraya metropolitan itu agar lebih berhati-hati bila berada di tempat-tempat perkumpulan orang ramai. 

    
Ia juga menasihatkan mereka menjauhkan diri dari kawasan perhimpunan di jalan-jalan utama iaitu; Lumpini, Chaeng Wattana, Asok-Sukhumvit, Ratchaprasong, Pathumwan, Victory Monument dan Lat Phrao. 
    
"Berikutan sekatan jalan raya, anda juga dinasihat menguruskan rancangan perjalanan dengan bijak oleh kerana mungkin berlaku gangguan perjalanan dan bagi mengelakkan ketinggalan penerbangan," katanya dalam satu kenyataan. 
    
Mengenai situasi semasa di Bangkok, ia berkata pemprotes gerakan anti-kerajaan telah mengadakan demonstrasi besar-besaran dipanggil ‘Bangkok Shutdown' (Penutupan Bangkok) sejak 13 Jan dalam usaha untuk memaksa Perdana Menteri sementara Yingluck Shinawatra untuk berundur.  
    
Ketika ketua Jawatankuasa Pembaharuan Demokrasi Rakyat (PDRC), Suthep Thaugsuban mengumumkan bahawa demonstrai itu diadakan secara aman, berlaku peristiwa pertempuran ganas serta jenayah melibatkan senjata dan alat letupan di tempat demonstrasi, katanya. 
    
Kedutaan berkata, pada 17 Jan, sebutir bom meletup di kawasan Banthat Thong mengakibatkan seorang pemprotes maut dan 39 yang lain cedera. 

Setakat ini, sembilan orang terkorban dan hampir 600 yang lain cedera sejak keganasan meletus pada 30 Nov tahun lepas.  
    
Kedutaan berkata pihaknya sedang memantau keadaan dari dekat dan rakyat Malaysia yang melawat Bangkok dinasihatkan sentiasa menghubungi kedutaan dan jika memerlukan bantuan, hubungi nombor-nombor ini: Telefon: +662 629 6800 atau +6687 028 4659 : selepas waktu pejabat. 

- Bernama

Tiada ulasan: