21 Januari 2014

Pengurus Besar, SU Eksekutif PKNS dipindah ke SUK

19 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor sedia maklum tentang laporan meluas oleh media tentang kedudukan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemanjuan Negeri Selangor (PKNS) yang memberi gambaran seolah-olah perkara ini melibatkan kepentingan awam yang mendesak.

 
“Kita berpendapat perkembangan tidak sihat ini berlaku kerana spekulasi yang dibuat oleh pelbagai pihak tanpa merujuk kepada fakta yang sahih,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan.
 
Menurutnya, beliau telah berbincang dengan pegawai kanan kerajaan tentang perkara itu dan menyerahkan surat kuasa kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi untuk melaksanakan tindakan pentadbiran terhadap Pengurus Besar dan Setiausaha Eksekutif Kerja PKNS.
 
Katanya, surat kuasa itu membolehkan Setiausaha Kerajaan Negeri melakukan siasatan dalaman bagi merungkai persoalan yang melibatkan fakta dan undang-undang.

Beliau menjelaskan, bagi melaksanakan siasatan menyeluruh adalah amat sukar jika kedua-duanya masih bertugas di PKNS. 

Justeru, kata beliau Setiausaha Kerajaan telah mengeluarkan arahan kepada dua pegawai itu ditukarkan sementara ke Ibu Pejabat SUK bermula hari ini. 

Ini, ujarnya adalah kerana mereka adalah penjawat awam dan sebarang tindakan perlu mengikut peraturan penjawat awam.
 
Jelas beliau lagi, antara pekara-perkara yang perlu disiasat secara terperinci ialah bagaimana surat pemecatan Ahli Lembaga Pengarah dikeluarkan oleh Pengurus Besar tanpa pengetahuan Menteri Besar selaku Pengerusi PKNS.
 
“Keputusan ini telah saya maklumkan kepada kedua-dua pegawai terlibat dan meminta mereka memberi kerjasama penuh kepada siasatan. Saya juga telah memberitahu keputusan ini kepada Ahli Lembaga Pengarah PKNS dalam mesyuarat sebentar tadi,” ujarnya lagi. 
 
Sementara itu, katanya kedudukan Ahli Lembaga Pengarah PKNS berkenaan kekal seperti yang diarahkan oleh Pengurus Besar PKNS pada 8 Januari lepas untuk mengelak sebarang komplikasi perundangan.


Harakahdaily

Tiada ulasan: