05 Januari 2014

Harga barang: K’jaan perlu tegas bukan sekadar beri amaran

3 Rabiul Awal 1435. [MOD] -

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan diminta mengambil tindakan lebih tegas terhadap pembekal dan 'orang tengah' yang sengaja menaikkan harga barangan dan bukan sekadar member amaran semata-mata.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas) Mohd Ridzuan Abdullah berkata kerajaan perlu memantau aktiviti pembekal dan 'orang tengah' yang dikatakan memonopoli rantaian pasaran sehingga mampu menetapkan harga sesuatu barangan tanpa kawalan.

Sekiranya masalah ini tidak ditangani dengan segera maka isu kenaikan harga barangan akan terus berpanjangan dan orang ramai akan terus menyalahkan kerajaan, katanya pada sidang media di sini semalam.
        
Beliau menegaskan bahawa peniaga kecil tidak boleh dipersalahkan kerana barangan diperoleh daripada pembekal yang kadang kala akan menaikkan harga sesuka hati.         
"Sebagai contoh, sekiranya sesuatu barangan itu yang dahulu berharga RM7 dan kemudian pembekal menaikkan menjadi RM10, bagaimana peniaga mahu menjual lebih murah daripada itu? Akhirnya peniaga dan pengguna akan menjadi mangsa dalam masalah ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Ridzuan berkata Ikhlas akan melancarkan satu program pembangunan usahawan dengan bertujuan menggalak penyertaan usahawan Bumiputera menyertai bidang perniagaan.     
Katanya, pihaknya menyasarkan untuk melahirkan sebanyak 500 usahawan bagi setiap kawasan Parlimen dengan sasaran 111,000 usahawan menjelang 2020.          
"Program ini meliputi usaha untuk memberi khidmat nasihat, bimbingan meliputi aspek mendapatkan modal serta pengurusan perniagaan secara sistematik dan komprehensif kepada peserta," katanya.
 - Bernama

Tiada ulasan: