05 January 2014

Kereta rasmi Guan Eng dibeli dengan diskaun 55%

3 Rabiul Awal 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  terhadap isu pembelian Mercedes-Benz S300L untuk kegunaan rasmi beliau dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam, Guan Eng yakin kerajaan negeri pimpinannya bersih dan beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan.

Kereta rasmi untuk kegunaannya itu, jelas Guan Eng dibeli dengan diskaun 55 peratus dan tidak melebihi harga pasaran apatah lagi membazirkan wang rakyat.
Sehubungan itu, kerajaan negeri jelasnya telah menjimatkan RM358,954.25 wang negeri hasil daripada diskaun yang diperolehi.
Kereta Mercedes Benz S300L model 2012 itu dibeli kerajaan negeri pada harga RM298, 263.75 berbanding harga asal RM657, 218.00.
“Saya mengalu-alukan sebarang siasatan yang dicadangkan oleh SPRM seperti yang dilaporkan oleh portal berita Fz.com… Sama ada SPRM akhirnya akan menyiasat atau tidak, kerjasama sepenuhnya akan diberikan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang…” ujarnya.
Menurut Guan Eng, pembelian kereta rasmi itu dikendalikan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd Jait dengan mematuhi semua prosedur dan undang-undang serta mempunyai dokumen yang sah.
Beliau turut membandingkan pembelian kereta rasmi itu dengan kes pembelian 14 kereta Mercedes E200 dengan harga RM 245,000 seunit oleh Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 2008 dengan kos keseluruhan RM 3.43 juta.
“ Mereka (Kerajaan Terengganu) tidak mendapat diskaun 55 peratus untuk 14 buah kereta Mercedes, tidak seperti diskaun 55 peratus yang diperolehi oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang apabila membeli sebuah kereta Mercedes Benz,” ujarnya.
Hanya di Malaysia akan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana membeli kereta dengan diskaun 55% dan menjimatkan wang rakyat tetapi SPRM jelas tidak berminat untuk menjalankan sebarang siasatan apabila ada pembelian melebihi harga pasaran dan membazirkan wang rakyat.
Ekoran keghairahan media massa pro-BN mempolemikkan isu pembelian kereta rasmi untuk kegunaan beliau, Guan Eng meminta semua pihak agar meneliti Laporan Ketua Audit Negara 2012 menyatakan wujud pembaziran dan salahlaku wang negara berjumlah RM6.5 bilion membabitkan agensi kerajaan pusat antaranya:
  • Peralatan pasukan polis yang bernilai RM1.3 juta hilang termasuk 156 buah gari, 44 pucuk senjata, dan 29 buah kenderaan.
  • Pembelian 20 jam dinding pada harga RM 3,810 seunit oleh Jabatan Penyiaran yang 38 kali ganda lebih mahal daripada anggaran harga pasaran (RM100), dan tiga mesin pengimbas A4 pada harga RM14,670 seunit iaitu 70 kali ganda daripada anggaran harga pasaran (RM200).
  • Penghapusan kasut bernilai RM600,000 oleh Jabatan Kastam kerana tidak sesuai dengan kegunaan pegawai.
  • Bangunan Kompleks Kastam dan Kuarantin Imigresen di Melaka yang dibina atas tanah swasta mengakibatkan kos tambahan RM10.8 juta sebagai pampasan kepada pemilik tanah, ditambah RM40 juta kos pembinaan bangunan yang melonjak kerana kelewatan.
  • Perbelanjaan mewah RM3 juta Kementerian Belia untuk sambutan Hari Belia Kebangsaan, termasuk RM1.6 juta untuk membawa kumpulan K-Pop dari Korea.
  • Kos tambahan RM1.3 bilion bagi projek Empangan Bakun yang bernilai USD 2.3 bilon dan membayar USD 133 juta (RM430 juta) sebagai ganti rugi kepada dua kontraktor asing.
Lim bagaimanapun kesal kerana sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil SPRM untuk menyiasat pembaziran wang rakyat oleh kerajaan BN tetapi bersedia menyiasat kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang menjimatkan wang negeri. 
Harakahdaily

No comments: