06 January 2014

Kudeta halang peguam, keluarga jumpa Morsi

4 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
HARAKAHDAILY
KAHERAH: Ikhwanul Muslimin menyatakan kebimbangan terhadap kesihatan dan keselamatan Presiden Dr Mohamed Morsi yang kini dalam tahanan kerajaan rampasan kuasa yang didalangi tentera.

Dalam satu kenyataan semalam, pihak Ikhwan menempelak sikap pihak pendakwaan yang enggan membenarkan membenarkan keluarga dan peguam bertemu dengan Morsi.

Tindakan tersebut menimbulkan keraguan terhadap keadaan kesihatan semasa presiden Mesir itu.

"Kerajaan rampasan kuasa dan pihak pendakwaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas keselamatan Presiden Morsi," kata mereka dalam satu kenyataan.

"Ini menimbulkan banyak persoalan mengenai keadaan presiden, termasuk rawatan dan keselamatannya, " kata kenyataan itu lagi.

Permintaan yang difailkan oleh peguam Mesir untuk melawat Morsi di penjara Burj al-Arab di Alexandria telah dinafikan oleh pihak pendakwaan negara pada Sabtu lalu atas "sebab-sebab keselamatan."

Bulan lepas, akhbar milik persendirian Al- Masry al-Youm memetik Menteri Dalam Negeri Mohamed Ibrahim sebagai berkata bahawa Morsi tidak dibenarkan untuk bertemu dengan peguam juga atas "sebab-sebab keselamatan."

Morsi telah dibawa ke penjara dengan pengawasan keselamatan maksimum selepas muncul di mahkamah dengan tujuh lagi defendan lain untuk menjawab tuduhan bahawa dia telah menghasut pembunuhan penunjuk perasaan anti-kerajaan akhir tahun lalu.

Beliau kali pertama muncul di mahkamah pada 4 November selepas digulingkan tentera kudeta pada 3 Julai.

Penyokong Morsi bertegas bahawa tuduhan terhadap Morsi dan tujuh lagi pemimpin ikhwan lain sebagai bermotif politik.

No comments: