06 Januari 2014

Kalimah Allah: PAS Gesa Majlis Fatwa Segera Buat Ketetapan

4 Rabiul Awal 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan memanggil sidang khas dan membuat satu ketetapan segera bagi menyelesaikan isu penggunaan kalimah Allah di negara ini.
Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, keputusan Majlis Fatwa yang dibuat dari segi pendirian agama adalah perlu kerana isu ini semakin mengelirukan rakyat terutama penganut agama Islam dan penganut agama Kristian.
"Saya minta Majlis Fatwa Kebangsaan buat satu ketetapan, mana satu yang betul dan selari dengan kehendak agama.
"Adakah keputusan pihak berkuasa agama di Selangor (keputusan yang tepat) atau keputusan oleh Kabinet yang bersetuju bahawa penganut agama Islam di Sabah dan Sarawak menggunakan kalimah Allah," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini, Isnin.

Mahfuz berkata, kegagalan Majlis Fatwa membuat ketetapan akan mengeruhkan lagi keadaan dan akan terus menimbulkan konflik di kalangan penganut Islam dan Kristian di negara ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, orang bukan Islam juga akan mempunyai persepsi negatif terhadap Islam jika ketetapan gagal diambil.
"Sekarang dilihat seolah-olah Islam ini 'double-standard'.
"Mesti ada satu (keputusan) yang betul dan mesti ada (keputusan) yang tak betul...kalau dua-dua betul tak ada masalahlah kita," katanya lagi.
Dalam pada itu beliau turut menegaskan bahawa PAS tetap dengan pendirian mereka sebelum ini bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh sesiapa sahaja selagi tidak disalahgunakan.
Ditanya sekiranya Majlis Fatwa gagal membuat ketetapan, Mahfuz berkata dari segi agama, krisis akan menjadi bertambah teruk jika isu ini berterusan seperti ini.
"Kalau tak boleh tentukan mana satu yang betul, buat apa ada Majlis Fatwa.
"Ini keputusan yang orang tertanya-tanya dan Majlis Fatwa perlu buat ketetapan kerana ia membabitkan agama dan hukum-hakam," katanya lagi.
Pada 14 Disember lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa semua rakyat di negeri itu perlu patuh kepada larangan penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam di bawah Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) 1988.
Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew pada 27 Disember lalu bagaimanapun mencetuskan kontroversi semula apabila berkata semua gereja di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya walaupun Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah mengeluarkan surat peringatan berhubung perkara itu.
mStar/-

Tiada ulasan: