4 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
KANGAR - Polis Perlis menahan seorang lelaki yang terlibat dalam kegiatan ah long atau peminjam wang secara haram dengan berselindung di sebalik perniagaan kedai basikal dan kafe siber sejak lima tahun lepas.
Ketua Polis Perlis Senior Asisten Komisioner Datuk Zull Aznam Haron berkata lelaki berumur 36 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Murni di sini pada 10.30 pagi 3 Januari lepas di bawah Op Cantas Khas hasil maklumat orang ramai.
Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini, beliau berkata dalam tangkapan itu, polis turut menjumpai pelbagai dokumen berkaitan kegiatan ah long termasuk milik kira-kira 80 peminjam yang masih aktif.
Zull Aznam berkata kebanyakan peminjam adalah peniaga kecil di negeri ini dan sempadan Kedah/Perlis yang disenarai hitam oleh bank.
Suspek dikatakan memberi pinjaman hingga RM10,000 kepada para pelanggannya dengan dikenakan faedah 20 peratus sementara bayaran dibuat secara harian atau mingguan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Tanpa Lesen 1951 (Pindaan 2011) manakala suspek ditahan reman hingga Selasa.
Jika sabit kesalahan suspek boleh didenda tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kali kedua boleh dikenakan sebatan.
Zull Aznam berkata pada 23 Disember lepas anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial bersama Majlis Perbandaran Kangar menurunkan 651 poster pinjaman ah long di seluruh negeri. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan