06 Januari 2014

Dataran Merdeka yang tidak merdeka

4 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
ABD SHUKUR HARUN
Dataran Merdeka sebuah nama besar dalam sejarah tanah air. Ia bukan manusia yang boleh berfikir, bernostalgia, gembira, marah dan benci. Ia bukan pemimpin politik yang mengeluarkan pidato yang membakar. Bukan juga seniman yang mengalunkan suara medunya.

Tetapi ia hanya sebidang tanah di tengah jantung Ibu Kota yang digelar Dataran Merdeka, sebuah dataran yang penuh sejarah, menyaksikan jatuh bangun rakyat, di atasnya dikumandangkan perisytiharan kemerdekaan 57 tahun lalu.

Di zaman penjajah British, ia dikenal sebagai padang Kelab Selangor kerana di situ ada kelab tempat golongan elit penjajah British berkumpul, minum-minum ada dan bermain hoki. Namun ada juga segelintir pegawai Melayu yang ‘tumpang semangkuk’ bersantai di kelab itu.

Di depan Dataran Merdeka itu ialah bangunan Sultan Abdul Samad, bendera Union Jack diturunkan dan bendera Federasi Malaya dinaikkan buat pertama kali pada tengah malam 31 Ogos 1957. Sejak itu, Dataran Merdeka menjadi tempat perarakan sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia setiap tahun sejak 1957. Pelbagai acara diadakan di sini. Antaranya ialah Citrawarna dan Larian Merdeka dan pelbagai pesta hiburan.

Namun sejak beberapa tahun lalu Dataran Merdeka telah digegarkan dengan pelbagai himpunan rakyat, antaranya Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 dan di sanalah rakyat meluahkan perasaan mereka, menuntut pengisian erti kemerdekaan dan kebebsan. Himpunan itu, yang sangat berwarna warni, terutamanya deklamasi sajak ‘Unggun Bersih’ oleh Sasterawan Negara, A Samad Said yang menyuarakan perjuangan rakyat menuntut demokrasi yang murni.

UNGGUN BERSIH

Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.
Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.

Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!
Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.

Ia adalah sebuah sejarah yang mungkin dilihat kecil, tetapi penuh erti. Suara seorang sasterawan ternama yang menuntut kebebasan dan demokrasi, diucapkan di malam yang kudus di Dataran Merdeka pada 9 Julai 2011, disaksikan awan, gugusan bintang di langit biru. Bahkan jam besar di Bangunan Sultan Sulaiman, mercu tanda yang pernah berbunyi di malam kesambutan kemerdekaan tanah air 31 Ogor 1957.

Selepas demonstrasi Bersih yang menuntut pilihan raya bersih itu, berlanjutanlah beberapa siri perhimpunan rakyat di dataran tersebut.

Terkini, pada malam 31 Disember lalu, ketika berada di ambang Tahun Baru 2014, suara rakyat, suara orang muda, tiba-tiba meledak di Dataran Merdeka itu. Apa yang telah terjadi, ada yang bertanya. Ya, rakyat membantah kenaikan harga barangan keperluan harian, puluhan ribu ramainya.
Inilah suara rakyat yang disampaikan melalui himpunan di Dataran Merdeka yang kebanyakannya anak muda, dengan tulus menuntut pemrintah berlaku adil kepada rakyat dan jangan menghimpunkan kekayaan kepada segelintir golongan elit semata-mata. Ini selaras dengan tuntutan Islam supaya pemerintah berlaku adil supaya kemakmuran negara dinikmati bersama.

Malangnya, tiba-tiba Mufti Perak, Harussani Zakaria mengeluarkan fatwa karut bahawa mereka yang berhimpun itu adalah ‘bughah’, iaitu menderhaka kerana menentang kerajaan, maka itu darah mereka adalah halal.

Adakah perjuangan rakyat menentang kenaikan harga barang yang menyusahkan kehidupan mereka dianggap penderhaka dan halal darah mereka? Adakah Islam yang  mahu kita tonjolkan sama sekali tidak membenarkan kebebasan berhimpun dan bersuara hingga melaksanakan hak tersebut membolehkan negara mengambil nyawa kita?

Inilah reaksi himpunan rakyat di Dataran Merdeka itu di mana seluruh media yang dikuasai Umno/BN memberian gambaran buruk bahawa himpunan itu haram, jahat dan mahu menggulingkan kerajaan. Pada hal rakyat hanya menuntut penurunan harga barang.

Saya kira, jika Dataran Merdeka ini manusia yang boleh berfikir sudah tentu merasakan simpati dengan tangisan rakyat ini. Namun ia hanya sebuah dataran yang bisu bertemankan jam besar di bangunan Sultan Abd Samad, yang sepanjang sejarahnya, telah menyaksikan pelbagai peristiwa bersejarah.

Itulah Dataran Merdeka, sebuah medan penting tempat perisytiharan kemerdekaan tanah air untuk mendapatkan kebebasan bagi rakyat bagi membentuk jalan hidup mereka sendiri. Malangnya, kini, selepas 57 tahun tanah air kita merdeka, kebebasan rakyat untuk bersuara semakin sukar.

Bayangkan jika para pejuang rakyat yang mahu membela rakyat supaya kehidupan mereka tidak tertekan disebabkan kenaikan harga barang telah dianggap penderhaka dan halal darah mereka, maka kita bertanya apa yang telah terjadi kepada negara ini.

Sebelum ini himpunan rakyat di Dataran Merdeka berdepan dengan kawat berduri yang tajam, polis bertopi merah, gas pemedih mata, tetapi kini bentuk tekanan dan ancaman terhadap mereka yang berhimpun di situ ialah dengan mereka dianggap ‘bughah’, penderhaka dan halal darah mereka. Tentunya ini lebih dahsyat.

Selama ini tentu ada yang mengharapkan bahawa selepas merdeka, Dataran Merdeka akan menjadi medan rakyat untuk menyuarakan hak mereka, tetapi harapan mereka itu tidak kesampaian, justeru Dataran Merdeka dilihat hanya untuk program pesta hiburan, sukan dan memperingati ulang tahun kemerdekaan dengan permainan bunga api. Sekali lagi rakyat kecewa.

Di sini saya teringat ucapan A Samad Said di Himpunan Unggun Bersih pada 9 Julai tiga tahun lalu:
“Kita merindukan suara pemerintah yang waras dan insani; suara pembimbing yang ikhlas dan mengerti. Kita tidak memerlukan suara angkuh dalam era yang sudah terlalu lama sombong ini. Kita mengharapkan tangan pemerintah yang berhemah, sedia memimpin dan berdamai, turut bantu mencipta iklim demokrasi yang harum.

“Memanglah kita mengkhayalkan dunia indah itu, walaupun kenyataan yang terserlah dan mengembang kini sedang menunjukkan di atas kepala kita sentiasa sedia terapung awan kelam yang menjanjikan taufan.”

Itulah perihal Dataran Merdeka yang tidak merdeka. Namun ia dijangka akan menyaksikan lebih banyak lagi himpunan yang meneriakkan dengan nyaringnya suara rakyat.
Harakahdaily/-

Tiada ulasan: