05 Februari 2014

6,000 hektar ladang Kesedar tiada kelulusan

5 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dikenal pasti memajukan kawasan seluas 6,000 hektar tanpa mendapat kelulusan kerajaan negeri.

Manakala keluasan kawasan seluas 2,000 hektar lagi terlebih dimajukan agensi terbabit.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, ada tanah yang hanya diberi kelulusan peringkat dasar, namun agensi itu membangunkan lebih daripada kawasan yang diluluskan.

“Malah ada juga kawasan yang tidak dilulus namun agensi tersebut membangunkan tanah berkenaan,” katanya di sini.

Kesedar sebuah Lembaga Kemajuan Wilayah yang ditubuhkan pada 2 Mac 1978 menggantikan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Kelantan (LKTN).

Kesedar mengambil alih peranan LKTN selepas Barisan Nasional (BN) menerajui Kelantan pada pilihan raya umum 1978.

Sehubungan itu Mohd Amar berkata, kerajaan negeri merancang mewujudkan jawatankuasa khas berunding dengan Kesedar untuk menyelesaikan kes-kes yang tertunggak.

“Kita harap selepas ini dapat menyelesaikannya dengan agensi terbabit. Lagi pun dengan Felda dan Felcra sudah banyak penyelesaian dicapai.

“Malah sudah ada premium yang dibayar agensi terbabit kepada kerajaan negeri,” ujarnya.

Beliau juga berkata, ada juga tanah yang dilulus secara dasar, namun Kesedar tidak memenuhi syarat ditetapkan iaitu perlu memasukkan peneroka.

Dan keuntungan daripada ladang tersebut menjadi milik sepenuhnya Kesedar dan bukannya peneroka.

Selain itu katanya juga tiga wakil kerajaan negeri dalam Lembaga Pengarah Kesedar juga belum diselesaikan. Sekarang hanya dua orang sahaja yang telah dilantik.

Dua wakil kerajaan negeri yang dilantik iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pengarah PTG, manakala cadangan pelantikan seorang Exco mengisi jawatan tersebut belum diterima Kesedar sehingga sekarang.

Harakahdaily

Tiada ulasan: