KUALA LUMPUR: Enam pasukan iaitu Sarawak, Kelantan, Kedah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Selangor PKNS dan Felda United melangkah ke peringkat suku akhir Piala FA selepas mencatat kemenangan pada perlawanan pusingan kedua, Selasa.
Sarawak terlebih dahulu menempah tiket ke suku akhir selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dalam aksi sebelah petang.
Zamri Morshidi menjadi wira pasukan apabila menjaringkan gol tunggal skuad 'Bujang Senang' pada minit ke-33.
Seperti yang diramal juara Piala FA 2013 iaitu Kelantan menyingkirkan Sabah 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baharu. Gol pertama pasukan tuan rumah diperoleh pada minit ke-45 hasil jaringan Mohammad Shawky sebelum Sabah menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Rosdin Wasli pada minit ke-51.
Ahmad Shakir Ali menjadi wira pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan pasukan 'The Red Warriors' pada minit ke-95.
Kedah mencatat kemenangan besar selepas membelasah Perlis 4-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar. Gol skuad 'Hijau Kuning' disumbangkan oleh Billy Mehmet Osman pada minit ke-43, Adam Griffiths (minit ke-53), Badrol Bakhtiar (minit ke-63) dan Khairul Helmi Johari (minit ke-90).
Di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pula, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan mudah melangkah ke suku akhir selepas mengalahkan pendatang baharu, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dengan kemenangan 2-0.
Gol PDRM disumbangkan oleh Chad Charles Souza pada minit ke-64 dan Bobby Gonzales tiga minit kemudian.
Selangor PKNS pula menyingkirkan Terengganu selepas mencatat kemenangan 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Gol Selangor PKNS dijaringkan oleh Patrik Ronaldinho Wleh dan Primorac Karlo masing-masing pada minit ke-36 dan minit ke-78, manakala gol sagu hati Terengganu disumbangkan oleh kapten pasukan Ismail Faruqi Asha'ri pada minit ke-47.
Felda United pula mengalahkan Sime Darby 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. Zah Rahan Krangar menjadi wira pasukan apabila menjaringkan gol pada minit ke-84. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan