05 February 2014

Polis kenal pasti sindiket curi cincin RM5.2 juta

5 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Pihak polis tidak menolak kemungkinan bahawa suspek yang mencuri cincin berlian bernilai RM5.2 juta dari sebuah pusat membeli-belah di Bukit Bintang bulan lepas telah melarikan diri ke luar negara.

Namun, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, pihaknya telah mengetatkan kawalan di pintu masuk dan keluar negara ini.

Beliau berkata, pihaknya turut meminta bantuan daripada pihak Interpol bagi mengesan dan menangkap kesemua suspek yang melakukan jenayah terancang itu.

"Polis sudah mengenal pasti sindiket yang membabitkan dua wanita dan seorang kanak-kanak yang melakukan jenayah terancang itu dan dari negara mana mereka datang.

"Namun kita masih memburu suspek berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Pencegahan Jenayah Kampus Kor Suksis Universiti Malaya di sini hari ini.

Mohmad menambah, pihaknya juga telah mengedarkan foto suspek.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang pada 16 Jan lalu itu, kumpulan tersebut dilapor memasuki pusat jualan barangan kemas eksklusif di pusat beli-belah itu.

Seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai berumur antara lapan hingga 10 tahun telah mengambil kunci tempat cincin itu dipamerkan sebelum mencurinya dan meletakkan semula kunci berkenaan di tempat asalnya. - BERNAMA

No comments: