- DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Kasim Ahmad bukanlah nama kecil dalam pergulatan sosio politik negara ini semenjak dasawarsa 70-an, sosok ini pernah mendekam dalam tahanan politik ISA kamunting kerana anutan politiknya. Juga mantan presiden PSRM ini menggegerkan tanah air dengan isu gerakan anti hadith yang ditentang hangat oleh tokoh-tokoh PAS dalam dekad 70-an dan 80-an seperti Ustaz Amaluddin Darus dan Ustaz Abu Bakar Hamzah. Kasim Ahmad tidak keseorangan dalam membawa jalur pemikiran mengkritik hadith dengan erti kata lain menyanggah kemuliaan Ar Rasul SAW, beliau mempunyai khalayak dan peminatnya yang tersendiri termasuk tokoh-tokoh besar negara ini.
Legasi kesesatan kelompok anti hadith pernah bersarang dalam JAM atau jamaah al-Quran Malaysia, seterusnya Forum Islam Liberal yang juga menjadi pemicu kepada tersebarnya fahaman Islam liberal dan jua pluralisme agama di tanah leluhur ini. Negara ini juga harus berterima kasih kepada agamawan dan gerakaan Islam yang berusaha membendung aliran anti hadith yang juga mengakar di bumi Mesir dan juga Indonesia.
Legasi kesesatan kelompok anti hadith pernah bersarang dalam JAM atau jamaah al-Quran Malaysia, seterusnya Forum Islam Liberal yang juga menjadi pemicu kepada tersebarnya fahaman Islam liberal dan jua pluralisme agama di tanah leluhur ini. Negara ini juga harus berterima kasih kepada agamawan dan gerakaan Islam yang berusaha membendung aliran anti hadith yang juga mengakar di bumi Mesir dan juga Indonesia.
Kasim Ahmad dalam bukunya "Hadis; Jawapan Kepada Pengkritik" telah menyenaraikan lebih dari sepuluh perkara yang menurut beliau hadis memberi kenyataan yang bercanggah dengan Al-Quran;
1.Menurut beliau; Al-Quran menegaskan bahawa rujukan kaum muslimin hanya satu sahaja ialah kitab Al-Quran. Namun hadis menegaskan ada dua iaitu Al-Quran dan as-Sunnah (atau al-Hadis).
2.Al-Quran menyebutkan lima sahaja rukun iman, sedangkan hadis menyebut enam iaitu dengan menambah Qadha dan Qadar.
3.Al-Quran mengajar syahadah hanya Lailaha-Illallah, tetapi hadis menambah Muhammadur-Rasulullah. Tambahan tersebut menurut Kasim bercanggah dengan ayat yang memerintahkan agar jangan menyengutukan Allah dengan sesiapapun.
4.Al-Quran melarang mendewa-dewakan manusia. Namun hadis memerintahkan agar mendewakan Rasulullah (Nabi Muhammad) iaitu dengan berselawat kepadanya ketika membuka dan menutup doa dan juga apabila mendengar namanya disebut.
5.Al-Quran menerangkan bahawa Nabi Muhammad atau mana-mana Nabi tidak memiliki kuasa syafaat, namun hadis menjelaskan bahawa Nabi Muhammad mempunyai kuasa syafaat.
6.Al-Quran menjelaskan bahawa Nabi Muhammad tidak diberi mukjizat melainkan Al-Quran. Namun hadis menceritakan bermacam-macam mukjizat Nabi Muhammad selain al-Quran.
7.Menurut al-Quran, Nabi Isa telah wafat. Namun hadis menjekaskan bahawa beliau tidak mati dan akan turun di akhir zaman untuk membunuh Dajjal.
8.Al-Quran tidak menetapkan sebarang hukuman bagi orang murtad. Namun hadis menetapkan bahawa orang yang murtad hendaklah dibunuh.
9.Al-Quran menetapkan hukuman ke atas orang berzina hanya sebatan sahaja, namun hadis menambah satu lagi hukuman iaitu rejam.
10.Al-Quran memerintahkan manusia menggunakan akal dan fikiran. Namun hadis pula melarangnya di mana Rasulullah SAW pernah berkata "Sesiapa mentafsir al-Quran mengikut fikirannya, biarlah ia menghuni neraka".
11.Al-Quran mengajar kebebasan beragama iaitu terdapat ayat menyebutkan "Tiada paksaan di dalam agama". Namun hadis menetapkan orang yang murtad dihukum bunuh. Hukum ini menurut Kasim berasal dari Taurat. (Lihat; halaman 139-151). Buku Kasim yang mempertikai banyak ajaran Islam ini bertebaran dalam dalam negara dan wajib dijawab dengan ilmiah oleh para sarjana Islam supaya akidah umat Islam terpelihara.
Saya merasa hairan akan keberanian melulu Kasim Ahmad terhadap al-hadith bahkan al-Quran itu sendiri, contohnya Kasim dalam tulisannya telah meragui ayat terakhir daripada surah at Taubah dimana sosok yang kontroversi ini mendakwa;
"Tiap-tiap surah dalam al Quran dibuka dengan kenyataan" dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih" dikenali sebagai Basmalah, kecuali surah sembilan (yakni Surah at-Taubah). Ketiadaan Basmalah dari surah 9 menimbulkan kehairanan kepada ahli-ahli tafsir selama 14 abad. Banyak teori telah dikemukan oleh untuk menghuraikan fenomena ini. Sekarang kita tahu bahawa ketiadaan Basmalah memainkan peranan penting sebagai satu ciri dalam mukjizat matematik Quran dan juga satu tanda daripada Allah bahawa surah 9 (surah Taubah) telah dicemar dan perlu dibersihkan"(lihat buku kasim Ahmad, hadith, jawapan kepada pengkritik, halaman 61).
Dua ayat yang terakhir surah at-Taubah yang didakwa oleh Kasim sebagai mencemari al Quran (yakni menurut beliau ayat tersebut sebenarnya bukanlah ayat al Quran, tetapi ditambah oleh para Sahabat) berbunyi:
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), Yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan Yang ditanggung oleh kamu, Yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang Yang beriman.
Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka Katakanlah (Wahai Muhammad): "Cukuplah bagi Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; kepadanya Aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy Yang Besar."
Kasim sebenarnya mempunyai niat buruk tersendiri disebalik kritikannya terhadap ayat tersebut. Ayat-ayat di atas memuji Rasulullah SAW yang kita cintai. Maka Kassim yang memicu polemik ini harus berani berdepan secara terbuka dengan agamawan yang memiliki disiplin ilmu dalam bidang ulum al-hadith.
Pihak lajnah Dakwah akan menganjurkan debat ilmiah dalam masa yang terdekat dan kita akan membariskan Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi untuk menjernihkan kekeliruan Kasim yang memudharatkan pemikiran umat Islam. Nasruddin Hasan yang juga Timbalan Pengerusi Dakwah Pusat juga pernah berhadapan dengan Astora Jabat pada suatu ketika dahulu di Pandan Indah dan pihak kami mengharapkan Kasim tidak memberikan alasan untuk tidak bersemuka dalam polemik yang beliau cetuskan sejak puluhan tahun ini. Dayung sudah ditangan, ayuh kita berkolek!
Ustaz Riduan ialah Setiausaha Lujnah Dakwah PAS Pusat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan