19 Februari 2014

Tiada saksi dipanggil perbicaraan pasangan Malaysia di Sweden

19 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Tiada saksi dipanggil oleh pihak pendakwa untuk memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan pasangan rakyat Malaysia di mahkamah daerah Solna di Stockholm, Sweden, kata Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (Sukaguam) Datuk Khairul Anwar Rahmat.
    
Khairul Anwar, yang tiba di Stockholm pagi semalam berkata perbicaraan sebaliknya menyaksikan pihak pendakwa mengemukakan rakaman video polis Sweden dengan anak bongsu pasangan itu, Arif.

Beliau berkata Sukaguam dimaklumkan bahawa tiada orang dewasa atau jiran pasangan itu akan dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan itu.
    
"Kami membuat andaian bahawa mungkin saksi yang dipanggil terdiri daripada rakan-rakan sekolah anak-anak berkenaan," kata beliau dalam kenyataan kepada  Bernama, di sini.
    
Khairul said Sukaguam juga percaya bahawa saksi-saksi utama dan barangan kes penting cuma rakaman video anak pasangan itu. 

Pada 10 Feb, Shalwati Norshal, guru yang mengambil cuti tanpa gaji, dan suaminya Azizul Raheem, pegawai Tourism Malaysia di Sweden didakwa secara berasingan di mahkamah daerah Stockholm atas tuduhan mendera anak mereka.
    
Perbicaraan bermula pukul 9 pagi dan dijangka berlangsung selama dua minggu.

Peguam Shalwati, Kristofer Stahre, juga mengesahkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris bahawa anak pasangan itu tidak perlu menghadiri perbicaraan. 
    
Sebelumnya, Khairul Anwar dilaporkan sebagai berkata pihak pendakwa Sweden sebaliknya boleh menghantar wakil ke Malaysia untuk merakamkan kenyataan lanjut daripada anak pasangan itu.
    
Sementara itu, kakak Shalwati, Noor Azila Makhzan ketika dihubungi Bernama berkata pasangan itu amat gembira apabila bertemu satu sama lain dan anggota keluarga semasa perbicaraan.
    
"Ini lah kali pertama Azizul dan Shalwati (direman berasingan) dapat melihat muka masing-masing. Shalwati menitis air mata melihat Azizul.

"Dia dan Azizul juga melambai tangan melihat keluarga dalam mahkamah," katanya yang tiba di Stockholm pagi semalam.
    
Menurut Noor Azila, beliau mendapati bahawa semasa perbicaraan, pihak pendakwa mengemukakan antara lain, rotan, pemukul permaidani dan gambar penyangkut baju pelbagai warna iaitu antara objek yang dikatakan diguna untuk memukul kanak-kanak itu beberapa kali. 
    
"Barang-barang kes ditunjuk kepada Azizul dan Shalwati melalui peguam-peguam mereka di mana Azizul dan Shalwati tidak mengaku memukul anak-anak mereka dengan barang-barang kes tersebut," katanya.
    
Perbicaraan ditangguhkan pada 5 petang (12 malam waktu Malaysia) dan akan bersambung pukul 9 pagi esok. 
    
Pasangan itu ditahan reman sejak 18 Dis tahun lepas kerana dikatakan memukul tangan seorang daripada anak mereka kerana tidak bersolat. Reman ke atas mereka telah dilanjut tiga kali.
    
Di bawah sistem kehakiman Sweden, mereka yang dituduh tidak dibenar dibebas dengan ikat jamin.
    
Keempat-empat anak pasangan itu yang sebelum ini diletakkan di bawah jagaan keluarga angkat bukan Islam susulan kes itu kemudian diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di Sweden pada 30 Jan dan kembali ke Malaysia pada hari berikut.
    
Mereka kini memulakan persekolahan di sebuah sekolah di Kelantan dan dijaga oleh sanak saudara. - Bernama

Tiada ulasan: