19 Februari 2014

Piala FA: Kelantan ketuai 4 pasukan ke separuh akhir

19 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -


Juara bertahan, Kelantan mengetuai senarai empat pasukan yang mengesahkan slot ke separuh akhir Piala FA selepas menewaskan lawan masing-masing pada suku akhir kedua, malam ini.
Kelantan yang mencatatkan kemenangan tipis 3-2 ke atas Selangor PKNS FC pada suku akhir pertama di Kota Baharu, Selasa lepas sekadar terikat 3-3 pada aksi kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), semalam.

Keputusan itu bagaimanapun sudah memadai untuk skuad 'The Red Warriors' melangkah ke separuh akhir dengan keputusan agregat 6-5.

Tiga gol Selangor PKNS FC dijaringkan Patrick Ronaldinho Wleh pada minit kedua; Karlo Primorac (penalti-43') dan Hamka Hamzah (71') manakala tiga gol Kelantan disumbangkan oleh Ahmad Fakri Saarani (10'); Ahmad Shakir Ali (26') dan Mohamed Ghaddar (72').

Mengiringi Kelantan ke separuh akhir adalah naib juara musim lepas, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang meraih kemenangan agregat 5-1 ke atas Kedah.

Skuad 'Harimau Selatan' yang menang 3-1 pada aksi pertama di Larkin menundukkan Kedah, 2-0 pada aksi kedua di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi, sekali gus mara dengan keputusan agregat 5-1.

Dua gol JDT dalam perlawanan hari ini dijaringkan oleh Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-62 dan pemain gantian, Mohd Safee Sali pada minit ke-85.

Juara Piala Malaysia 2013, Pahang turut mengesahkan slot ke separuh akhir  menerusi keputusan agregat 3-2 ke atas pendahulu Liga Perdana, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Skuad 'Tok Gajah' yang terikat seri 1-1 pada suku akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, menundukkan skuad 'The Cops', 2-1 pada aksi timbal balik di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini.

Dua gol pasukan Pahang dijaringkan oleh Mohd Fauzi Roslan pada minit ke-38 dan Mohd Hafiz Kamal (90') manakala gol saguhati PDRM disumbangkan oleh Charles Chad Souza (50').

Sementara itu, Felda United FC menempah slot ke separuh akhir walaupun terikat 2-2 ketika berdepan Sarawak pada suku akhir kedua di Stadium Negeri, Kuching.

Keputusan seri tanpa jaringan yang dicatatkan kedua-dua pasukan pada aksi pertama, sebelum ini nyata berpihak kepada Felda United FC menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Zah Rahan Krangar menjadi wira pasukan pelawat selepas meledak dua gol masing-masing pada minit ke-35 dan 82' manakala gol pasukan Sarawak dihasilkan oleh kapten pasukan, Joseph Kalang Tie (17') dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli (80').

Kelantan akan menentang Felda United FC manakala JDT berdepan Pahang pada saingan separuh akhir yang menggunakan format timbal balik.

Separuh akhir pertama dijadualkan berlangsung pada 5 dan 6 Mei manakala aksi kedua pada 20 dan 21 Mei.

- Bernama

Tiada ulasan: