19 February 2014

'Misi Keamanan' Bangkok makan korban nyawa

19 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

Mungkin ia dikenali sebagai 'Misi Keamanan Bagi Bangkok' namun hasilnya bertentangan sama sekali apabila tindakan pihak berkuasa semalam untuk mengusir penunjuk perasaan antikerajaan di beberapa kawasan mencetuskan pertempuran yang mengorbankan empat orang manakala 64 lagi cedera.

Beberapa jam selepas berlaku pertempuran, Suruhanjaya Anti Rasuah Kebangsaan Thailand mengumumkan bahawa Perdana Menteri sementara Yingluck Shinawatra berdepan pertuduhan mengabaikan tugas berhubung peranannya dalam skim subsidi beras yang mana kerajaan kini berhutang lebih 120 bilion Baht kepada petani.
Jika didapati bersalah, dia akan dipecat daripada jawatan, sesuatu yang sememangnya didesak penunjuk perasaan sejak memulakan bantahan beberapa bulan lepas.

Pemimpin penunjuk perasaan Suthep Thaugsuban, yang waran tangkap dikeluarkan ke atasnya, malam ini mengumumkan bahawa beliau akan membawa penyokongnya ke pejabat sementara Yingluck di pejabat Setiausaha Tetap Pertahanan di Muengthong Thani (Utara Bangkok) untuk memberi lebih tekanan terhadap beliau supaya meletak jawatan.

Beliau juga berjanji akan mengekori ke mana sahaja Yingluck pergi hari ini.

Satu daripada kemalangan maut hari ini membabitkan anggota kanan polis, Sarjan Mejar Peinchai Pharawat, 45, manakala yang lain adalah orang awam lelaki berumur 29 dan 52 tahun, serta seorang lagi yang tidak dikenali, menurut Pusat Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Erawan (EMS) Pentadbiran Metropolitan Bangkok setakat 7.50 malam.

Kesemua mangsa meninggal dunia di hospital akibat kecederaan semasa pertempuran di jambatan Phanphah Lilart di Ratchadumnoen Avenue, menurut pusat itu.

Bagaimanapun, sungguhpun berlaku kematian dan pertempuran, pihak berkuasa dijangka masih meneruskan operasinya esok.

Chalerm Yubamrung, Menteri Buruh sementara dan bertanggungjawab ke atas Pusat bagi Mengekalkan Keamanan dan Ketenteraman (CMPO), menegaskan misi untuk menuntut kembali tempat awam daripada penunjuk perasaan "bertujuan mengembalikan semula keamanan kepada penduduk di Bangkok."

Hari ini, matlamat CMPO adalah untuk menuntut kembali lima lokasi perhimpunan daripada penunjuk perasaan antikerajaan, termasuk kawasan Rumah Kerajaan, Kementerian Dalam Negeri di daerah Pranakorn, jambatan Phaphah Lilart di Rachadumnoen Avenue, Chaegwattana (Kompleks Pusat Kerajaan) dan Kementerian Tenaga.

Beribu-ribu anggota polis dikerah pada misi yang bermula pagi ini, dan tapak perhimpunan di Kementerian Tenaga berjaya dituntut kembali tanpa banyak halangan.

Namun begitu, lain pula keadaannya di jambatan Phanphah Lilart dan kawasan di sekitar Rumah Kerajaan apabila beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan bersiap sedia untuk berhadapan dengan polis.

Polis menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah terhadap penunjuk perasaan dan menurut saksi senjata api juga digunakan dalam pertempuran itu.

Bagaimanapun, sekitar 3 petang, pemimpin penunjuk perasaan dan pihak berkuasa bersetuju mengundurkan anggota mereka kembali ke pangkalan masing-masing untuk mengurangkan ketegangan.

Penunjuk perasaan telah berkhemah di beberapa tempat di Bangkok sejak beberapa bulan lepas.

Lokasi mereka termasuk persimpangan Pratumwan (berhampiran MBK, destinasi beli-belah terkenal bagi pelancong antarabangsa), persimpangan Ratchaprasong  (pusat perniagaan di Bangkok yang dipenuhi pusat beli-belah dan hotel mewah), persimpangan Asok (satu lagi kawasan pusat perniagaan), Chaengwattna (pusat kompleks kerajaan) dan Lumpini (berhampiran Silom, juga terkenal dengan kehidupan malam bagi pelancong Thai dan antarabangsa).

Bangkok ketika ini bukan sahaja berdepan penunjuk perasaan antikerajaan yang mahu Yingluck meletak tetapi juga petani yang menuntut bayaran bagi beras yang mereka jual kepada kerajaan di bawah skim subsidi beras tetapi tidak menerima bayaran.

Penunjuk perasaan daripada kalangan penanam padi, yang lazimnya memberi sokongan padu kepada kerajaan Yingluck, dijadual mengadakan bantahan besar-besaran hari ini.

- Bernama

No comments: