04 Februari 2014

PAS perlu tentukan hala tuju industri hiburan negara

4 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Kesenian Kebudayaan dan Rekreasi Dewan Muslimat PAS Pusat, Wan Aishah Wan Ariffin berharap PAS mengambil perhatian serius kepada golongan artis dan karyawan jika mahu mendapatkan sokongan mereka.
Menurut Aishah, industri hiburan bukan hanya terdiri daripada penyanyi dan pelakon malah merangkumi pengarah filem, penulis lirik, penggubah lagu sehingga pekerja di kilang cakera padat.
"PAS kena lihat dunia hiburan dan mendekati golongan ini. PAS juga mesti menjelaskan garis panduan terhadap golongan artis wanita supaya mereka dapat meneruskan karier apabila mereka menyokong PAS," katanya ketika diwawancara Harakahdaily di rumahnya dekat sini, baru-baru ini.

Tambah beliau, PAS perlu bersiap sedia untuk menentukan hala tuju para karyawan dan pekerja industri hiburan bagi memastikan mereka tidak kehilangan pekerjaan jika memberi undi kepada calon-calon PAS untuk membentuk kerajaan.
"Pertama kali saya berjumpa dengan Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang, saya cakap dengan Presiden, saya harap orang bijak pandai seperti golongan ustaz berada dalam dunia seni supaya mereka boleh dijadikan rujukan penggiat seni," katanya.
Menurutnya, negara jiran Indonesia sudah kehadapan dalam dunia hiburan Islam dengan adanya artis Islamik dan pengarah filem yang berpegang dengan ajaran Islam.
Sutradara (pengarah) yang menjiwai Islam, ujarnya tidak membenarkan adegan berpegangan tangan dengan bukan muhrim dalam filem dan drama arahan mereka.
Beliau menyarankan agar industri muzik terus dibangunkan dengan memberi peluang kepada golongan artis untuk meneruskan pekerjaan dengan mematuhi tuntutan syarak.
"Kita kena tentukan hala tuju hiburan di negara ini jika PAS mahu memerintah negara. Jika tidak ada hala tuju yang jelas seolah-olah PAS menabur pasir ke dalam periuk nasi mereka," katanya.
Beliau menambah, adalah tidak munasabah bagi PAS meraih sokongan golongan artis tetapi di masa yang sama tidak berusaha membela nasib mereka.
"Kita ramai artis wanita, jadi banyakkan program wanita. Jika tidak mengapa Allah bagi bakat dan suara yang baik (kepada mereka). Sudah tentu ada kelebihannya," katanya.
Mengulas tentang objektif penubuhan Lajnah Kesenian dan Kebudayaan Muslimat PAS Pusat, beliau menjelaskan lajnah itu akan berusaha melaksanakan program-program kesenian dan kebudayaan khususnya bagi mendekati masyarakat Melayu di kampung dan kawasan luar bandar.
Menurutnya, sejumlah 52 peratus pengundi negara terdiri daripada golongan wanita dan lajnah pimpinannya mesasarkan golongan muda dan berusia untuk didekati.
Harakahdaily/-

Tiada ulasan: