04 Februari 2014

Badan Kebajikan Dun Jabi bakal miliki van jenazah

4 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -
 HARAKAHDAILY
Dr Azman menyampaikan sumbangan kepada waris ahli Badan Kebajikan dan Khairat Kematian Dun Jabi.
SETIU: Mencapai usia empat tahun penubuhan, Badan Kebajikan dan Khairat Kematian Dun Jabi kini telah mempunyai seramai 470 ahli berdaftar.

“Kita mensasarkan untuk mencapai sasaran keahlian melebihi 500 orang menjelang pertengahan tahun 2014 ini,” kata Pengarah MTD Jabi, Dr Azman Ibrahim.

Beliau berkata, bermula dengan matlamat asas penubuhan adalah untuk membantu meringankan beban waris simati serta menyatukan masyarakat Dun Jabi untuk mencari jalan terbaik dalam menyelesaikan sesuatu tugas apabila berlaku sesuatu musibah atau kesukaran yang menimpa ahli masyarakat.

Di samping itu, jelasnya Badan Kebajikan itu juga ditubuhkan dalam rangka untuk memupuk semangat bekerjasama antara ahli dan penyokong PAS bagi bersama menghulurkan bantuan dan sokongan ketika seseorang anggota masyarakat berhadapan dengan kesukaran dan musibah.

Menurutnya, sepanjang usia 4 tahun ini, lebih RM30,000 telah dibelanjakan dalam bentuk sumbangan kematian kepada ahli dan tanggungan mereka.

“Sukacita untuk dimaklumkan bahawa standard kerja yang ditetapkan oleh pengurusan Badan Kebajikan dan Khairat Kematian untuk mempastikan semua sumbangan kematian sampai ke tangan waris terdekat sebelum jenazah diusung ke tanah perkuburan dapat dicapai hasil kerjasama hebat semua jawatankuasa,” katanya yang juga Pengerusi Badan Kebajikan dan Khairat Kematian Dun Jabi.

Beliau memberitahu, sumbangan sebanyak RM1,000 untuk suatu kematian, walaupun di peringkat awalnya, masyarakat memandang sinis akan kemampuan pihaknya untuk menunaikan janji yang tertera.

Bermula awal tahun 2014 ini, jelasnya Dun Jabi maju setapak lagi dengan Badan Kebajikan dan Khairat Kematian bakal memiliki aset terbaru, sebuah van bagi kegunaan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Jabi. 

“Masih berada di bengkel untuk proses ubah suai, dijangkakan dengan izin Allah, pertengahan Februari 2014, ianya akan mula memberikan khidmat kepada masyarakat,” ujarnya.

Beliau menambah, berada dalam perancangan juga adalah untuk menyediakan sebuah van jenazah.

Menurutnya lagi, seorang dermawan anak jati Dun Jabi yang memiliki sebuah syarikat kontraktor minyak dan gas di Kemaman telah menyatakan kesediaannya untuk menjadikan pemilikan van jenazah itu satu kenyataan.

Tiada ulasan: