SEOUL: Korea Utara sudah menjalankan ujian saringan COVID-19 terhadap kira-kira 42,000 individu tetapi tiada kes positif dikesan, menurut agensi berita Yonhap yang memetik satu laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hari ini.
Berdasarkan laporan perkembangan mingguan COVID-19 oleh WHO, seramai 678 penduduk Korea Utara menjalani ujian saringan itu antara 8 hingga 14 Oktober lalu, namun kesemuanya turut didapati mencatat keputusan negatif.
Daripada jumlah saringan baharu itu, katanya, 113 individu menghidap penyakit seakan-akan selesema atau jangkitan pernafasan akut, manakala yang lain adalah petugas penjagaan kesihatan.
Angka saringan terbaru itu membawa kepada jumlah keseluruhan 42,773 rakyat Korea Utara sudah melalui ujian COVID-19, setakat ini.
Korea Utara mendakwa negara itu bebas COVID-19, dengan melaksanakan langkah khusus bagi menyekat penularan virus berkenaan, termasuk kawalan sempadan yang ketat. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan