TEHRAN: Ibu negara Iran sedang berdepan kemarau terburuk dalam tempoh separuh abad berikutan penurunan jumlah hujan bulanan sehingga 97 peratus berbanding tahun lalu, kata pihak berkuasa sumber air, hari ini.
Timbalan pengarah syarikat pembekalan air di rantau itu, Mohammad Shahriari, berkata Tehran hanya merekodkan 0.4 milimeter (mm) hujan sejak 23 September lalu berbanding 14.3mm bagi tempoh sama tahun lalu.
"Air bawah tanah dan air di permukaan berada di tahap kritikal dan tidak pernah ada kemarau seperti ini sejak 50 tahun lalu," katanya seperti dipetik agensi berita ISNA.
Lima empangan yang membekalkan air ke ibu negara Iran hanya merekodkan 477 juta meter padu air berbanding dua bilion meter padu, iaitu kurang satu pertiga daripada kapasitinya.
Pada September tahun lalu, empangan itu memiliki 729 juta padu air.
Penggunaan air dalam sektor pertanian meningkat 14 peratus berbanding tahun lalu, serta lapan peratus bagi pihak industri.
Penjanaan hidroelektrik pula menurun sebanyak 40 peratus dalam tempoh enam bulan lalu, kata Shahriari.
Pada Julai lalu, protes yang meragut sejumlah nyawa tercetus di wilayah Khuzestan yang dilanda kemarau, apabila orang ramai turun ke jalan raya bagi menyatakan kemarahan kerana kekurangan bekalan air. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan