26 Oktober 2021

al-Quran sumber ilmu, teknologi

 - Hiasan. FOTO NSTP

- Hiasan. FOTO NSTP

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan al-Quran adalah sumber intelektual dan spiritual Islam yang menjadi asas bukan hanya bagi agama dan kerohanian semata-mata, tetapi semua cabang ilmu pengetahuan termasuk teknologi.

Perdana Menteri berkata, sumber utama bagi umat Islam adalah al-Quran, yang menjadi wahyu lengkap dan terakhir kepada Baginda Rasulullah SAW bagi seluruh umat manusia supaya tunduk dan akur kepada Tuhan yang Maha Esa.

"Al-Quran menganjur serta mendorong umat Islam menuntut ilmu, mempelajari, menganalisis dan menggunakan akal dikurniakan Allah SWT untuk dimanfaatkan," katanya ketika merasmikan penutupan Majlis Tilawah al-Quran Johan-Johan Kebangsaan, malam ini.

Perdana Menteri berkata, gabungan al-Quran dan teknologi mampu memperkuat serta memperjelas sesuatu fakta yang hujahnya menjadi rujukan kepada hadis nabi, mazhab, sarjana, saintis Islam dan bukan Islam.

Ismail Sabri berkata, hubungan teknologi dan agama dipandang sebagai perhubungan roh dan jasad, selain saling menyempurnakan antara satu sama lain dengan alam tabii perlu difahami, dikaji supaya manusia beroleh manfaat daripadanya.

"Al-Quran dan teknologi tidak dapat dipisahkan. Ia adalah wahyu Allah SWT yang diturunkan sebagai petunjuk, agar manusia dapat membezakan antara hak dengan batil, manakala teknologi ialah penemuan berdasarkan cerapan dan kajian dilakukan manusia.

"Majlis ini menyaksikan teknologi menghubungkan 26 qari dan qariah Johan-Johan Kebangsaan di seluruh negara yang bersiaran secara langsung dari 11 lokasi boleh disaksikan di pelbagai capaian media.

"Alunan ayat al-Quran dan ibrah huraian ayat dipancarkan kepada penonton menggunakan teknologi perantara realiti (AR), menunjukkan Islam tidak pernah menghalang umatnya daripada memaksimumkan penggunaan teknologi dalam kehidupan," katanya.

Perdana Menteri turut berkata, aspek pengajaran dan pembacaan al-Quran mengalami perubahan yang disesuaikan dengan norma baharu susulan penularan wabak COVID-19, pada akhir tahun 2019.

Ismail Sabri berkata, keadaan itu mengakibatkan orang ramai lebih mudah membaca al-Quran di mana juga.

Seiring teknologi dan keperluan umat Islam moden, katanya, al-Quran kini disediakan dalam pelbagai produk digital dan aplikasi perisian selain terdapat aplikasi menyediakan tafsir dan doa pilihan.

"Saya difahamkan sejak penularan wabak COVID-19, pembelajaran al-Quran secara dalam talian semakin mendapat tempat.

"Banyak institusi sama ada kerajaan mahupun swasta memperkenalkan kelas pembelajaran al-Quran seperti tajwid, talaqqi, taranum dan hafazan secara dalam talian. Usaha murni ini memudahkan capaian masyarakat mempelajari ilmu membaca al-Quran," katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berharap, semua pihak dapat mengambil manfaat daripada ayat dibacakan dan ibrah disampaikan 26 qari dan qariah Johan-Johan Kebangsaan yang mempersembahkan bacaan mereka, sejak Jumaat lalu. 

"Dalam meraikan semangat Keluarga Malaysia, qari dan qariah dari seluruh negara telah menyertai majlis ini dan telah memberikan komitmen yang terbaik dari awal proses pelaksanaan sehingga selesai majlis ini. 

"Semangat dan kerjasama erat yang ditunjukkan oleh pihak negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan RTM sangat dipuji dan boleh dijadikan satu contoh ke arah Keluarga Sejahtera," katanya.

bharian/-

Tiada ulasan: