Kuantan: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selamat kembali ke tanah air selepas mengadakan lawatan khas ke United Kingdom (UK).
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua selamat mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan pada 3.45 petang dengan ketibaan Seri Paduka berdua disambut anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.
Turut berada di Pangkalan TUDM adalah barisan pentadbiran Pahang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.
Sejurus tiba, Seri Paduka berdua menjalani ujian saringan Covid-19 seperti ketetapan prosedur operasi standard (SOP) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum terus berangkat ke Istana Abdulaziz di sini, bagi menjalani kuarantin kendiri.
Seri Paduka berdua juga menjalani ujian saringan itu di London, tiga hari sebelum berangkat pulang.
Seri Paduka berdua berlepas ke UK pada 17 September lalu lepas bagi lawatan khas selama 10 hari, yang menjadi lawatan kedua Seri Paduka berdua ke negara itu sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong, dengan lawatan pertama pada 2019 selama tujuh hari bermula 9 Disember.
Pada lawatan kali ini, Seri Paduka berdua berkenan melawat Projek Battersea Power Station di London, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square dan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Brickendonbury, Hertford selain turut berkenan bertemu komuniti rakyat Malaysia di London.
Al-Sultan Abdullah juga berkenan berangkat ke majlis perjumpaan semula bersama rakan kadet Intake SMC 19 Royal Military Academy Sandhurst yang merupakan tempat Seri Paduka menimba ilmu ketenteraan dari tahun 1978 hingga 1979.
Seri Paduka juga berkenan bertemu dua pegawai kadet Malaysia Muhammad Yaasin Kamaruddin dan Muhammad Haikal Mohd Tukiman yang sedang menuntut di situ, selain bertemu jurulatih Seri Paduka, Colin John.
Selain itu, Al-Sultan Abdullah juga berkenan menerima menghadap Ketua Staf Pertahanan UK Jeneral Sir Nicholas Patrick Carter yang juga pernah menuntut di Royal Military Academy Sandhurst.
Selesai lawatan khas selama 10 hari, Seri Paduka berdua berkenan untuk beristirahat di sana sebelum pulang ke Malaysia.
Sepanjang keberangkatan Al-Sultan Abdullah, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan