26 Oktober 2021

Saintis cipta vaksin tunggal untuk semua koronavirus

 

Saintis ingin mencipta satu vaksin tunggal yang boleh digunakan untuk merawat kesemua jenis koronavirus. – Alamy

SAN DIEGO, CALIFORNIA – Pasukan saintis Amerika Syarikat (AS) sedang mencipta vaksin tunggal untuk melawan semua jenis koronavirus dalam usaha  mencegah  pandemik baharu daripada tercetus pada masa akan datang, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Bagi tujuan itu, Institut Imunologi La Jolla dari California menerima geran berjumlah AS$2.6 juta (RM10.8 juta)  daripada Institut Kebangsaan bagi Alergik dan Penyakit Berjangkit untuk digunakan ke atas penyelidikan yang berpotensi mencegah pandemik selepas ini.

Kajian tersebut turut dilakukan dengan kerjasama  saintis dari Universiti Harvard, Hospital Brigham serta Hospital Besar Massachusetts.

Pasukan penyelidik berkenaan percaya bahawa mereka boleh mencegah penularan koronavirus yang berkaitan selepas ini berdasarkan kajian dan pembangunan yang digunakan untuk menghasilkan vaksin Covid-19.

Matlamat mereka adalah untuk mengenalpasti struktur virus yang mungkin tidak bermutasi apabila virus berubah serta menyasarkan pada bahagian tersebut.

“Daripada kita perlu mencipta vaksin-vaksin baharu, adalah lebih baik sekiranya kita menghasilkan satu vaksin yang boleh melindungi populasi dunia daripada varian-varian SARS-CoV-2 (virus Covid-10) atau apa-apa sahaja koronavirus selepas ini,” kata Presiden Institut Imunologi La Jolla, Dr. Erica Ollmann Saphire.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), terdapat tujuh jenis virus koronavirus  yang sering ditemui.

Jenis yang paling dikenali ramai sebelum Covid-19 adalah Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), yang juga berasal dari China. SARS  merebak dengan pantas ke seluruh dunia sehingga menjadi epidemik pada tahun 2003. – AGENSI 

Tiada ulasan: