KUALA LUMPUR Lumpur: Menceburi perniagaan dimonopoli golongan lelaki tanpa sebarang kemahiran, bukan alasan untuk wanita ini berundur selepas menempuh pelbagai halangan, sebaliknya ia menjadi pembakar semangat bagi melakar kejayaan membanggakan.
Berkelulusan dalam bidang Mekatronik, Nur Laila Alway, 38, mampu membuktikan semangat juang yang tinggi dan kesabarannya mengendalikan perniagaan perusahaan perabot, kini berhasil apabila jenama Ella Furniture semakin dikenali ramai.
Memulakan perniagaan pada 2019 ketika negara mengalami kesuraman ekonomi akibat pandemik COVID-19, Nur Laila mencapai kejayaan mengejutkan apabila berupaya menjual perabot bernilai hampir RM1 juta sebulan, berbanding hanya RM300,000 sebulan ketika awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menceritakan pembabitannya dalam perusahaan perabot, ibu dua anak itu berkata, minat tanpa pengalaman dan kemahiran, menjadikannya berusaha mencari individu yang boleh membantu merealisasikan impiannya bergelar usahawan perabot.
"Saya terbabit dalam perusahaan perabot kerana tidak ada usahawan Bumiputera khasnya wanita mempelopori bidang ini.
"Bermodalkan RM30,000 hasil perniagaan kosmetik secara dalam talian sebelum ini, saya mula serius pada awal tahun ini dengan dibantu seorang tukang perabot yang mahir.
"Saya belajar material digunakan dalam pembuatan perabot termasuk jenis kayu dan span serta reka bentuk menarik pilihan pelanggan," katanya.
Nur Laila berkata, isu gender tidak pernah menghalangnya mengorak langkah lebih luas bagi memajukan diri, malah permintaan yang semakin meningkat menyebabkan operasi syarikatnya kini dikembangkan dan berpindah ke Subang dengan keluasan kilang 17,500 kaki persegi.
Katanya, dia bersyukur kerana mendapat sokongan suami, Salem Saeed,40, yang sanggup menjual perniagaan restoran diusahakannya pada Januari tahun lalu dengan dibantu 40 kakitangan.
"Permintaan semakin tinggi sehingga pelanggan terpaksa menunggu dua bulan untuk tempahan mereka disiapkan. Saya akui keadaan ini menyebabkan ada pelanggan kecewa menunggu terlalu lama dan kini berusaha memendekkan tempoh itu kepada tiga minggu.
"Setiap hari, kita menerima purata 300 pelanggan yang berminat dengan perabot keluaran Ella Furniture dan saya merancang membuka satu pusat pameran serba lengkap serta selesa untuk dikunjungi orang ramai, sama seperti konsep diketengahkan IKEA atau SSF.
"Sekarang 95 peratus tempahan dan jualan diterima menerusi dalam talian dan saya terharu kerana produk dihasilkan turut dibeli pelanggan di Australia, Brunei dan Singapura," katanya.
Nur Laila berkata, pada masa ini, pihaknya menghasilkan perabot bernilai RM40,000 sehari dan merancang menembusi pasaran di Arab Saudi, selain beberapa negara lain menerusi kerjasama dijalin dengan agensi kerajaan yang mengadakan pameran antarabangsa.
"Saya meletakkan sasaran jualan RM10 juta tahun ini walaupun terkesan dengan pandemik dan jumlah itu hampir menjadi kenyataan setakat ini.
"Dalam tempoh lima tahun ini, saya fokus untuk jualan perabot dalam negara dan eksport ke beberapa negara, malah dalam tempoh 10 tahun lagi, saya mahu membina empayar sendiri dengan syarikat disenaraikan di Bursa Malaysia," katanya.
Mengulas masanya bersama keluarga, Nur Laila yang memiliki dua anak,Yousuf,4, dan Ibraheem,2, mengakui ada kalanya anak terpaksa dibawa ke pejabat.
"Banyak tugasan perlu diselesaikan dan ada kala ia mengambil masa hingga ke malam. Jika tidak mengganggu, anak akan datang ke pejabat bersama suami dan sambil menyiapkan kerja, saya dapat perhatikan mereka.
"Ini antara pengorbanan dilakukan sebagai ibu dan isteri kerana perniagaan saya baru bertapak yang memerlukan perhatian serius untuk saya menguruskannya dengan baik," katanya.
bharian/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan