TUMPAT: Masjid Kampung Laut berusia lebih 300 tahun dan pembangunan Kampung Laut sebagai kampung warisan dekat sini, telah dicalonkan sebagai objek dan tapak warisan kebangsaan seterusnya bakal diiktiraf sebagai tapak warisan dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dalam kenyataan berkata, pencalonan itu merupakan perancangan jangka panjang bertujuan menjadikan Kampung Laut sebagai pusat pelancongan warisan ikonik dan destinasi “mesti lawat” di Kelantan.
Projek pembangunan semula kampung berkenaan dilaksanakan di bawah ECERDC bertujuan menjana ekonomi menerusi aktiviti pelancongan, membantu penduduk tempatan meneruskan aktiviti ekonomi lain yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sekali gus menjana semula pertumbuhan sosioekonomi di kawasan sekitar.
Pengurus Besar Pejabat ECERDC Kelantan Wan Mohd Hasnan Abdullah menerusi kenyataan itu berkata, keistimewaan projek itu kerana ia adalah pembangunan mampan yang turut meraikan dan memelihara budaya, warisan dan tradisi kampung tempatan.
“Kampung Laut bakal menjadi muzium hidup bagi masyarakat setempat berpeluang menjana pendapatan melalui aktiviti kebudayaan seperti persembahan wayang kulit dan permainan wau. Usaha ini akan menyuburkan kembali minat generasi muda menghidupkan kembali aktiviti kebudayaan seumpama ini,” katanya.
Selain itu, projek pembangunan semula Kampung Laut turut merangkumi Laman Warisan Seni yang dijangka siap awal tahun depan dan akan menyediakan ruang menjual produk tempatan seperti batik, wau dan kraftangan kepada 12 pengusaha.
Sementara itu, ECERDC dalam kenyataan sama memaklumkan Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah telah mengetuai delegasi ke Kelantan sebagai sebahagian daripada Program Jelajah Belanjawan 2022 semalam, dengan melawat Laman Warisan Serunding Kampung Laut yang merupakan sebahagian daripada projek pembangunan semula kampung itu.
“Penyiapan Laman Warisan Serunding Kampung Laut ini bertepatan masanya dengan kebenaran merentas negeri yang diumumkan baru-baru ini, setelah hampir setahun sempadan negeri ditutup dan menjejaskan sektor pelancongan.
“Saya berbangga kerana ECERDC berpandangan jauh dan meneruskan projek seperti yang dirancang walaupun sewaktu pandemik kerana ia akan memastikan momentum pembangunan ekonomi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) tidak terjejas dan mewujudkan peluang pekerjaan serta keusahawanan baharu kepada masyarakat setempat,” kata Mohd Shahar menerusi kenyataan itu.
Beliau berkata kerajaan Persekutuan sentiasa menitikberatkan pembangunan yang membawa manfaat jangka panjang untuk rakyat dan akan mempertimbangkan kemungkinan melaksanakan projek yang mampu memperkukuh dan melengkapkan tarikan pelancongan di negeri ini, sekali gus meningkatkan ekonomi tempatan pada masa depan.
Bernama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan