16 Oktober 2021

Masjidil Haram, Masjid Nabawi boleh solat dengan kapasiti penuh

 JEMAAH menunaikan solat sunat Aidilfitri dengan jumlah terhad di Masjidil Haram, Makkah pada 24 Mei 2020 berikutan Covid-19. FOTO AFP.

JEMAAH menunaikan solat sunat Aidilfitri dengan jumlah terhad di Masjidil Haram, Makkah pada 24 Mei 2020 berikutan Covid-19. FOTO AFP.

Makkah: Solat berjemaah dengan kapasiti penuh dibenarkan di Masjidil Haram, Makkah dan Masjid Nabawi, Madinah bermula Ahad ini.

Demikian antara enam perkara berkaitan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 terbaharu yang diumumkan kerajaan Arab Saudi pada Jumaat.

Menerusi infografik yang dimuat naik di laman Twitter rasminya, Kementerian Dalam Negeri (MOI) Arab Saudi memaklumkan kerajaan tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di tempat terbuka, kecuali di beberapa tempat tertentu dan tertutup termasuk di kedua-dua masjid suci berkenaan.

"Pekerja dan pengunjung dua masjid suci tetap diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang berada di dalamnya, selain wajib berdaftar menerusi aplikasi Eatmarna atau Tawakkalna," katanya.

Kementerian juga memberi kebenaran kepada sistem pengangkutan awam, restoran, panggung wayang, dewan acara dan sebagainya untuk beroperasi pada kapasiti penuh tanpa tertakluk kepada arahan penjarakan fizikal.

Bagaimanapun, hanya penerima dua dos vaksin yang dibenarkan memasuki kesemua premis berkenaan.

Kebenaran ini juga diberikan kepada golongan yang dikecualikan daripada mengambil vaksin atas faktor kesihatan dengan mereka diwajibkan memakai pelitup separuh muka.

Menurut kementerian itu lagi penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup separuh muka masih diwajibkan di tempat-tempat yang tidak dapat disahkan tahap kesihatan pengunjungnya menerusi aplikasi Tawakkalna.

Pemilik premis awam dan swasta pula wajib mengesahkan tahap vaksinasi pengunjung melalui aplikasi Tawakkalna sebelum mereka dibenarkan memasuki premis masing-masing.

Bernama/-

Tiada ulasan: