LONDON: Ahli Parlimen Britain, David Amess maut selepas ditikam “bertubi-tubi” ketika menyertai satu acara di kawasan Parlimennya di tenggara England.
Ini adalah kematian kedua membabitkan ahli politik United Kingdom ketika menemui pengundi sejak 2016.
AFP melaporkan polis tempatan tidak menamakan Amess, tetapi memaklumkan seorang lelaki ditahan “kerana disyaki membunuh” selepas kejadian tikaman di pekan Leigh-on-Sea.
“Kami tidak mencari orang lain berkaitan kejadian ini,” kata polis Essex sambil menambah seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan dan sebilah pisau ditemui.
Polis berkata, anggotanya bertindak balas terhadap “laporan tikaman” sejurus selepas 12.05 tengah hari.
Media British, termasuk Sky News dan BBC mengenal pasti mangsa sebagai ahli politik berusia 69 tahun dari Parti Konservatif Perdana Menteri, Boris Johnson.
Setiausaha Pengangkutan, Grant Shapps menyifatkan Amess sebagai “individu berdedikasi, bertimbang rasa dan ahli Parlimen sejati, yang terkorban ketika berkhidmat tanpa henti di kawasannya sepanjang kerjayanya”.
Amess ialah Ahli Parlimen Britain terbaharu yang diserang ketika perjumpaan rutin mingguannya bersama pengundi, yang biasanya diadakan pada Jumaat ketika Parlimen tidak bersidang.
Ahli Parlimen Parti Buruh, Jo Cox dibunuh seorang pelampau pada 2016 menjelang pungutan suara Brexit.
Yayasan Jo Cox yang ditubuhkan bagi memperingatinya menerusi Twitter berkata: “Sangat mengerikan apabila mendengar berita serangan” ke atas Amess.
“Kami memikirkannya, keluarganya dan orang tersayang pada masa menyedihkan ini.”
Ahli Parlimen Buruh, Stephen Timms pernah ditikam berkali-kali pada 2010, tetapi pulih daripada “kecederaan yang berpotensi mengancam nyawa dan masih menjadi Ahli Parlimen”.
Timms turut “terkejut” dengan serangan terbaharu itu.
Pada Januari 2000, Ahli Parlimen Liberal Demokrat, Nigel Jones cedera dan pembantunya dibunuh seorang lelaki yang bersenjatakan pedang di Cheltenham, barat England.
FMT/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan