JEDDAH: Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengumumkan pelonggaran beberapa sekatan yang dilaksanakan untuk mengekang penularan COVID-19, termasuk dari segi pemakaian pelitup muka, berkuat kuasa esok.
Pengumuman itu dibuat, semalam, susulan penurunan kes COVID-19 secara ketara di seluruh negara dan pencapaian kadar vaksinasi yang tinggi.
Arab News melaporkan, ketetapan baharu itu bagaimanapun akan hanya membabitkan golongan yang sudah lengkap vaksinasi COVID-19, iaitu meliputi 20.6 juta daripada keseluruhan jumlah 34.8 juta penduduk di Arab Saudi, setakat ini.
Menurut pengumuman kementerian itu, pemakaian pelitup muka tidak akan lagi diwajibkan di tempat terbuka, kecuali di lokasi khusus tertentu - termasuk di Masjidilharam di Makkah serta Masjid Nabawi di Madinah yang mana semua pengunjung dan petugas masih diwajibkan memakai pelitup muka.
Kedua-dua masjid itu juga akan kembali kepada kapasiti penuh, namun mereka yang hadir mesti daftar melalui aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna yang diluluskan Kementerian Kesihatan.
Seterusnya, penjarakan fizikal juga tidak akan lagi diwajibkan di perhimpunan sosial atau tempat awam, termasuk pengangkutan, restoran dan panggung wayang.
Selain itu, dewan untuk majlis perkahwinan dibenarkan untuk kembali kepada kapasiti penuh.
Namun, beberapa langkah pencegahan akan terus dikekalkan, termasuk pemeriksaan suhu badan ketika memasuki sesuatu premis, dan pemeriksaan status kesihatan melalui aplikasi Tawakkalna.
Cecair pembasmi kuman untuk tangan juga dikehendaki terus disediakan di premis awam dan swasta.
Selain itu, penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka akan tetap diwajibkan di lokasi yang mana pemeriksaan status kesihatan melalui Tawakkalna tidak dikenakan.
Menurut pengumuman itu lagi, Kementerian Kesihatan akan terus memantau kes COVID-19 yang membawa kepada kemasukan ke hospital atau unit rawatan rapi (ICU).
Sekiranya timbul sebarang ancaman kesihatan berikutan pelonggaran peraturan itu, langkah pencegahan akan dikenakan semula di bandar atau wilayah mengikut keperluan. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan