JAKARTA: Tiga mangsa dilaporkan maut apabila gempa bumi melanda pulau pelancongan terkenal di Indonesia, Bali, hari ini.
Gempa bumi berukuran 4.8 magnitud pada kedalaman 10 kilometer itu menggegarkan timur laut Banjar Wanasari.
Pegawai memaklumkan, dua mangsa itu terkorban apabila gempa bumi berkenaan mengakibatkan tanah runtuh yang menimpa kediaman mereka di Bangli, manakala seorang lagi maut di bandar pelabuhan Karangasem.
Bagaimanapun, mereka berkata, angka kematian akibat bencana itu dijangka tidak bertambah.
"Gempa bumi itu bergegar kuat selama lima saat, menyebabkan orang ramai panik dan segera keluar dari kediaman mereka untuk menyelamatkan diri," kata jurucakap agensi bencana, Abdul Muhari.
Bagaimanapun, pusat gempa itu terletak jauh dari hab pelancongan utama di Bali yang kini dibuka semula secara beransur-ansur kepada pelancong antarabangsa selepas ditutup sebelum ini susulan pandemik COVID-19.
Januari lalu, lebih 100 orang maut dan ribuan lagi hilang tempat berlindung apabila gempa bumi berukuran 6.2 magnitud melanda Kepulauan Sulawesi.
Tiga tahun lalu pula, gempa bumi kuat berukuran 7.5 magnitud dengan disusuli tsunami melanda Palu yang menyaksikan lebih 4,300 terkorban atau dilaporkan hilang. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan