Lahad Datu: Aktiviti melombong emas secara haram sejak 90-an berjaya dibongkar pasukan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah (JPS), Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan WWF serta agensi lain.
Kegiatan itu terbongkar susulan penemuan ratusan lubang lombong di Sungai Bole dalam Hutan Simpan Ulu Segama Malua, di Lembah Danum dekat sini.
Timbalan Komander PGA Briged Sabah Asisten Komisioner Toipi Lamat berkata, kegiatan itu berjaya dikesan dalam Operasi Bersepadu Khazanah yang lancarkan sejak Ogos lalu selepas ia dilancarkan oleh Komander PGA Briged Sabah.
"Dalam operasi ini, ia memfokuskan seluruh Sabah. Ia bukan setakat di dalam hutan sahaja juga di perairan.
"Antara penemuan yang dikira sangat penting dalma operasi ini adalah aktiviti melombong emas haram," katanya kepada Harian Metro.
Toipi berkata, lokasi kegiatan mencuri khazanah negara itu berjaya dikesan pada 21 Ogos lalu hasil risikan dan maklumat awam sebelum ini.
"Pasukan operasi berjaya menemui lokasi pelombongan itu selepas menempuhi perjalanan selama lapan hari.
"Ia disusuli operasi penggeledahan dilancarkan dan maklumat yang diterima mendapati aktiviti melombong emas di kawasan hulu sungai berkenaan sudah berlarutan sekitar 1990-an lagi," katanya.
Menurutnya, bukan mudah untuk petugas operasi sampai dan menemui lokasi berkenaan.
"Petugas operasi terpaksa menempuh perjalanan di hutan tebal, melalui jeram, mendaki dan menuruni bukit serta perlu meredah sungai berbatu untuk ke lokasi berkenaan," katanya.
Walaupun sukar, katanya, anggota bertugas akhirnya berjaya tiba di lokasi berkenaan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di lokasi itu pihaknya menemui ratusan lubang atau lombong emas di sepanjang lapan kilometer Sungai Bole.
"Kira-kira 103 lubang lombong ditemui untuk satu kilometer di sepanjang tebing sungai berkenaan.
"Pelombong berkenaan dipercayai menggunakan kaedah tradisional bagi melombong emas di kawasan tersebut," katanya.
Menurutnya, dalam operasi itu juga pelbagai barangan disyaki untuk kegiatan melombong seperti dulang, alat penimbang digital, baldi dan penyodok tanah.
"Makanan seperti beras, gula, mi segera, minuman segera dan peralatan memasak turut ditemui di lokasi terbabit.
"Senjata api jenis bakakuk dan senapang guli turut ditemui di lokasi berkenaan," katanya.
Menurutnya, pihaknya turut menemui enam lokasi penempatan yang diwujudkan di kawasan berkenaan.
"Tempat tersebut ada lebih kurang enam penempatan yang mempunyai 14 pondok dibina dengan kanvas termasuk rumah atas pokok," katanya.
Dengan penemuan berkenaan, pihaknya berharap berjaya menghentikan kegiatan mencuri hasil negara terbabit.
hmetro/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan