26 Disember 2021

KPM sedia kaji semula sesi pembukaan sekolah sesi 2021/2022

 

RADZI Md. Jidin (depan) menghadiri Program Berkhatan Komuniti Putrajaya di Presint 18, Putrajaya. -UTUSAN/SUBKHI SUDARJI

PUTRAJAYA:  Sesi penggal ketiga 2021/2022 yang dijadualkan kali kedua dibuka semula pada 9 dan 10 Januari 2022 mungkin ditangguhkan bergantung kepada keadaan sekolah yang masih belum bersedia digunakan ekoran kerosakan teruk akibat banjir.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kementeriannya bagaimanapun akan meneliti keperluan sekiranya terdapat mana-mana sekolah yang memerlukan tempoh penangguhan bagi sesi penggal ketiga 2021/2022 persekolahan yang bermula bulan depan.

Katanya, keputusan itu bergantung kepada keadaan jika terdapat  sekolah yang masih tidak bersedia disebabkan mengalami  kerosakan teruk akibat banjir.

Menurutnya, beliau sudah mengadakan lawatan ke sekolah di Sri Muda, Shah Alam dan Putra Height  yang terjejas teruk  dan mendapati bahagian bawah  sekolah yang dinaiki air  merosakkan infrastruktur  seperti  perabot, komputer serta buku teks. 

“Kementerian membuat keputusan agar perkara ini diberi perhatian segera supaya kita dapat selesaikan perkara ini secepat mungkin sebelum sesi persekolahan dibuka.

“Kita harap pihak sekolah bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN)  untuk memperincikan keperluan persekolahan yang rosak bagi  memudahkan KPM menyalurkan bantuan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Berkhatan Komuniti Putrajaya di Dewan Presint 18/R, di sini hari ini.

Program anjuran Perikatan Nasional (PN) Putrajaya ini disertai 100 kanak-kanak dari sekitar kawasan  ini.

Sebelum ini, sesi penggal ketiga ditetapkan bermula pada 2 Januari 2022 bagi sekolah Kumpulan A dan 3 Januari 2022 bagi Kumpulan B, namun ditangguhkan selama seminggu berikutan banjir besar yang melanda beberapa negeri di seluruh negara.

Ekoran itu, sesi persekolahan bagi sekolah Kumpulan A akan bermula pada 9 Januari 2022 manakala Kumpulan B pula pada 10 Januari 2022.

Katanya lagi, sistem penggiliran kehadiran murid ke sekolah akan dilaksanakan apabila persekolahan dibuka.

“Kementerian akan mengumumkan dalam masa terdekat kelas mana yang perlu digilirkan dan secara umumnya akan masih ada sistem penggiliran sesi persekolahan. 

“Sistem penggiliran ini perlu bagi memastikan sesi  pembukaan persekolahan berlangsung secara teratur dan selamat,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tiada ulasan: