26 Disember 2021

Ketiadaan air punca kerja mencuci tergendala

 

Oleh NOR HAZWANI NOH

MENTAKAB: Proses pembersihan rumah di Taman Mentakab Indah, di sini tergendala susulan ketiadaan bekalan air bersih.

Mangsa banjir, Nur Syamimi Azierah Zuraidi, 28, mereka hanya mampu mengeluarkan barang dan perabot terlebih dahulu dan menolak keluar lumpur yang ada di dalam rumah mereka sebelum bekalan air kembali pulih.

“Hari ini (Sabtu) air baru surut. Setakat ini, kami hanya boleh keluarkan barang sahaja sebab nak bersihkan rumah tiada air.

“Tempat ini (kejiranan) terpaksa punggah air,” katanya ketika ditemui, semalam.

Nur Syamimi Azierah

Menurut Nur Syamimi Azierah, tempat yang didiaminya bersama keluarga dilanda banjir paling cepat dan terakhir surut.

Sebelum ini katanya, semasa dia pulang ke rumah, keadaan air banjir yang berkumpul kian naik, bahkan tidak surut walaupun cuaca cerah.

Menurutnya, banjir yang berlaku pada kali ini paling teruk berbanding sebelumnya air yang naik hanya separas lutut atau buku lali.

“Saya tinggal di sini sejak dari kecil, ini yang paling teruk. Kalau dulu banjir tidak ada lumpur macam ini.

“Mula banjir berlumpur pada bulan satu awal tahun, mungkin sebab tidak ada pokok, dulu pokok penuh,” katanya.

Beliau yang bekerja sebagai pegawai keselamatan berkata, mereka terpaksa meredah air separas pinggang untuk keluar ke tempat selamat.

Menurutnya, semasa kejadian, air naik begitu pantas disebabkan hujan lebat berlarutan.

Kediaman Nur Syamimi Azierah selepas banjir di Taman Mentakab Indah.

“Air sini naik dalam pukul 12 lebih, kami terus alih kereta. Malam itu berjaga-jagalah sebab hujan tak berhenti.

“Ingatkan tidaklah seteruk macam ini (air naik sampai bumbung rumah), sehinggakan rumah lorong belakang seluruh tenggelam.

“Kalau rumah jiran yang dua tingkat sampai paras mencecah tingkat atas rumah kami lagilah. Pagi itu memang air laju sangat. Beberapa minit sudah sampai paha, pada masa itu memang kena keluarlah sebab tidak selamat kalau kami duduk sini.

“Kami keluar jalan kaki harung air bersama keluarga dan bawa anak yang berumur setahun 4 bulan,” katanya yang kini menumpang rumah saudaranya di sini.

Beliau berkata, kediaman yang didiaminya bersama keluarga seramai enam orang itu mengalami kerugian hampir RM30,000. – HARAKAHDAILY 26/12/2021

Tiada ulasan: