Oleh SYAHIRAH SALLEH
TEMERLOH: Rata-rata mangsa banjir di sini tidak menyangka mereka terpaksa mengharungi banjir sebanyak dua kali tahun ini.
Mangsa banjir di Taman Murni, Ghazali Ishak, 57, berkata dia terpaksa memindahkan barang dua kali berikutan paras air yang naik pada hari kejadian lebih tinggi dari sangkaannya.
Katanya, semasa banjir di Pahang Januari lalu, air hanya naik pada paras lantai dan rumah mereka terselamat.
Namun kata Ghazali, paras air banjir baru-baru ini lebih tinggi sehinggakan dia terpaksa memindahkan barangnya ke rumah jiran yang lebih tinggi sebanyak dua kali.
“Air naik laju sangat, masa orang tengah azan subuh kita tengah punggah barang, dalam pukul 4 kita bangun tengok pergi di kedai depan itu, air dah masuk dalam kedai.
“Memang terus fikir air akan naik, kali terakhir banjir naik sampai situ (kedai hadapan taman) sahaja, tak teruk macam ini,” ujarnya ketika ditemui di sini.
Ditanya mengenai kekangan dalam kerja pembersihan pasca banjir, kata Ghazali, mereka menerima bekalan air dua kali sehari.
Katanya, bekalan air akan dibuka pada waktu pagi, bermula jam 11 pagi sehingga 12 tengah hari dan pada waktu petang bermula jam 6 petang sehingga 7 petang.
Menurut Ghazali dia memahami situasi berkenaan dan tidak merungut mengenai ketiadaan air memandangkan lebih banyak tempat yang terkesan tiada air disebabkan banjir.
Mangsa banjir Pavithira Veran AL Vatimalai, 26, berkata dia juga tidak menyangkakan akan mengalami banjir sebanyak dua kali tahun ini.
Selain itu, Pavithira Veran mengatakan dia sukar untuk mendapatkan bantuan memandangkan ramai orang hanya mengedarkan bantuan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Kenapa semua orang hantar bantuan masuk ke PPS sahaja dan tidak distribute di rumah yang terkena banjir di sini?
“Banyak orang sekarang di rumah mencuci rumah mereka, siapa yang akan tunggu di PPS lagi?” soalnya.
Kata Pavithira Veran, dia hanya sempat menyelamatkan kad pengenalan dan surat beranak mereka semasa banjir baru-baru ini.
Katanya lagi, kerja pembersihan rumahnya dibantu rakan dan jiran. Kini, mereka sudah selesai mengalihkan barang dari dalam rumahnya.
Sementara itu, di Taman Mentakab Indah, ketiadaan air di lokasi banjir antara masalah utama yang dihadapi mangsa banjir dalam operasi dan kerja-kerja pembersihan.
Mangsa banjir Taman Mentakab Indah, Asmah Ismail, 55, berkata dia hanya dapat mengeluarkan barang atau perabot dari rumahnya terlebih dahulu buat masa sekarang.
Katanya, kerja pembersihan hanya dapat dilakukan bermula Sabtu berikutan air banjir baru sahaja mula kering pada Jumaat.
“Air tiada, elektrik pun tiada. Susah nak mencuci, Lumpur banyak. Hari ini baru keluarkan barang sebelah bawah, sebelah atas belum lagi.
“Saya pindahkan barang naik tingkat atas, tak sangka banjir kali ini atas pun tenggelam. Ingat rumah dua tingkat selamatlah letak barang di atas, rupanya tak,” katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini, semalam.
Kata Asmah, dia kini sehelai sepinggang bersama suami dan dua orang anaknya disebabkan banjir baru-baru ini.
Menurutnya dia juga hilang mata pencarian apabila kedai makan miliknya turut musnah di bawa arus banjir.
Kata Asmah, capaian untuk mendapatkan bantuan di taman berkenaan juga mudah disebabkan banyak badan bukan kerajaan (NGO) mengedarkan secara terus kepada mereka.
“Bantuan mudah nak dapat, sebab dia orang datang distribute di sini, cuma dia bukanlah dari rumah ke rumah, siapa yang pergi ambil, dapatlah,” katanya.
Asmah juga tidak menyangka banjir kali ini akan meneggelamkan tingkat atas rumahnya.
Katanya, dia giat memindahkan barang ke tingkat atas rumah, namun paras air banjir lebih tinggi sehingga turut memusnahkan barang yang dipindahkan.
Asmah dan keluarga berteduh di kilang papan berdekatan pada waktu malam. Katanya, di situ tiada sebarang bantuan diterima. – HARAKAHDAILY 26/12/2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan