26 Disember 2021

Salur bantuan wang tunai cara 'turun padang'

 Peniaga, Ibrahim Abg Aziz, tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya, di Kampung Batu 12, ditenggelami banjir. NSTP/Foto Luqman Arif Abdul Karim

Peniaga, Ibrahim Abg Aziz, tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya, di Kampung Batu 12, ditenggelami banjir. NSTP/Foto Luqman Arif Abdul Karim

PUCHONG: Mekanisme penyaluran bantuan wang tunai kepada mangsa banjir sepatutnya dibuat berteraskan kaedah 'turun padang' berbanding proses permohonan yang merumitkan.

Peniaga, Ibrahim Abg Aziz, 60, yang tinggal ibarat sehelai sepinggang selepas rumahnya, di Kampung Batu 12, ditenggelami banjir menyifatkan proses permohonan bantuan RM1,000 oleh kerajaan terlalu renyah.

Kesal dengan corak penyampaian bantuan sedemikian, beliau meminta supaya kerajaan dan agensi yang terbabit dengan penyaluran wang tunai kepada mangsa banjir untuk mempermudahkan proses berkenaan.

"Kenapa sejak dulu, kalau banjir, mesti mangsa yang masih berhempas-pulas, terpaksa mengharungi pelbagai kesukaran dan usaha membina semula kehidupan, perlu berdepan dengan kerumitan proses permohonan bantuan.

"Bukankah lebih baik kalau ada jawatankuasa atau agensi tertentu yang dilantik untuk turun padang, pergi dari satu rumah ke rumah, di kawasan terjejas banjir untuk mengambil maklumat mangsa.

"Selepas maklumat yang diambil ditentu sahkan, bantuan kemudian disalurkan sama ada secara tunai atau dikreditkan ke akaun mangsa.

"Ini tidak, setiap kali banjir, masing-masing keliru macam mana nak mohon bantuan wang tunai yang amat diperlukan untuk membina semula kehidupan kami," katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang hadir bagi meninjau keadaan mangsa banjir, menunaikan solat Zuhur di Masjid Al-Istiqamah, di sini.

Beliau kemudian ditemani Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, meluangkan masa lebih sejam untuk melawat empat rumah mangsa banjir.

Pengusaha kedai, Cong Lee Chu, 59, pula berkata hampir 95 peratus daripada perkakas dan kelengkapan perabot rumahnya musnah dalam insiden banjir, 18 Disember lalu.

"Air naik terlalu cepat dan saya tidak dapat menyelamatkan harta benda. Kini, saya hanya harapkan ihsan orang ramai serta bantuan kerajaan untuk ringankan bebanan sekeluarga.

"Bantuan wang tunai itu akan digunakan untuk membeli kelengkapan rumah yang rosak, selain bagi menampung pembelian keperluan asas," katanya.

Penjawat swasta, yang hanya ingin dikenali sebagai Ebby, 41, berkata keluarganya ada menerima borang permohonan bantuan wang tunai dari balai raya berdekatan.

Bagaimanapun, katanya, pelbagai kekeliruan timbul berhubung proses permohonan dan jenis dokumen sokongan yang diperlukan, sekali gus menyukarkan penyaluran bantuan berkenaan.

"Saya tanya jiran pun mereka tidak pasti, malah banyak dokumen penting tidak dapat diselamatkan dalam banjir tempoh hari," katanya.

bharian.

Tiada ulasan: