30 Disember 2021

PAS-Umno Kelantan adakan pertemuan 22 Jan depan

 

Oleh AIN MANAF

PASIR MAS: 
PAS Kelantan menetapkan 22 Januari depan bagi mengadakan pertemuan dengan Umno negeri membincangkan hala tuju kerjasama Muafakat Nasional (MN) antara kedua-dua parti itu.


Pesuruhjaya PAS Negeri Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, pertemuan terbabit turut membincangkan mengenai hala tuju dan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita tetapkan tarikh 22 Januari ini bagi mengadakan pertemuan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa banjir di Dewan Utama Apam Putra, di sini hari ini.

Baru-baru ini Umno Kelantan memaklumkan menghantar surat rasmi kepada PAS bagi membincangkan mengenai hala tuju MN dan persiapan menghadapi PRU15.

Difahamkan pertemuan dengan Umno sebelum ini dihoskan PAS Kelantan, namun pertemuan seterusnya tidak dapat diadakan berikutan penularan Covid-19.

PAS sehingga sekarang menegaskan mahu mempertahankan MN dan memperkasa hubungan Perikatan Nasional (PN) demi survival politik orang Melayu/Islam di negara ini.

Kerjasama MN sepatutnya diputus di peringkat pusat, biarpun ada sesetengah negeri memohon autonomi bagi memperkukuhkan MN untuk menghadapi PRU15.

Antaranya Umno Selangor dan Pahang kekal berpendirian meneruskan kerjasama dengan PAS bagi mengukuhkan MN di negeri itu. – HARAKAHDAILY 29/12/2021

Tiada ulasan: