30 Disember 2021

Sambutan tahun baharu dibatalkan – PM

 

ISMAIL SABRI YAAKOB

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk membatalkan sambutan tahun baharu dan digantikan dengan solat hajat dan doa selamat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia sebagai tanda menghormati dan bersimpati dengan mangsa banjir yang melanda beberapa negeri.

Pada masa sama, beliau meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) untuk menganjurkan Solat Hajat dan Malaysia Berzikir Ambang 2022 di Masjid Putra, Putrajaya, esok.

“Dengan itu, saya mengajak Keluarga Malaysia untuk solat Maghrib berjemaah, solat hajat dan doa selamat di Masjid Putra, Putrajaya pada malam esok.

“Bagi mereka yang tidak berpeluang hadir, boleh mengikuti siaran secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV Al-Hijrah,” katanya menerusi Twitter beliau hari ini.

Ismail Sabri turut menyarankan agar masjid-masjid di seluruh negara, terutamanya masjid negeri, menganjurkan majlis yang sama.

Kata beliau, Keluarga Malaysia yang bukan beragama Islam pula boleh melakukan sembahyang mengikut kepercayaan dan agama masing-masing.

“Semoga usaha kita semua mendapat keberkatan dan Malaysia akan menjadi lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini, ” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: