30 Disember 2021

PROTON tawar diskaun alat ganti kereta kena banjir

 PROTON menerima lebih kurang 600 kenderaan yang terkesan banjir di pusat servis setakat ini - Foto PROTON

PROTON menerima lebih kurang 600 kenderaan yang terkesan banjir di pusat servis setakat ini - Foto PROTON

KUALA LUMPUR: PROTON menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus bagi alat ganti terpilih untuk semua model kecuali Proton X50 dan Proton X70 kepada pelanggannya yang terjejas dengan banjir.

Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah, berkata pihaknya turut menawarkan servis tunda serta pembersihan luar dan ruang enjin secara percuma.

"PROTON amat bersimpati dengan nasib mangsa banjir baru-baru ini kerana kebanyakan mereka terdiri daripada golongan B40.

"Sehingga kini, lebih kurang 600 kenderaan diterima oleh pusat servis PROTON dan kami menjangkakan banyak lagi unit akan tiba pada hari dan minggu yang akan datang.

"Oleh itu, pihak syarikat mengambil keputusan untuk meningkatkan lagi pakej bantuan untuk meringankan beban kewangan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, bagi pemilik Proton X50 dan Proton X70, diskaun untuk alat ganti terpilih dinaikkan kepada 25 peratus berbanding dengan 20 peratus yang diumumkan sebelum ini.

Katanya, diskaun sebanyak 25 peratus juga akan diberikan bagi caj buruh untuk semua model.

"Tawaran bantuan ini boleh didapati di pengedar 3S/4S Proton terpilih dan tertakluk kepada terma dan syarat. Sebagai tambahan, pelanggan yang diinsuranskan bawah Program Insurans Proton (PIP) layak menerima bayaran bantuan banjir sebanyak RM1,000.

"Selain pakej bantuan, PROTON juga akan berunding dengan pihak bank untuk membenarkan pelanggan membuat bayaran secara ansuran melalui kad kredit bagi pembayaran bil.

"Kemudahan ini bermakna mereka tidak akan dikenakan bayaran faedah serta tidak perlu membuat bayaran penuh secara sekali gus," katanya.

Untuk keterangan lanjut, pemilik boleh menghubungi talian pelanggan PROTON di 1-800-88-8398.

BHARIAN.

Tiada ulasan: