KETIKA jenazah Rasulullah SAW sedang dikebumikan oleh keluarga dan beberapa orang sahabat Baginda, diadakan syura di Saqifah Bani Sa’idah. Syura tersebut adalah bagi memilih pengganti yang akan memimpin negara dan umat selepas kewafatan Rasulullah SAW.
Sebagaimana yang ditafsirkan oleh para ulama, syura itu diadakan dengan segera kerana urusan siasah memimpin negara yang lebih penting daripada urusan mengebumikan jenazah Rasulullah SAW. Walaupun demikian urusan pengebumian juga merupakan kewajipan yang sangat besar.
Tugas Rasulullah SAW wajib diteruskan sekalipun ia sangat sukar diganti, kerana tiada sesiapa yang boleh menandingi Baginda sebagai utusan pilihan Allah SWT.
Memilih seorang pemimpin bagi menghadapi situasi yang sangat mencabar amat penting demi kelangsungan risalah Islam yang sempurna ke seluruh alam. Tugas ini tidak tamat dengan kewafatan Baginda SAW.
Kehilangan rasul yang besar menjadi kekosongan yang tidak mungkin diganti, tetapi urusan umat perlukan pengganti yang menyambungnya, meneruskan ajaran yang ditinggalkan menjadi pusaka.
Maka berlakulah perbincangan hangat, ada yang berpendapat bahawa penggantinya mestilah dari kalangan keluarga. Mereka mencadangkan Ali bin Abi Talib RA. Golongan Ansar pula mencadangkan calon mereka Saad bin Ubadah RA.
Akhirnya mereka semua bersepakat memilih Abu Bakar al-Siddiq RA menjadi pengganti Rasulullah SAW yang diberi gelaran Khalifah Rasulullah SAW. Maka umat Islam bersatu dalam perkara ini.
Insya-Allah bermula Jumaat ini pengajian bahagian Sirah dalam Kuliah Dhuha Masjid Rusila akan menggunakan kitab edisi baharu dan terkini berjudul “Fiqh Siasah Khulafa’ ar-Rasyidin: Khalifah Abu Bakar RA”.
Kitab ini akan menyambung saat pelantikan Saidina Abu Bakar RA sebagai khalifah pertama setelah kewafatan Rasulullah SAW.
Kitab ini memaparkan sejarah perjalanan hidup Khalifah Abu Bakar RA khususnya peranan dan sumbangan beliau dalam melangsungkan pemerintahan Islam pasca kewafatan Rasulullah SAW sebagai Khalifah yang pertama.
Sejarah pemerintahan Saidina Abu Bakar RA mengandungi banyak pengajaran dan panduan yang sangat penting kepada seluruh umat Islam hari ini. Umat Islam wajar meneladani kepimpinan Khulafa’ al-Rasyidin kerana mereka telah ditarbiah oleh Rasulullah SAW secara langsung. – HARAKAHDAILY 30/12/2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan