29 September 2009

Gempa Bumi Berukuran 5.5 Gegarkan Sukabumi Di Jawa Barat

JAKARTA, 28 Sept :- Satu gempa bumi berukuran 5.5 pada skala Richter menggegarkan Sukabumi, di Jawa Barat pada kira-kira pukul 7.26 pagi Isnin waktu tempatan.

Pusat gempa bumi itu terletak di latitud 8.17 darjah selatan, 107.23 darjah ke timur, kira-kira 143 kilometers tenggara Sukabumi, Jawa Barat, pada kedalaman 10 km bawah paras laut.

Agensi berita Antara memetik Pejabat Meteorologi, Cuaca dan Geofizik Indonesia (BMKG) sebagai berkata kejadian itu tidak berpotensi mencetuskan bencana tsunami.

Indonesia yang memiliki kepulauan terbanyak di dunia terletak di sekitar "Lingkaran Api" Pasifik yang sering terdedah kepada bencana gempa bumi.

Pada 2 Sept lepas gempa bumi 7.2 pada skala Richter menggegarkan Wilayah Jawa Barat dan merosakkan sekurang-kurangnya 3,199 rumah di bandar raya dan daerah Sukabumi.

Gempa bumi kuat itu jelas dirasakan di 16 daerah di Jawa Barat, mengakibatkan 73 orang maut dan lebih 700 orang tercedera.

-- BERNAMA

Korban Jalan Raya Meningkat Kepada 261 Hari Terakhir Ops Sikap

KUALA LUMPUR, 28 Sept :- Korban jalan raya yang dicatatkan dalam Ops Sikap ke-20 yang berakhir semalam berjumlah 261 orang sejak ia dilancarkan 13 Sept lepas.

Jumlah kematian yang dicatatkan itu bertambah berbanding Ops Sikap ke-17, yang diadakan sempena perayaan Aidilfitri tahun lepas, yang melaporkan 208 kematian.

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman Supt Rasdi Ramli berkata pada hari terakhir Ops Sikap ke-20 semalam, sebanyak 23 kematian direkodkan.

Pengguna motosikal masih mendahului jumlah senarai korban dengan 12 kematian, diikuti lapan pengguna kereta dan tiga melibatkan pejalan kaki, katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Daripada 931 kemalangan yang berlaku semalam, jalan bandaran mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi iaitu 388 kes, diikuti jalan persekutuan (284), jalan negeri (152), lebuh raya (68) dan jalan-jalan lain (39 kes).

Dalam operasi semalam, sebanyak 9,826 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

Ops Sikap ke-20 diadakan bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya sempena sambutan Aidilfitri. Ia membabitkan kira-kira 2,000 penguatkuasa termasuk polis, bomba dan ambulans.

-- BERNAMA

SAYURAN DAN HASIL LADANG ORGANIK

Email : Zamri Keciks

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Saya ingin menjemput semua rakan - rakan terutama bagi mereka yang akan berada di sebelah Utara khusus nya bagi mereka yang berada di Parit Buntar, Perak untuk mengunjungi Qadhijah Natural Farm.

Qadhijah Natural Farm merupakan sebuah kebun yang mengamalkan sistem pertanian Natural Farming dimana semua hasil - hasil disini ditanam TANPA menggunakan baja dan racun kimia. KESEMUA Baja dan Kawalan Perosak kami hasilkan sendiri menggunakan bahan - bahan semulajadi dari ladang kami sendiri yang DIKITAR SEMULA.


Anda boleh mendapatkan pelbagai jenis sayuran, Cili, Cili Padi, Serai, Lengkuas dan lain - lain lagi di Qadhijah Natural Farm. Gerai di ladang kami akan dibuka SETIAP HARI dan cuma akan ditutup pada HARI RAYA PERTAMA SAHAJA.

Selain dari hasil - hasil ladang ini, anda juga boleh mendapatkan Baja Organik, Kawalan Perosak Organik, Biji - biji benih dan juga anak - anak pokok.

Qadhijah Natural Farm,
Parit Lebai Akhir, Titi Serong,
Parit Buntar, Perak.
016 510 8574 / 05 7171 613
(Kedudukan Qadhijah Natural Farm adalah di tepi jalan utama Titi Serong - Tg. Piandang. Ianya dapat dilihat dengan mudah di tepi jalan dengan pagar berwarna Coklat (brown), kira - kira 5 minit dari Pekan Titi Serong.)

Terima Kasih - Jumpa di sana!

TINDAKAN ADUN-ADUN PR ADALAH TEPAT, PJ PAS PERAK

Oleh : mohd hafez sabri

Ipoh, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menegaskan sekali lagi bahawa tindakan Adun-adun Pakatan Rakyat untuk tidak menghadiri sidang DUN yang dipanggil Ganesan adalah langkah yang tepat hal ini kerana Yb V. Sivakumar adalah speaker yang sah, manakala Ganesan dengan jelas adalah speaker yang tidak sah kerana cara Ganesan dilantik sebagai speaker adalah tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

Beliau menegaskan bahawa “Kedudukan Ganesan hingga kini masih lagi tidak sah dan tidak jelas. Dan beliau telah melanggar Perlembagaan Negeri yang melarang seseorang memegang dua jawatan dalam satu masa. Beliau masih jadi peguam sewaktu dilantik jadi Speaker Dewan. Sebenarnya yang bermasalah adalah Ganesan bukannya Yb V.Sivakumar.”

“Kita juga sedia maklum apa yang diputuskan dalam Sidang DUN 2 september baru-baru ini adalah sah dan sama statusnya dengan sidang yang diadakan dibawah pokok kerana dihalang oleh umno/bn untuk adun-adun PR masuk bersidang secara baik di dalam dewan sebelum ini dan ianya adalah sah kerana pada satu-satu masa hanya boleh ada satu DUN sahaja. DUN di pengerusikan Ganesan tidak sah kerana kuasa mempengerusikan sidang DUN masih di bawah Yb V.Sivakumar,” katanya.

Tambah beliau lagi “ Seluruh rakyat Perak mengetahui bahawa Yb V. Sivakumar masih lagi Speaker Dewan kerana ia diangkat keluar dari Dewan secara paksa pada Mei lalu dalam cubaan rampasan kuasa Umno-BN, sememangnya insiden mengusung keluar secara paksa speaker dari dalam dewan adalah tindakan ganas umno/bn yang telah memalukan seluruh rakyat Negeri Perak”

ASALNYA AIDIL FITRI

ismailybungsu@yahoo.com
http://groups.yahoo.com/group/Watan_Sabah


SEGERALAH kita panjatkan ucap syukur kepada Allah yang menjadikan kita kerana telah memberikan rahmat yang bukan sedikit banyaknya dan kita sendiri masih terus menikmati nikmat itu hingga kini serta menyebabkan kita terus bernafas dan hidup dalam keadaan yang berbahagia, aman dan harmoni dimana ternyata telah kita selesaikan5berpuasa tanpa ada apa-apa halangan kecuali mereka yang memang berhalangan atas sebab-sebab tertentu yang bisa dimaafkan.

Hari ini ternyata tanggal 22 september, 2009. nah, saya mulakan dengan kata bismillahir rohmanir rohim sambil menyebut nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang dan tentu saja saya mulakan ceritanya kala Rasulullah datang ke kota Madinah dimana para penghuni kota Madinah kala itu sememangnya telah mempunyai dua perayaan yang dinamakan “Nairuz” dan “Mahrajan”

Kedua-dua perayaan yang saya maksudkan itu adalah berasal dari zaman Parsi Kuno dan bila Nabi menyaksikan perayaan berkenaan berlaku di Madinah, maka langsung beliau bersabda bahawa Allah menukar kedua-dua hari raya alias perayaan itu dengan hari yang lebih baik dan cukup mulia, iaitu hari raya aidil fitri dan aidil adha alias hari raya korban dan sabda ini memang pernah diriwayatkan oleh yang namanya Abu Daud dan Nasai.

Nabi sebenarnya tidak pula menghapuskan kedua-dua perayaan yang namanya Nairuz dan Mahrajan itu, malah kedua-dua perayaan itu tetap dikekalkan seperti asalnya, cuma saja yang berbeda ialah cara meraikannya iaitu diubah sedikit dan disesuaikan dengan peristiwa-peristiwa yang ada hubungannya dengan syariah Islam serta disertakan dengan nilai-nilai yang bersifat rohaniah dan “ijtima-iyah” alias kemasyarakatan, sedang acara-acara pesta yang mewah menuruti kemahuan nafsu seperti yang terdapat dalam perayaan Nairuz dan Mahrajan yang tidak terbatas ditiadakan alias diberhentikan/dihapuskan.

Nah, sejak itulah atas perintah Allah lewat Nabi junjungan kita perayaan yang sekarang ini dinamakan aidil fitri dilaksanakan/dirayakan setelah kaum muslimin mengerjakan sebulan lamanya ibadah puasa yang sifatnya sebagai tanda hari kemenangan dari perjuangan mengendalikan segala hawa nafsu dan ianya ditetapkan pada 1 syawal sempena tahun kedua hijrah bersamaan dengan tahun permulaan diwajibkan mengerjakan ibadah puasa itu sendiri.

Puncak merayakan aidil fitri tentunya dengan cara melakukan sembahyang hari raya dan dengan secara tidak langsung ia merupakan tindakan yang disebut sebagai “ta-abbudi” yang maknanya pernyataan rasa syukur kaum muslimin kepada Allah yang telah mengurniakan nikmat yang amat besar dan tak terkira jumlahnya.

Manakala hukum sembahyang hari raya sebenarnya adalah bersifat sunat “muakkad” disamping ianya merupakan kenyataan dan perwujudan tentang adanya roh dan syiar Islam yang bersifat antarabangsa sebab ianya dilakukan serentak oleh kaum muslimin di seluruh dunia tanpa mengenal warna kulit, bangsa, hina atau mulia serta berpangkat maupun tidak berpangkat.

Setahu saya sebahagian ulamak termasuk Ibnu Qayyim memberikan kesimpulan bahawa sembahyang hari raya itu lebih sesuai apabila dilakukan di tempat terbuka supaya syiar Islam lebih nyata dan tersebar luas kerana telah diyatakan alias diriwayatkan bahawa Nabi sendiri senantiasa mendirikan sembahyang hari raya secara berjemaah di suatu tempat yang dinamakan Musolla.

Musolla adalah merupakan tempat terbuka seperti padang yang luas yang letaknya berhampiran pintu gerbang masuk ke kota Madinah pada sebelah timur dan yang nyata/betulkan saya kalau tersilap bahawa Nabi sendiri tidak pernah mengerjakan solat aidil fitri di masjid kecuali hanya sekali sahaja/itupun atas sebab hujan yang tidak mengizinkan baginda bersembahyang di Musolla atau tempat-tempat terbuka ketika itu.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Athiyah Rasullullah telah menyatakan bahawa muslimin disuruhnya membawa ke luar anak-anak gadis dan wanita-wanita yang sedang haid, pada kedua-dua hari raya yang dimaksudkan supaya mereka turut sama menyaksikan kebaikan sambil mendengarkan doa kaum muslimin dimana wanita-wanita yang haid pula hendaklah menjauhkan diri dari tempat solat itu sendiri.

Rasulullah telah menetapkan bahawa kedua-dua hari raya itu dirayakan haruslah dengan cara menyemarakkannya dengan ucapan-ucapan tahlil, takbir, tahmid dan taqdis dan kalimat yang biasanya diucapkan dalam bahasa arab dan setelah diterjemah ke bahasa Malaysia ia membawa makna seperti berikut: “Tiada Tuhan kecuali Allah, Allah Yang Maha Agung, segala puja puji bagi Allah semata-mata”. Kalimat-kalimat tauhid dan takbir serta tahmid yang dimaksudkan diucapkan semenjak matahari terbenam pada akhir ramadhan sampai selesai solat aidil fitri.

Nah, segala apa saja yang diucapkan tentunya diharapkan sangat agar kaum muslimin dapat merubah pemikiran termasuk cara mereka bertindak yang disesuaikan dengan ajaran agama Islam supaya lebih sedar, insaf dan semakin menambah keyakinan tentang kebesaran Allah dan kekuasaan-Nya sekali.

Dan memang nyata dan benar bahawa kala apa saja ajaran perintah Allah dilakukan oleh kaum muslimin, maka janji-janji Allah seperti yang terdapat lewat surah An-Nur ayat 55 akan pasti ditunaikan dimana ada tiga hal yang dijanjikan, iaitu menjadi penguasa di muka bumi, keduanya agama yang kuat dan teguh, manakala ketiganya pula ialah jaminan keamanan rohaniah.

Sekali lagi saya ulangi bahawa ketiga-tiga perkara yang dijanjikan hanya akan ditunaikan oleh Allah setelah kita melakukan apa saja yang diperintahkan-Nya lewat surah yang sama pada ayat terakhir yang maksudnya telah diperintahkan oleh Allah untuk terus menyembah-Nya dan tidak mempersekutukan-Nya seperti yang difirmankan: “Kamu harus menyembah Aku dan jangan mempersekutukan Aku dengan sesuatu”

Allah pada hakikatnya memang bersifat “Nashana Abdah” iaitu menolong setiap hambanya dan hal tersebut telah dijelaskan melalui firmannya seperti berikut: “kalau kamu menolong agama Allah, maka Allah akan pasti menolong kamu dan akan diteguhkan-Nya pendirian kamu”(Muhammad:7)

Selain daripada mengadakan solat aidil fitri dan kemudian mengagung-agungkan nama Allah juga harus menghormati fakir miskin iaitu dengan cara membayar zakat fitrah dan zakat tersebut dilaksanakan sebelum tibanya hari raya untuk membolehkan fakir miskin dapat menggunakannya demi bersama merayakan hari yang dimaksudkan dan pada hakikatnya Islam adalah merupakan agama yang berunsur “ijtima-iyah” dan kerana itu makanya ia tidak membiarkan ada orang Islam yang hidupnya miskin dan tidak punya makanan dan di sinilah letaknya hikmah zakat yang sebenarnya.

Nah, sekarang ini apakah kita sudah memahami akan maksudnya hari raya aidil fitri yang bakal kita rayakan minggu depan ini? Memangnya ramai sangat yang menjawab dengan kata amat mengerti, tapi bila saja disoal tentang asal usulnya dan sebab-sebabnya diadakan, maka ternyata masih ramai yang terkial-kial dan kalau adapun yang tahu atau amat tahu, ternyata ramai yang masih berada pada sikap yang lama dengan cara terus bersikap kasar, tidak bertimbang rasa, sombong, takbur, menunjuk-nunjuk alias riak, malah selalu memaki hamun dan melakukan sesuatu yang tidak sesuai dengan matlamat perayaan hari raya aidil fitri itu sendiri.

Sobat saya yang namanya Abdul Karim Gulam misalnya telah menghubungi saya dua minggu lalu melalui telefon dan saya bercakap secara panjang lebar tentang Nabi Muhammad yang disimbah dengan air kotoran kala berjalan menuju masjid dan kemudian dia mengakui tahu sedikit mengenai Nabi yang disimbah itu.

Setelah tiga hari kemudian diceritakannya kepada seorang teman yang memakai tali leher, berpakaian yang hebat, kasut yang berkilat, tiba-tiba di pertengahan jalan ada seorang bangsa asing berjalan dan terinjak lopak yang ada air, lalu air tersebut memercik ke pakaiannya yang menjadikan pakaiannya kotor yang lantas/menurut saudara Karim yang kawannya itu secara segera terus menampar orang yang menyebabkan pakaianya kotor. Kesihan, kenapa sampai sedemikian jadinya akal dan fikiran manusia seperti kita inin yang selalu berada di luar pertimbangan.. Astaga!

Dinyatakan oleh Abdul Karim sendiri bahawa ia mendengar dengan penuh teliti penerangan kawannya yang menampar itu dan setelah selesai maka barulah saudara Karim menceritakan tentang Nabi yang disimbah dan tidak pernah membenci orang yang menyimbahnya, apa lagi mahu menampar dan sebagainya seperti yang dilakukan oleh kawan yang menceritakan, malah Nabi sendiri terus membawa susu dan sup kambing kala yang menyimbahnya sedang sakit tenat dan ia kononnya segera memotong kata-kata Abdul Karim Gulam begini:

“Kamu salah Rim, jangan lupa bahawa waktu itu zaman Nabi berdakwah, tapi sekarang ini bukan zaman Nabi lagi…” katanya secara sungguh-sungguh dan kata-kata itu diucapkan secara keras yang semacam tidak ada sikap bertolak ansur langsung dan Abdul Karim terdiam ketika itu sambil tersentak dan terus tidak mahu bercakap lagi, lalu saya nyatakan kepada saudara Karim Gulam agar jangan menuang minyak pembakar di tempat yang memang ada api dan kemudian saya sarankan supaya ia dapat bercakap dengannya di lain waktu sahaja/maksudnya kala ia nantinya dalam keadaan yang tenang bukan di masa ia tengah benci dan marah sangat kepada orang yang menyebabkan bajunya kotor.

Nah, inilah sebenarnya tujuan hari raya aidil fitri diadakan supaya antara kita terus bermaaf-maafan dan selalulah dalam keadaan/bersikap sabar, tabah dan tidak panas baran, bertolak ansur, tolong menolong, berkasih sayang atau mereka yang selalu memaki hamun supaya segera menghilangkan tabiat sedemikian rupa.

Ayuh pada sobat tercinta saya, mari kita jadikan dunia ini tempat kita berkasih sayang, bertolak ansur, tolong menolong, cinta menyintai dengan penuh kasih sayang tanpa mengenal apakah ia Islam atau bukan Islam atau tanpa punya agama, sama ada ia merupakan insan atau haiwan dan ayuhlah kita jadikan dunia ini laksana di syurga loka yang penuh dengan buah-buahan, bidadari dan segala macam. Sesungguhnya itulah harapan saya dan tentunya harapan semua orang dan ternyata itulah sebenarnya mesej yang mahu disampaikan oleh hari yang namanya hari raya aidil fitri.

Nah, sebelum saya mengakhiri catatan ini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat hari raya, maaf zahir dan batin, halalkan yang termakan dan terminum dan mohon dilupakan kesemua kesilapan dan maafkan saya kalau memangnya ada catatan saya sebelum ini amat menyentuh perasaan. Yakinlah bahawa apa saja yang baik tentunyanya dari Allah, sementara yang tak baik/tak betul adalah dari saya sendiri. Maafkan saya! maafkan saya? maafkan saya!

ISMAILY BUNGSU
UMS-SABAH

Rasuah: Malaysia merudum lagi, lebih buruk dari Botswana dan Bhutan

KUALA LUMPUR, 27 Sept: Ketika Pulau Pinang diiktiraf kerana usahanya memerangi rasuah oleh Transparency International (TI), Malaysia terus merudum dalam Indeks Persepsi Rasuah apabila berada pada kedudukan ke 47 pada tahun 2008 berbanding tangga ke 43 pada tahun 2007.

Malah, kedudukan Malaysia lebih buruk dari Israel yang dilabel sebagai entiti haram pengganas dan negara yang dianggap kurang membangun seperti Botswana dan Bhutan. Israel berada pada kedudukan ke-33, Botswana ke-36 manakala Bhutan berada pada kedudukan ke-45.

Paling mendukacitakan ialah apabila indeks yang dikeluarkan oleh TI itu menunjukkan negara-negara umat Islam tidak mengamalkan ajaran Islam yang memerangi rasuah.

Negara-negara seperti Somalia, Iraq, Afghanistan dan Sudan berada di tangga paling bawah. Somalia berada di kedudukan tercorot iaitu ke-180, Iraq ke-178, Afghanistan ke-176 dan Sudan ke-173.

Negara yang berada di tempat teratas ialah Denmark diikuti oleh New Zealand, Sweden dan Singapura.

Di Malaysia, negara menanggung kerugian sebesar RM10 billion setahun akibat rasuah - iaitu jumlah yang mencukupi untuk membina lebih dari 15000 kos rendah jika diambilkira permohonan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) kepada kerajaan untuk menaikkan harga rumah kos rendah kepada RM60,000.

Dalam laporannya, TI membangkitkan amalan keluar masuk yang berterusan di antara bidang politik dan perniagaan di mana pihak tertentu bertukar-tukar tempat dari kedudukan sebagai ahli politik kepada ahli perniagaan atau dari ahli perniagaan kepada ahli politik dan terus keluar masuk di antara kedua-dua bidang itu.

Keadaan itu, menurut TI, mengakibatkan pengaruh yang negatif kepada konsep "check and balance" (semak dan imbang)

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa hubungan serba kompleks antara politik, sektor awam dan sektor swasta itu mungkin mengakibatkan rasuah berlaku dengan bebas tanpa sebarang hukuman.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low berkata, usaha mencegah rasuah di negara ini tidak ubah seperti melepas batuk di tangga sahaja jika tidak dilaksanakan tindakan drastik untuk memisahkan hubungan selesa antara kerajaan, perniagaan dan politik.

Low berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula tidak memperlihatkan hasil yang diinginkan dan orang ramai menganggap suruhanjaya itu mengamalkan penyiasatan dan pendakwaan secara berpilih-pilih.

Satu-satunya sisi yang positif dari laporan tersebut mengenai Malaysia ialah pengiktirafan yang diberikan kepada kerajaan Pulau Pinang dalam memerangi rasuah.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyatakan pihaknya menerima pujian itu dengan rendah hati.

Beliau juga mengumumkan bahawa Pulau Pinang berjaya mengurangkan RM36 juta atau 12 peratus perbelanjaan operasi hasil dari usaha memerangi rasuah itu.

HarakahDaily.Net/-

Adun Galas kembali ke Gua Musang esok

KOTA BHARU, 27 Sept: Selepas lebih dua bulan menjalani rawatan intensif di China, Adun Galas, Chek Hashim Sulaima dijangka pulang ke tanah air esok (28 September).

Wakil rakyat terbabit mendapat rawatan awal di The First People's Hospital Fu San, Guangzhou, China sejak 23 Julai lalu.

Beliau kemudian dipindah pula ke Hospital Orient Guangzhou pada 17 Ogos untuk mendapat rawatan lanjut.

Ketika dihubungi sebelum ini Chek Hashim berkata, keadaan kesihatannya semakin sihat selepas menjalani rawatan terapi dengan memasukkan ubat ke bahagian paru-parunya yang dijangkiti kanser.

�Sejak dimasukkan ubat ke bahagian yang dijangkiti barah, paru-paru saya semakin mengecut. Sekarang saya tidak lagi terasa sakit di bahagian paru-paru seperti sebelum ini,� katanya.

Setiausaha Eksekutif Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Shamsuddin Mat Daud yang bersama beliau di sana ketika dihubungi malam tadi memberitahu Adun Galas dibenarkan pulang esok selepas keadaan penyakit bertambah baik.

Katanya, berdasar kepada laporan tahap kesihatan Adun berkenaan, didapati penyakit kanser paru-paru yang dihadapi semakin mengecut.

�Pakar perubatan yang merawatnya di Orient Hospital yakin memandangkan tindak balas ubat ke atas paru-parunya begitu memberangsangkan.

�Sebab itulah doktor membenarkan beliau pulang ke tanah air selepas lebih dua bulan menjalani rawatan,� katanya.

Beliau baru sampai di Guangzhou bagi mengurus kepulangan Adun Galas. Turut menemankan Chek Hashim di sana iaitu isterinya dan seorang pemimpin masyarakat Cina dari Gua Musang.

Sebelum ini Adun berkenaan dijadualkan pulang ke tanah air pada 7 September lalu, namun terpaksa ditunda ekoran program rawatan belum selesai.

Pada tarikh tersebut diadakan majlis berbuka puasa di rumah bapanya, Sulaiman Mamat di Kuala Betis, Gua Musang yang turut dihadiri Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Samsuddin berkata, rombongan Adun Galas dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa kira-kira jam 8.30 malam.

Dalam perkembangan sama Setiausaha PAS Gua Musang, Azman Ahmad berkata, rombongan penduduk dari Gua Musang akan menyambut kepulangan Chek Hashim di Pengkalan Chepa.

HarakahDaily.Net/-

Pengundi kecewa Ibrahim Ali khianati amanah

KOTA BHARU, 27 Sept: Tanpa lambang bulan sudah pasti Datuk Ibrahim Ali tidak akan merasai kedudukan seperti sekarang, sebagai anggota parlimen Pasir Mas, namun beliau melupakan segala-galanya dan 'menggigit tangan yang menyuapkannya makanan'.

Ini kerana sokongan padu penyokong PAS dan Pakatan Rakyat membolehkan merasai kembali jawatan itu selepas menang di atas tiket Semangat 46 pada 1990.

Namun Ibrahim melupakan segala jasa dan keringat ahli dan penyokong PAS yang bekerja keras memenangkannya pada pilihan raya umum ke-12 Mac 2008. Kata orang tua-tua, ibarat kacang sudah lupakan kulit.

Pengundi di Pasir Mas ketika ditemui menyokong penuh saranan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya Ibrahim meletak jawatan kerana telah mengkhianati amanah rakyat.

Pesara kerajaan, Mohamad Osman, 67 dari Kampung Kasa berkata, hanya pemimpin yang tiada maruah sahaja sanggup mempertahankan kedudukannya biar pun dicemuh seluruh pengundi.

"Tindakan Ibrahim sekarang seolah-olah membunuh karier politik sendiri. Selepas ini siapa lagi yang mempercayai pemimpin seperti itu," katanya di sini.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan hari ini sekali lagi mengulangi pendiriannya supaya Ibrahim menggosongkan kerusi parlimen Pasir Mas memandangkan sikap dan tindak tanduknya bertentangan dengan perjuangan PAS.

"Saya akan terus mendesaknya melepaskan jawatan wakil rakyat di Pasir Mas kerana dia bertanding atas tiket PAS. Namun kini menentang menentang dasar PAS dan kerajaan negeri.

"Wakil Rakyat macam ni orang tak boleh terima sebab tak ada pendirian dan prinsip perjuangan," katanya ketika ditemui media di majlis Hari Raya Aidilfitri PAS Kelantan di Dataran Stadium Sultan Muhammad ke-IV hari ini.

Ekoran desakan Tuan Guru Nik Aziz sebelum ini, Ibrahim mahu Menteri Besar Kelantan itu meletak jawatan dengan dakwaan gagal membawa kemajuan dan pembangunan di negeri ini.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata, rakyat di Pasir Mas telah meluahkan rasa kecewa kerana anggota parlimen yang mereka pilih telah menggadai prinsip perjuangan.

Ibrahim merupakan bekas Ketua Bahagian Umno Pasir Mas telah dilucut keahlian seumur hidup kerana bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya umum 2004. Manakala pada pilihan raya kecil Dun Pengkalan Pasir pada 2005 sekali lagi beliau bertanding di tiket Bebas namun hilang deposit.

(Gambar:Nik Aziz memberikan duit raya kepada tetamu kanak-kanak yang hadir) Sementara itu lebih 5,000 rakyat Kelantan mengunjungi sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Badan Perhubungan PAS.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, setiap PAS kawasan ditugas menyediakan juadah antaranya nasi dagang, satay, lemang, Roti jala, martabak, kuih muih dan minuman.

"Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada seluruh pimpinan PAS kawasan yang sanggup menyediakan pelbagai juadah.

"Ini melambangkan perpaduan ahli di peringkat akar umbi begitu kukuh dan sanggup bekerja dalam menghadapi pelbagai cabaran," katanya.

HarakahDaily.Net/-

Toleransi kaum di Kelantan jadi contoh, kata Nik Aziz

KOTA BHARU, 27 Sept: Kejayaan PAS menerajui Kelantan hampir 20 tahun adalah kerana mendapat sokongan padu dari semua pihak termasuk masyarakat Tionghua, India dan Siam di negeri ini.

Ia juga terhasil dari perpaduan yang kukuh antara berbilang kaum dan sering berada semeja di antara rakyat menjadikan Kelantan sebagai model perpaduan kaum yang sejati.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika berucap di majlis Hari Raya Aidil Fitri anjuran Ahli Parlimen Kota Bharu bertempat di Dewan Perniagaan Cina.

Majlis tersebut diadakan khas untuk meraikan masyarakat Kota Bahru dari pelbagai kaum iaitu kalangan Tionghua, India dan Siam.

Nik Aziz juga berkata semenjak beliau mengambil alih pucuk pentadbiran negeri ini, sudah banyak perubahan yang dilakukan dan ia melibatkan semua kaum seperti wujudnya skim Kifaalah untuk warga emas, skim Armalah untuk kaum ibu tunggal, perlantikan penghulu dan ahli majlis Kerajaan Tempatan dari kalangan Tionghua, Siam dan juga India.

Dengan melibatkan semua kaum dalam pentadbiran kerajaan negeri, ia boleh membantu pihak kerajaan untuk menyampaikan pelbagai maklumat terus kepada masyarakat dan ini boleh menjauhkan prasangka dan iri hati dari semua kaum.

Menyentuh isu perarakan kepala lembu yang berlaku di negeri Selangor oleh pihak-pihak tertentu baru-baru ini, Nik Aziz melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada masyarakat India di Kelantan kerana tidak mengikut rentak yang berlaku di negeri lain.

(Gambar:Sebahagian orang ramai dari pelbagai kaum yang menyertai majlis Aidil Fitri anjuran wakil rakyat PAS Kota Bharu)

"Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada masyarakat India di Kelantan kerana masih dapat bersabar dan memahami suasana pentadbiran Kelantan berbeza dengan negeri-negeri lain dan ini adalah hasil persefahaman seluruh kaum di negeri ini dan di Kelantan, kita tidak pernah menimbulkan isu-isu sensitif menyentuh pelbagai agama lain,"ujar beliau.

Beliau juga berharap majlis aidilfitri seperti ini diperluaskan ke jajahan lain dalam menyatupadukan seluruh rakyat dan ini boleh dijadikan sebagai satu contoh bahawa Kelantan sememangnya mempunyai pelbagai kaum dan hidup dalam keadaan aman dan damai.

Ia dinikmati walaupun sebelum ini pelbagai rintangan timbul seperti isu pengharaman judi, penyekatan jualan arak dan lain-lain lagi.

"Kini apa yang kita lakukan pada awal pemerintahan di tahun 1990 dulu masih lagi dapat dikekalkan, judi kita haramkan terus penjualannya dan mendapat sambutan baik dari kaum lain, manakala penjualan arak pula kita hadkan premis jualannya juga tidak menimbulkan kemarahan masyarakat bukan Islam,"katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Bharu,Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah ketika berucap meraikan kedatangan masyarakat kaum lain ke majlis tersebut berharap keharmonian kaum di Bandar Kota Bharu menjadi lambang perpaduan kukuh di antara kaum di negeri Kelantan.

"Saya ingin menarik perhatian rakan-rakan dari DAP dan Parti Keadilan Rakyat di negeri luar daripada Kelantan agar sering mendamping rakan-rakan dalam PAS dan menyeru mereka menjadikan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz sebagai contoh kepada penggerak perpaduan kaum,"katanya.

Seramai 600 orang dari pelbagai kaum hadir di majlis tersebut. Turut hadir di majlis Aidil Fitri Bersama Ahli Parlimen Kota Bharu ialah ketiga-tiga Adun di Parlimen Kota Bharu, Datuk Annuar Tan Abdullah (Kota Lama), Datuk Takiyuddin Hassan (Bunut Payong) dan Hajjah Rohani Ibrahim (Tanjong Mas) wakil Dari DAP, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, wakil dari PKR, Ahli Parlimen Tanah Merah, Amran Abdul Ghani, wakil Konsul Thai di Kota Bharu dan Yang diPertua MPKB-BRI Ismail Mahmood.

HarakahDaily.Net/-

Kemunculan Pertama Peluru Berpandu Strategik dalam Pemeriksaan Perbarisan pada Hari Kebangsaan China

Sebanyak 5 pasukan khas yang dilengkapi peluru berpandu strategik akan menerima pemeriksaan pada majlis besar-besaran sambutan ulang tahun ke-60 penubuhan Republik Rakyat China pada 1 Oktober.

Kesemua kelengkapan tersebut direka bentuk dan dihasilkan sendiri oleh China, dan dalam skop yang dikatakan yang paling besar, jumlah yang paling banyak dan jenis yang paling lengkap dalam sejarah perkembangan Pasukan Tentera Meriam Kedua China.

Pasukan tentera itu sudah berkembang menjadi sebuah pasukan yang memiliki senjata regular dan senjata nuklear dengan kemampuan memusnahkan sasaran pada jarak jauh dan sederhana. CRIonline/-

Pakatan akan perjuang gaji minima RM900 untuk pekerja estet

TELOK KEMANG, 28 Sept: Pakatan Rakyat (PR) mendakwa gaji buruh ladang di Malaysia, termasuk di beberapa estet di sini adalah tidak adil dan akan memperjuangkan gaji minima RM900 untuk mereka.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Telok Kemang Datuk Kamarul Baharin Abbas semalam mendesak kerajaan Malaysia melaksanakan polisi gaji minima RM900 untuk rakyat, bukannya memberika duit raya bermotif politik kepada peneroka Felda semata-mata.

�Duit raya yang Najib (Perdana Menteri) umum itu gula-gula politik untuk ambil hati pengundi estet di sini. Sedangkan rakyat mahu polisi (gaji),� tegas Kamarul selepas bertemu rakyat Ladang Atherton, disini.

Tambahnya lagi, isu gaji minima tersebut telah lama dibangkitkan penduduk setempat, bersama-sama badan bukan kerajaan JERIT, tetapi kerajaan dan anak syarikatnya (GLC) iaitu Sime Darby tidak pernah ambil peduli.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar mempersoal tindakan tergesa-gesa kerajaan negeri menurunkan para pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk meredakan isu gaji minima itu.

(Gambar:Penduduk Ladang Atherton dan petugas Pakatan berjanji akan menyokong Pakatan dalam pilihan raya ini)

�Mengapa hari ini (waktu pilihanraya kecil), baru pegawai-pegawai mereka turun nak selesaikannya, sedangkan rakyat mempersoal gaji yang tidak adil ini sejak sebelum 1999 lagi,� katanya.

Beliau turut meminta kerajaan jujur menyelesaikan isu-isu kebajikan tersebut, bukannya asyik bermain wayang dengan slogan 1Malaysia sahaja.

Adun Port Dickson Bandar, M. Ravi (PKR) menegaskan bahawa gaji pekerja estet di Negeri Sembilan rata-ratanya di bawah paras kemiskinan.

�Dari tinjauan yang dibuat, rata-rata pekerja estet bergaji RM400, sedangkan kita (PR) tuntut dari Sime Darby (serta) kerajaan Umno dan BN gaji maksimum RM900 sebulan,� jelas M. Ravi.

(Gambar:Zulkefly, Pesuruhjaya PAS NS)

Katanya lagi, sistem bayaran upah mengikut hari mengakibatkan buruh-buruh estet pernah mendapat gaji RM80 sebulan, apabila musim hujan berlaku.

Adun Rahang M. K. Arumugam (DAP) yang menyertai aktiviti turun bertemu rakyat tersebut pula berkata, isu gaji minima ini perlu disampaikan secara dari rumah ke rumah kerana buruh terbabit hanya didedahkan dengan media arus perdana sahaja.

�Kita perlu tahu, buruh-buruh kerja perih (dan) tidak ada masa untuk akses internet dan sebagainya. Mereka hanya lihat berita berat sebelah dalam tv1, tv2, tv3 sahaja,� katanya.

Adun Lukut Ean Yong Tinsin (DAP) yang ditemui kemudian mahu isu gaji minima ini menjadi isu teras PR, walaupun ianya membabitkan minoriti rakyat India.

�Saya puas hati, bila Pakatan serius nak perjuangkan isu ini. Ya�ini isu minoriti penduduk estet, tapi semua (pemimpin) kita boleh turun bersama,� katanya.

(Gambar:Petugas PAS Selangor berumpa dengan pengundi)

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Kontijen PAS Selangor Cikgu Jaafar Samsudin bersama lebih seribu jentera dan ahli Kelab Penyokong PAS sedia diturunkan bergilir-gilir; demi menjelaskan isu tersebut.

Dalam sidang Parlimen lepas, PR mendesak kerajaan mesyaratkan gaji minima buruh sebanyak RM800 sebulan, tetapi Menteri berwajib menegaskan ianya suatu yang mustahil.

Tetapi, Kabinet baru-baru ini mengumumkan gaji minima untuk warga asing sebanyak RM800 sebulan.

Taarif pendapatan isi rumah di bawah paras keminkinan era 1970an adalah RM450. Taarif pendapatan isu rumah di bawah paras kemiskinan sekarang adalah RM900.

Hanya kerajaan PR Selangor mendefinisikan pendapatan di bawah RM1500 sebagai rakyat yang layak menerima bantuan kerajaan negeri.

Perjuangan isu gaji minima RM900 yang diperjuangkan oleh rakyat di sini dipercayai akan mencalarkan slogan 1Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak � Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

HarakahDaily.Net/-

Drs. Khalil : Bukan kerja orang PAS simbah cat pada gambar orang !

Drs. Khalil bergambar bersama seorang pengunjung rumah terbuka tersebut.


BUKIT GANTANG, 27 Sept:- "Bukan kerja orang PAS simbah cat pada gambar orang", demikian antara penegasan Ketua Penerangan PAS Perak, Drs. Khalil Idham Lim menafikan tuduhan ADUN Lintang gambar Dr.Zambry Abdul Kadir yang disimbah dengan cat oleh pihak PAS . Drs. Khalil memberi ucapan semasa menghadiri Hari Terbuka Ahli Parlimen Bukit Gantang, Dato' Seri Muhammad Nizar Jamaluddin di Simpang di sini hari ini.

Beliau menyifatkan perbuatan tersebut adalah "baling batu sembunyi tangan" yang tidak ada kaitan sama sekali dengan PAS.

"Lawan kita adalah BN dan UMNO bukannya gambar" ucap Drs. Khalil sambil menerima tepukan dari para hadirin.

Beliau juga menjelaskan sejak Pakatan Rakyat memerintah di Perak semangat toleransi agama sangatlah baik dan perkara itu tidak ujud semasa BN memerintah. Sambil merujuk kepada Kerajaan Negeri Kelantan sebagai contoh yang terbaik, beliau juga menegaskan semangat itu telah menguat di Negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan.

"Kalau bukan dengan semangat toleransi agama mana mungkin kuil Buddha dan Kuil Hindu dapat dibina di Kelantan yang pratus penduduknya beragama Islam" Kata Drs. Khalil.

28 September 2009

Rumah pengerusi DAP S'wak dibaling bahan letupan

Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng dikejutkan dengan penemuan bahan letupan bunga api yang gagal meletup yang ditemui di perkarangan rumahnya kira-kira jam 7 pagi ini.

"Bahan yang ditemui itu mampu menghasilkan letupan yang kuat dan memekakkan telinga, malah lebih berbahaya daripada bom botol (molotov cocktail)," katanya kepada pemberita di rumahnya di Jalan Ipoh di Sibu.

Wong yang juga seorang peguam dan ADUN Bukit Assek berkata beliau telah membuat laporan polis mengenai perkara itu.

"Saya tidak pernah menyangka saya menjadi sasaran sebegini. Polis ada bertanyakan sama ada saya ada musuh, secara jujur adalah mustahil bagi seorang ahli politik tidak mempunyai musuh politik," katanya, lapor Bernama

Beliau percaya bahan letupan itu dilempar ke perkarangan rumahnya selepas jam 1 pagi kerana beliau tidak melihat apa-apa sebaik pulang daripada menghadiri satu majlis kira-kira jam 12 tengah malam.

"Saya bersyukur kepada tuhan ia tidak tidak meletup walaupun ia sudah dibakar," katanya.

Beliau berkata ini bukan kejadian pertama ahli politik DAP di negeri itu menjadi sasaran sedemikian.

"Baru-baru ini bom botol telah dilempar ke perkarangan rumah ahli Parlimen Bandar Kuching dari DAP, Chong Chieng Jen.

"Saya mengutuk perbuatan keji ini," katanya.

MalaysiaKini/-

Nik Aziz jawab cabaran Ibrahim Ali

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan cabaran ahli parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali, supaya beliau meletakkan jawatan sebagai isu lama yang tidak perlu dilayan.

Mursyidul Am PAS itu berkata rakyat boleh menilai sendiri apa yang telah dilakukannya sepanjang mentadbir Kelantan selepas memenangi pilihan raya umum 1990.

Banyak perubahan dari segi pembangunan telah dilaksanakan di Kelantan, termasuk di daerah-daerah terpencil seperti Gua Musang, Tanah Merah dan Jeli, katanya kepada pemberita di majlis Aidilfitri PAS di perkarangan Stadium Sultan Mohamed Ke-1V, di Kota Bharu hari ini, lapor Bernama.

Beliau mengulas kenyataan Ibrahim semalam yang mencabarnya meletak jawatan kerana gagal melaksanakan tugas sebagai menteri besar dan juga atas alasan beliau sudah tua dan wajar memberi laluan kepada pemimpin muda.

Cabaran Ibrahim itu adalah sebagai susulan kepada desakan menteri besar itu supaya ahli parlimen Pasir Mas itu melepaskan jawatan ekoran tindak tanduknya yang semakin bertentangan dengan parti itu. Pada pilihan raya umum 2008, Ibrahim memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas sebagai calon Bebas atas tiket PAS.

Nik Abdul Aziz berkata faktor tua bukan menjadi penghalang seseorang daripada menjadi pemimpin politik.

"Tua apa salahnya, kalau muda pun hanya sampah apa guna?" katanya.

MalaysiaKini/-

Meriah, 5000 hadir hari terbuka ADUN Titi Serong.

ADUN Titi Serong dan Isteri dikerumuni oleh kanak-kanak untuk mendapatkan "duit raya".

PARIT BUNTAR, 26 Sept.:- Kemeriahan Hari Raya Aidil Fitri pada tahun ini di kongsi bersama oleh sekitar 5000 orang pelbagai lapisan masyarakat dalam DUN Titi Serong tidak mengira bangsa dan agama dalam Hari Terbuka Aidil Fitri ADUN Titi Serong,Drs. Khalil Idham Lim yang diadakan dihadapan Pusat Khidmat ADUN Titi Serong di sini.

Hadir sama dalam Majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Parit Buntar, YB. Dr. Mujahid Yusof Rawa, Exco Agama Perak Pakatan Rakyat, YB. Hj. Zainuddin Yusof, YB.Chan Lih Kang(Teja), YB. Hussin Din (Selingsing), YB. Ramli Tusin (Gunung Semanggol), YB. Chan Ming Kai (Simpang Pulai) dan YB. Abd. Yunus Jamhari (Kuala Kurau). Selain itu hadir Sama ialah YDP PAS Kawasan Parit Buntar, Hj. Harun Hashim bersama AJK PAS Kawasan yang lain.

Drs. Khalil bergambar bersama dengan ADUN Pakatan Rakyat Perak yang hadir. Penampilan istemewa, ADUN Simpang Pulai, YB. Chan Ming Kai, dan ADUN Teja, YB.Chang Lih Kang berbaju Melayu dan bersongkok.


Semua tetamu diatas telah diberi peluang untuk memberikan ucapan Hari Raya kepada para hadirin.

Program yang diadakan dari Jam 3.00 petang hingga 6.oo petang itu seawalnya telah bermula pada jam 2.30 petang apabila ramai yang hadir lebih awal.

Suasana lebih ceria bagi kanak-kanak dengan pembahagian duit raya oleh Drs. Khalil bersama isteri sepanjang program berlangsung. Sebanyak hampir 1000 sampul duit raya telah diagihkan.

Drs. Khalil dan isteri mengambil peluang sepanjang program untuk beramah mesra dengan hadirin yang hadir.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dalam majlis tahunan anjuran Pusat Khidmat ADUN Titi Serong ini" Ucap Drs. Khalil kepada yang hadir.

Semasa ditemui ADUN Lubok Merbau yang juga Exco Agama Pakatan Rakyat Perak menjelaskan sambutan yang meriah diberikan kepada Majlis anjuran ADUN Titi Serong ini mengambarkan sokongan yang masih kuat kepada Pakatan Rakyat di negeri Perak.

"Saya ucapkan tahniah kepada ADUN Titi Serong dengan kejayaannya mengumpulkan pelbagai lapisan masyarakat tidak mengira bangsa dan agama pada hari ini"

Semasa memberikan ucapan,ADUN Teja,Chan Lih Kang menyatakan " Semuanya nampak baik dan ceria pada petang ini , cuma yang tidak baik ialah DUN Perak masih belum dibubarkan".