29 Februari 2012

Mangsa ribut tergamam bumbung terbang

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SIJANGKANG - “Apabila saya buka pintu rumah, saya lihat sampah sarap bertaburan dan kebanyakan peralatan milik rumah saya dan jiran berterbangan,” kata salah seorang mangsa ribut, Mariam Musa kepada Sinar Harian.

Mariam berkata, kejadian yang berlaku hanya beberapa minit itu membuatkan penduduk tergamam.

Menurutnya, keadaan cuaca sebelum itu tidak menunjukkan tanda ribut akan berlaku.

“Kejadian ini menakutkan kerana ia berlaku secara tiba-tiba, ketika kejadian saya sedang berehat di rumah, namun terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat dan lihat banyak kepingan bumbung terbang,” katanya.

Dalam kejadian Sabtu lalu, 29 rumah di Kampung Sijangkang rosak teruk terutama di bahagian bumbung apabila kebanyakan zink kediaman penduduk diterbangkan angin.

Dimaklumkan, kejadian sama berlaku beberapa tahun lalu, namun tidak membabitkan sebarang kerosakan.

Penyelaras Pembangunan Persekutuan Parlimen Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd Karli berkata, buat masa ini, pihaknya masih dalam proses mengumpul maklumat kerosakan bagi memudahkan urusan bantuan kepada mangsa yang terlibat.

Katanya, bantuan sama akan diusahakan melalui Yayasan Kelana Ehsan (YKE) bagi mendapatkan dana membantu rumah yang mengalami kerosakan teruk.

“Kita juga mengajak pelbagai pihak tampil membantu mangsa,” katanya ketika meninjau keadaan rumah mangsa, di sini.

Hadir sama, Penyelaras Pembangunan Persekutuan Dun Sijangkang, Datuk Nordin Selamat.

sinar harian/-

Najib Razak yang suka berjanji

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Sebelum kapal mewah Titanic karam, arkitek kapal tersebut pernah berkata bahawa ianya sangat teguh sehinggakan Tuhan pun tidak dapat menenggelamkannya. Demikanlah kata-kata terakhir yang tercatat dalam sejarah sebagai ungkapan yang penuh ironi.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah memberi jaminan bahawa dari segi fakta saintifik, projek nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan di Pahang itu selamat. Malah, lebih daripada itu, beliau dengan berani mengatakan nadir bumi itu tidak berbahaya kerana bagi mereka yang menggunakan telefon pintar, mereka terdedah kepada nadir bumi setiap hari.

Sebenarnya, ini bukan kali pertama Najib memberikan jaminan beliau terhadap sesuatu hal. Dalam tahun 2011 sahaja, pelbagai jaminan telah diberikan apabila orang ramai bangkit menyuarakan bantahan kepada beberapa isu.

Jaminan-jaminan Najib

Jaminan-jaminan ini hanya seperti mendodoi bayi tidur. Ia seolah-olah menjadi kata muktamad untuk mematikan segala hujah rasional yang rakyat lontarkan seperti kita ini sudah kembali semula ke zaman kerajaan mengetahui segala-galanya.

Sewaktu skandal penyalahgunaan wang pinjaman ternak lembu Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang dikendalikan oleh NFCorp untuk membeli kondo mewah mula hangat diperkatakan dahulu, Najib dengan berani tampil ke hadapan mempertahankan keluarga pengarah NFCorp yang mempunyai hubungan rapat dengan seorang Menteri Kabinet dan menjamin tiada sebarang penyelewengan yang telah berlaku.

Walau bagaimana pun, laporan media baru-baru ini mendedahkan bahawa pihak polis sendiri telah mengesyorkan supaya para pengarah NFCorp disiasat di bawah tuduhan pecah amanah, salah satu bentuk penyelewengan.

Dalam temu ramah dengan media antarabangsa CNN pula, Perdana Menteri pernah menjamin yang tiada kekasaran dan keganasan dilakukan oleh pihak polis terhadap penunjuk perasaan yang menyertai perhimpunan aman BERSIH 2.0 pada tahun lalu.

Namun, umum mengetahui kepalsuan jaminan itu. Kita dapati yang pihak polis bukan sahaja telah melakukan provokasi melampau, malahan mereka telah mengasari penunjuk-penunjuk perasaan yang terbabit.

Kedua-dua contoh ini sahaja sudah memadai untuk menunjukkan bagaimana jaminan-jaminan Perdana Menteri ini tidak ada kredibilitnya. Setiap kali beliau mengutarakan sesuatu pendapat atau jaminan, sudah kita sedia maklum yang beliau bukannya bercakap dalam kapasitinya sebagai Perdana Menteri Malaysia tetapi lebih sebagai Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO.

Reaksi beliau selama ini adalah langkah terdesak untuk melindungi air muka beliau dan kepentingan politik UMNO-BN. Sebab itu jugalah Najib sanggup merayu undi supaya rakyat memberi majoriti dua pertiga kepada UMNO-BN dalam pilihan raya umum akan datang jika mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi lebih kuasa.

Layakkah Najib memberi jaminan keselamatan nyawa manusia?

Jadi, wajarkah rakyat yang cerdik mempercayai jaminan Najib berkaitan isu nadir bumi Lynas ini? Sedangkan dalam isu yang lebih mudah difahami seperti NFC dan BERSIH pun beliau boleh ‘tersilap’ memberi jaminan.

Wajarkah dalam isu yang lebih rumit seperti Lynas ini, kita berasa selamat dan yakin tiada sebarang kemudaratan dan kecelakaan akan menimpa penduduk Gebeng dan Kuantan serta seluruh Pahang kelak?

Najib tidak ada kelayakan sama ada dari segi saintifik mahu pun kredibiliti untuk memberi keyakinan kepada mana-mana pihak terhadap keselamatan projek itu. Jika disemak latar belakang beliau, tidak dinyatakan yang beliau pernah dianugerahkan apa-apa ijazah dalam bidang sains, biar pun daripada Universiti Curtin sekali pun.

Memang ada pakar sains yang mengakui nadir bumi yang telah diproses menjadi cip mikro bagi telefon pintar itu rata-ratanya tidak berbahaya. Namun begitu, yang menjadi kekhuatiran ramai ialah sisa toksik daripada bahan mentah tersebut. Jika tidak dilupuskan dengan betul, sisa-sisa radioaktif inilah yang sebenarnya akan membawa kemudaratan kepada penduduk-penduduk sekitar terutamanya di Gebeng dan kawasan sekitar Kuantan.

Kemalangan skala besar boleh berlaku kerana masalah yang kecil sahaja. Loji Chernobyl di Ukraine (dahulu Soviet Union) dahulu telah dikendalikan oleh pakar-pakar nuklear yang terkemuka, namun itu tidak dapat mengelakkan daripada berlakunya kemalangan ngeri yang memberi kesan kepada lebih 200,000 orang. Selepas siasatan dijalankan, didapati kemalangan tersebut berpunca daripada sesuatu masalah teknikal yang kecil.

Australia tolak, Malaysia terima

Persoalannya, sanggupkah kita melihat rakyat kita sendiri merana jika apa-apa terjadi kelak? Beberapa faktor seperti bentuk daratan yang dipenuhi dengan sungai dan kepadatan penduduk yang tinggi menjadikan Malaysia calon yang amat tidak sesuai untuk projek pemprosesan nadir bumi. Jika sisa radioaktif itu terserap dalam tanah dan sistem perairan kita, semestinya aktiviti dan kesihatan kita turut terjejas.

Projek sebegini memerlukan kawasan yang luas dan tidak berpenghuni. Dengan kata lain, kawasan dengan kepadatan penduduk yang rendah. Dalam hal ini, kawasan gurun amatlah bersesuaian untuk melaksanakan projek nadir bumi ini kerana sisa-sisa radioaktif dapat dilupuskan tanpa membahayakan kesihatan orang ramai.

Sudah tentu Australia dilihat sebagai lokasi yang ideal untuk membangunkan projek Lynas. Justeru, cukup musykil apabila Australia sendiri menolak tawaran Lynas dengan tidak membenarkanya beroperasi di negara itu. Penolakan oleh Australia itu sepatutnya sudah cukup untuk rakyat Malaysia bangkit menentang Lynas daripada beroperasi di negara kita.

Jika berlaku sesuatu bencana yang amat buruk dan ngeri, apakah yang dapat Najib jamin pada saat itu? Janganlah kita jadikan kata-kata jaminan Najib itu sebagai satu lagi kata-kata terakhir yang penuh ironi apabila nyawa rakyat bakal terjejas akibat radiasi kelak.

Harakah Daily

Kelas seni menghias haiwan yang diawet

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEORANG pelajar meletakkan gitar mainan di celah kaki seekor tikus yang telah diawet.

BROOKLYN, Amerika Syarikat (AS) - Sebuah kelas seni yang mengajar menghias haiwan yang telah diawet dibuka kepada orang ramai di kawasan kejiranan Gowanus di sini.

Kelas selama empat jam itu mengajar pelajar cara untuk menghias haiwan yang telah diawet dengan memakaikan pakaian.

Para pelajar juga diajar cara untuk menjadikan tikus yang telah diawet duduk dan membuat gaya seperti manusia.

Seni itu amat popular semasa zaman pemerintahan Ratu Victoria di Britain.

Kelas itu diajar oleh seorang artis tatu, Susan Jeiven.- Agensi

Hanya 15 meter dari rumah

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PARIT - Perasaan gusar pemilik rumah berhampiran Sungai Perak di Kampung Dusun Hulu Parit, di sini, masih belum reda apabila kawasan tebing sungai itu semakin rebak hari demi hari.

Seorang penduduk, Mior Ahmad Najmi Mior Arif, 38, berkata, kawasan tanah rebak itu begitu hampir dengan rumah ibu mertuanya.

Menurutnya, jarak antara tebing sungai dengan rumah ibu mertuanya hanya 15 meter sahaja.

“Masalah hakisan ini sudah berlaku sejak dua tahun lalu. Jika dahulu jarak antara tebing dengan rumah masih jauh tetapi sekarang hanya beberapa meter sahaja,” katanya.

Mior Ahmad berkata, kini tebing itu hanya bergantung kepada sebatang pokok besar yang ada di tepi sungai berkenaan.

“Kita lihat bahagian atas masih ada tanah tetapi di bawahnya sudah kosong dan tidak mustahil jika pokok ini terbalik, akibatnya kawasan tebing ini akan terus runtuh.

“Sekarang ia hanya bergantung kepada sokongan akar sahaja dan boleh tumbang bila-bila masa sahaja,” katanya.

Sementara itu, katanya, apabila tiba musim hujan keadaan menjadi semakin teruk kerana hakisan semakin cepat.

“Saya khuatir rumah mak mertua saya akan turut sama terhakis jika tidak ada sebarang tindakan diambil,” katanya.

Tambahnya, pihak berkenaan perlu mengambil tindakan sewajarnya untuk mengatasi masalah itu agar keselamatan penduduk terjamin.

“Jangan biarkan perkara ini terlalu lama kerana khuatir ia akan menyebabkan ibu mertua saya kehilangan rumahnya,” katanya.

Sinar Harian

Empat nelayan nyaris maut selepas bot terbalik

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PENAGA - “Lima minit berpaut pada perut bot karam dirasakan cukup lama. Apa yang mampu dilakukan ialah saling memanggil nama masing-masing supaya tidak leka.”

Demikian ujar Johari Tajuddin, 29, seorang daripada empat nelayan yang mengalami detik cemas selepas bot dinaiki terbalik dan karam diseret tali pukat oleh sebuah bot pukat tunda berhampiran Perairan Mukahid, Teluk Bahang, tujuh batu nautika dari pantai Kampung Sungai Tembus di sini, dua hari lalu.

Dalam kejadian pukul 6.30 pagi Ahad lalu itu, mangsa menaiki bot bersama dua rakan sekerja dan pemilik bot dalam perjalanan memukat ikan di kawasan berkenaan selepas bertolak dari pangkalan Kampung Sungai Tembus, hampir 45 minit sebelumnya.

“Kejadian berlaku ketika saya memasang paip menyambung minyak petrol ke injin selepas berhentikan seketika bot di kawasan itu, manakala Shahidan Mat, 22 dan Ong Tee Kian, 19, serta pemilik bot, Zwkifli Ahyak, 52, menikmati sarapan di haluan bot.

“Tiba-tiba kipas injin dikesan tersangkut pada tali pukat milik sebuah bot pukat tunda yang sedang memukat di kawasan itu,” katanya.

Johari berkata, ketika itu bahagian bot fiber sepanjang enam meter itu mula tenggelam sementara bahagian hadapannya mendongak menyebabkan rakan sekerjanya menggelongsor ke belakang sebelum mereka terjatuh ke laut.

Bapa kepada dua anak itu berkata, dalam keadaan panik itu dia mula memikirkan keselamatan dua rakannya termasuk Zwlkifli yang tidak tahu berenang.

Menurutnya keadaan menjadi kelam kabut apabila bot mereka mula terbalik.

“Sebaik berada dalam air saya mula panggil nama mereka dan mengarahkan berpaut pada perut bot, namun hati saya mula bimbang kerana Zwlkifli tidak kelihatan.

“Saya berenang dan menyelam sekitar bot dan menemui Zwlkifli yang tidak sedarkan diri tersangkut pada tali pelampung dibawah perut bot sebelum menariknya keluar,” katanya.

Menurutnya lagi dengan bantuan Shahidan dan Tee Kian, meraka berjaya memegang tangan Zwlkifli sambil berpaut pada bot berkenaan.

Menurut Johari, mereka berempat bernasib baik kerana selepas lima minit terendam di air, sebuah bot nelayan dilihat menghampiri kawasan berkenaan sebelum mendekati dan memberikan bantuan.

“Sebaik dinaikkan ke bot milik Mohd Fozi Hamid, 43, yang datang membantu, kami mengejar bot pukat tunda terbabit, namun mereka memecut laju melarikan diri dan meninggalkan pukat di situ.

“Saya kesal dengan kejadian ini kerana sepatutnya pekerja bot pukat tunda itu datang menyelamatkan kami. Walau bagaimanapun mengucap syukur kerana kami semua selamat,” katanya.

Rakan sekerjanya, Tee Kian yang baru empat hari mengikuti mereka ke laut tidak menyangka akan menempuh pengalaman ngeri hingga hampir mati lemas dalam kejadian itu.

Menurutnya yang masih trauma dengan kejadian itu, mereka bernasib baik tidak mati lemas kerana cepat diselamatkan oleh nelayan lain kerana lima minit itu terasa cukup lama.

“Nelayan yang menyelamatkan kami tiba tepat pada waktunya dan dalam masa sama berjaya menunda bot kami kembali ke pangkalan,” katanya.

Semasa ditemui semalam, hanya Johari dan Tee Kian sahaja yang hadir, manakala Zwlkifli membuat laporan polis, sementara Shahidan difahamkan berada bersama keluarganya di Kampung Kuala Muda di sini.

Dalam pada itu Ketua Unit Nelayan Sungai Tembus, Basruddin Abu Bakar, 47, berkata, melalui rundingan dengan pemilik bot pukat tunda yang diatur pihaknya selepas kejadian itu, Zwlkifli telah menerima sedikit bayaran ganti rugi dan kes itu dianggap telah selesai.

Sinar Harian

Pacuan 4 roda rempuh butik

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BANDA HILIR - Disangka bunyi bangunan runtuh, rupa-rupanya sebuah kereta pacuan empat roda merempuh butik dalam kejadian awal pagi di Dataran Pahlawan Mega­mall, Jalan Merdeka, di sini, semalam.

Itulah detik cemas dihadapi Shyam Babu Sah, 26, seorang penyelia pembersi­-han warga Nepal dalam kejadian kira-kira 4.20 pagi itu.

Ketika kejadian, Shyam sedang meronda memastikan lantai di pusat membeli belah berkenaan yang sudah ditutup agar bersih sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.

“Saya berlari selepas terdengar bunyi seperti bangunan runtuh. Tapi, apabila saya keluar, saya lihat sebuah kereta jenis Ford Ranger telah merempuh bahagian hadapan sebuah butik pakaian,” katanya.

Menurutnya, dia melihat pemandu lelaki lingkungan 30-an yang berdarah di dahi keluar dari kereta berkenaan.

Menurut Shyam Babu yang sudah dua tahun bekerja di situ, seorang pengawal keselamatan di situ kemudian bertindak menghubungi polis memaklumkan kejadian tersebut.

“Kereta itu dipercayai datang dari arah bertentangan sebelum memasuki kaki lima bertangga, lalu merempuh butik menyebabkan sebahagian cermin pecah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Saleh­hudin Abdul Rahman mengesahkan kejadian.

Sinar Harian

Jumpa mayat lelaki dalam rumah

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Seorang wanita tidak menyangka bau busuk dihidunya ketika sedang berjoging rupanya bau mayat reput dalam sebuah rumah, petang kelmarin.

Wanita berusia lingkungan 30-an itu terhidu bau busuk semasa berjoging di lorong belakang sebuah rumah di Taman Tan Chee Hoe, di sini, kira-kira 6.15 petang.

Menurut sumber, ketika melalui lorong itu, wanita pelik dengan bau busuk berkenaan sebelum mencarinya.

“Wanita berkenaan kemudiannya mengikut arah bau busuk itu untuk mendapatkan kepastian. Selepas tiba di sebuah rumah, dia cuba memanggil beberapa kali, namun tiada sahutan dari dalam rumah,”. katanya.

Menurutnya, wanita berkenaan mulai rasa curiga dan bertindak memaklumkan kepada polis sejurus selepas itu.

“Sebaik sahaja polis sampai ke lokasi kejadian, anggota masuk serta membuat pemeriksaan dalam rumah berkenaan sebelum menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan terbaring dalam sebuah bilik.

“Mayat lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini untuk bedah siasat,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati mayat berkenaan adalah seorang lelaki berusia lingkungan 40-an dan mengalami masalah mental.

“Mangsa merupakan anak bongsu daripada empat beradik dan tinggal berasingan daripada keluarga sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Beliau berkata, polis masih menyiasat kejadian itu dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

Sinar Harian

Rayu permudah lesen

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SERI KEMBANGAN - Seorang balu polis merayu pihak berkuasa tempatan (PBT) mempermudah permohonan lesen perniagaan untuk membolehkannya berniaga kecil-kecilan di Seri Serdang.

Suriah Md Amin berkata, sejak kematian suaminya, Koperal Mohd Rosli Abu Bakar Disember tahun lalu, dia kehilangan tempat bergantung bagi meneruskan hidup bersama enam anak yang masih bersekolah.

Meskipun menerima sumbangan­ pelbagai pihak, Suriah mahu mengambil inisiatif sendiri bagi mencari pendapatan tetap untuk keperluan mereka sekeluarga.

“Saya bercadang berniaga pisang goreng di gerai tepi jalan, tetapi menghadapi masalah kerana sukar mendapatkan lesen perniagaan.

“Enam anak saya masing-masing berusia 9 hingga 21 tahun semuanya masih bersekolah, wajarlah saya cari pekerjaan untuk menanggung mereka,” katanya.

Difahamkan, anak kedua Suriah terpaksa menolak tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) kerana kesempitan wang.

Katanya, berbekalkan pendapatan­ hasil niaga kelak, dia dapat memberi kehidupan lebih baik kepada anak-anak.

“Dengan keadaan hidup yang cukup-cukup makan, saya mohon ada pihak prihatin dengan kesukaran yang terpaksa ditanggung ini,” katanya.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, P Saravenan berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah dimaklumkan keadaan keluarga berkenaan bagi proses bantuan sewajarnya.

“Kita harap bantuan kepada keluarga ini dapat dipercepatkan untuk mengurangkan beban ditanggung,” katanya.

Sinar Harian

Bergaduh di tempat awam, dua beradik didenda RM500

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Dua beradik lelaki didenda Mahkamah Majistret Georgetown akibat melakukan pergaduhan di tempat awam.

Tertuduh, N. Rajasheelan, 24 dan adiknya, N. Theeban, 22, dari Medan Lumba Kuda juga dituduh bersama dengan tertuduh pertama, Iskandar Shah Abdul Rahman, 26.

Rajasheelan yang bekerja sebagai pekerja kilang itu didakwa bersama adiknya yang juga pekerja sambilan di sebuah bank dituduh melakukan pergaduhan di tempat awam.

Tertuduh pertama, Iskandar Shah bagaimanapun gagal hadir ke mahkamah, semalam.

Mengikut kertas pertuduhan, pada 7 Februari lalu, kira-kira jam 6.45 petang, ketiga-tiga tertuduh bergaduh sesama sendiri bersebelahan dengan Panthal Race Course, Jalan Kebun Bunga.

Atas kesalahan itu, ketiga-tiganya didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang mana boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama satu bulan atau denda RM200 atau kedua-duanya sekali.

Rajasheelan dan Theeban bagaimanapun mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan merayu supaya hukuman diringankan memandangkan mereka masih muda.

“Tolonglah rendahkan hukuman kami puan majistret, kami masih muda dan kami tidak akan lakukan kesalahan ini lagi pada masa akan datang,” kata Rajasheelan.

Rajsheelan dilihat beberapa kali mengesat matanya kerana terlalu sedih selepas disabitkan bersalah atas pertuduhan itu.

Majistret Noor Aini Yusof kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM500 kepada kedua-dua tertuduh dan sekiranya gagal bayar akan dikenakan satu bulan penjara.

Sinar Harian

The Star sudah buat kesalahan kali ketiga

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 29 Feb: Akhbar MCA, The Star sehingga kini sudah dua kali menerima amaran dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana menghina dan tidak sensitif dengan Islam.

(Gambar poster konsert Erykah tidak mempunyai tatoo nama Allah tetapi The Star menyiarkan gambar yang ada tatoo nama Allah)

Ini bermakna, penyiaran gambar penyanyi Amerika, Erykah Badu yang bertatoo nama Allah pada dadanya yang terlanjang adalah kali ketiga.

"Kes pertama adalah tulisan seorang editor The Star yang mempertikaikan tindakan Mahkamah Syariah di Pahang yang menjatuhkan hukuman sebat terhadap seorang wanita yang meminum arak.

"Kes kedua adalah kes daging babi panggang untuk berbuka puasa yang disiarkan bulan Ramadhan lalu.

"Kes Erykah ini adalah kes yang ketiga yang dihadapi The Star," kata satu sumber kepada Harakahdaily.

Ekoran itu, The Star dijangka tidak akan dilepaskan begitu sahaja oleh KDN kali ini melainkan ada tangan-tangan ghaib yang menghalang tindakan diambil.

"Sebelum ini sudah dua amaran...takkan kali ketiga amaran juga. Kalau begitu, benarlah tuduhan PAS bahawa pentadbiran negara yang diterajui Umno membiarkan akhbar MCA bebas untuk menghina Islam," kata sumber berkenaan.

Menurut sumber itu juga, beliau sendiri terkejut apabila membaca laporan berkenaan kerana gambar Erykah yang disiarkan itu terlalu besar iaitu setengah muka surat akhbar berkenaan.

"Hanya orang buta sahaja yang tidak lihat gambar itu dan saya tidak faham kenapa The Star berbuat demikian," katanya kepada Harakahdaily.

The Star menyiarkan setengah muka gambar penyanyi Amerika, Erykah Badu yang bertatoo nama Allah di dadanya yang terlanjang menjelang konsertnya di Kuala Lumpur.

Padahal poster asal Erykah tidak adapun tatoo nama Allah itu.

Ekoran penyiaran itu, tiga editor kanan The Star telah dipanggil oleh KDN untuk memberikan penjelasan.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, KDN akan bertindak berdasarkan penjelasan yang dibuat oleh ketiga-tiga editor The Star itu.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu dalam kenyataannya kepada Harakahdaily mendakwa Umno yang memberi lesen kepada MCA melalui akhbarnya untuk menyerang Islam.

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan, Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya dan NGO Isma mendesak agar permit The Star digantung atau ditarik balik.

Harakah Daily

Pindah minyak haram

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SENAI – Agensi Penguat­kuasaan Maritim Malaysia (Maritim) berjaya menggagalkan cubaan pemindahan sejumlah 443,747 liter minyak secara haram oleh dua kapal tangki di perairan Pengerang, Kota Tinggi, kira-kira jam 11 malam, Ahad lalu.

Ketua Penguatkuasanya, Laksamana Pertama Maritim, Adon Shalan berkata, kegiatan berkenaan dikesan kira-kira 2.4 batu nautika berhampiran selatan Tanjung Kapal.

"Hasil pemeriksaan men­dapati kira-kira 95,762 liter minyak jenis Marine Fuel Oil (MFO) dipindahkan selepas anggota Maritim menahan kedua-dua kapal terbabit ketika melakukan rondaan rutin Operasi Perkasa Selatan menggunakan KM Manjung.

"Dalam operasi diketuai Leftenan Maritim, Boon Chin Chau bersama dua pegawai dan 17 anggota mengesan dua kapal berkenaan berhimpit antara satu sama lain dalam keadaan mencurigakan serta disyaki melakukan pemindahan minyak dari kapal ke kapal," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Pihak Maritim turut menahan kesemua kapal itu iaitu 27 anak kapal membabitkan 17 warga Indonesia, lapan (Myanmar) dan dua (Singapura) berumur antara 23 hingga 56 tahun.

Beliau berkata, kapten dan ketua jurutera kedua-dua kapal itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Wilayah Selatan untuk siasatan lanjut.

"Kesemua kapal juga gagal mengemukakan dokumen kebenaran atau permit daripada Pengarah Laut untuk melakukan aktiviti pemindahan minyak selain gagal memaklumkan ketibaan kapal dalam perairan Malaysia dan membayar Dius Api.

Kedua-dua kapal ditahan kira-kira jam 11.30 pagi keesokan harinya selepas Maritim dimaklumkan oleh Jabatan Laut tiada permohonan sebarang permit atau kelulusan untuk melakukan aktiviti pemindahan pada hari berkenaan.

Adon berkata, pemilik kapal terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 491B (1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana melakukan pemindahan minyak dari kapal ke kapal tanpa kebenaran.

Jika sabit kesalahan, pemilik kapal boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sinar Harian

Perigi empat abad kekal asli

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KAMPUNG BALAISAH – Perigi lama berusia 400 tahun masih digunakan penduduk di sini untuk mendapatkan bekalan air kerana airnya tidak pernah kering walaupun ketika musim kemarau panjang melanda.

Ia dibina daripada bata tanah yang disusun padat dan kemas dengan ketinggian kira–kira 10 meter.

Uniknya, sehingga ke hari ini ciri–ciri seni bina warisan lama masih terpelihara kerana perigi tersebut tidak pernah ‘diusik’ untuk penambahbaikan dan sesuai dijadikan produk pelancongan.

Imam Masjid Al–Ula, Abdul Razak Sulaiman berkata, sehingga ke hari ini, air dari telaga tersebut masih digunakan penduduk kampung di sini terutamanya untuk berwuduk.

“Mana-mana jemaah yang bersolat di Madrasah Al–Ula Kampung Balaisah, Pasir Pekan akan berwuduk dengan air dari telaga tersebut.

“Airnya jernih dan untuk mendapatkan air dari telaga ini masih boleh menggunakan timba untuk mencedoknya.

“Bagaimana pun dek arus pemodenan, disediakan pam air bagi mempercepatkan proses mengambil air dari telaga tersebut,” katanya.

Seusia dengan perigi itu juga adalah madrasah Al–Ula Kampung Balaisah, Pasir Pekan atau lebih dikenali sebagai balaisah tua, satu satunya balaisah terawal wujud di kampung tersebut yang diasaskan tokoh agama terkemuka di Pasir Pekan iaitu Tok Awang Bahar, berasal dari Minangkabau.

Di zaman Tok Awang Bahar, Kampung Balaisah merupakan pusat pengajian pondok dan ramai pelajar dari seluruh pelosok kampung menuntut agama dengannya.

Malah nama Kampung Balaisah diambil sempena nama balaisah tersebut.

Abdul Razak yang merupakan generasi ketujuh keturunan Tok Awang Bahar berkata, ada tercatat di tangga madrasah Al–Ula Kampung Balaisah mengatakan madrasah tersebut siap dibina pada tahun 1245 Masihi.

“Kalau balaisah itu dibina 400 tahun lalu, bererti perigi tersebut pun digali 400 tahun yang lalu juga.

“Perigi tersebut tidak pernah dibaiki, cuma balaisah itu sudah dua tiga kali ia ditambahbaikkan,” katanya.

sianr harian/-

Elektrik putus, rumah hangus

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

AYER KEROH - Sebuah keluarga mengalami kerugian hampir RM60,000 apabila sebahagian rumah kediaman mereka di Taman Tasik Utama, di sini musnah terbakar, pagi semalam.

Kebakaran membabitkan dua bilik tidur di bahagian tengah dan belakang, selain sedikit mengenai dapur rumah milik juruteknik, Hanizam Shariff, 36 dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi.

Menurut Hanizam, punca kebakaran masih menjadi tanda tanya dia sekeluarga berikutan fius elektrik di bahagian luar rumah sudah ditanggalkan selepas bekalan eletrik terputus, petang kelmarin.

“Rumah kami tiada beka­-lan elektrik selepas saya balik dari kerja petang semalam (kelmarin). Selepas menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB), mereka datang membuat pemeriksaan kemudian menyatakan terdapat masalah pendawaian serta mencadangkan fius dibuka sementara ia diperbaiki hari ini (semalam),” katanya.

Berikutan itu juga, katanya, dia dan isteri, Norazlina Mat Jelas, 36 mengambil keputusan untuk bermalam di rumah ibu saya di Bemban, Jasin.

Menurut Hanizam, dia terkejut dan seakan tidak percaya apabila menerima panggilan daripada jirannya kira-kira 8.30 dan memak­lumkan kebakaran itu.

“Tiada barang dapat diselamatkan semasa sampai melihat bomba sedang membuat kerja pemadaman api. Barang elektrik dan perabot musnah, selain buku anak-anak dan isteri basah terkena air.

“Kerugian dialami kami dianggarkan sebanyak RM60,000 termasuk kos membaiki bumbung yang rosak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Wan Azlan Abdul Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.40 pagi dam tiba kira-kira lima minit selepas itu.

“Api sedang marak di bahagian belakang rumah ketika kita tiba sebelum ia dapat dikawal jam 9.05 dan padam sepenuhnya kira-kira 15 minit kemudian. Operasi membabitkan dua jentera bomba dari Ayer Keroh dan Balai Bomba Bukit Katil membabitkan 17 anggota termasuk lima pegawai,” katanya.

Wan Azlan berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kebakaran dan pihaknya mengakui fius elektrik di luar rumah itu sudah dibuka ketika pemeriksaan dilakukan.

Sinar Harian

Bapa buntu cari anak bongsu

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PERAI – “Saya bimbang akan keselamatan anak saya, saya mahu dia pulang dan bersekolah semula. Tambahan, tahun ini dia bakal menduduki PMR (Penilaian Menengah Rendah),” luah seorang bapa, Abu Bakar Bidin, 50, yang buntu selepas anak bongsunya, Nur Amira,15, tidak pulang ke rumah sejak hampir dua bulan lalu.

Abu Bakar ketika ditemui di rumahnya di Kampung Manis, di sini, berkata, anaknya dikatakan menaiki bas di Terminal Bas Penang Sentral, kira-kira jam 3.30 petang, 10 Januari lalu selepas tamat waktu persekolahan.

Menurutnya, maklumat itu diperoleh daripada dua rakan sekolah Nur Amira yang mengakui menghantar anaknya itu ke sana, namun, tidak diketahui destinasi yang dituju.

Bagaimanapun, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Inderawasih itu kini dipercayai berada bersama ibu kandungnya, Rohani Ahmad, 46, di Ipoh, Perak.

“Saya tidak tahu apa punca hingga dia (Nur Amira) sanggup bertindak keluar dari rumah. Saya pelihara dia dari kecil, sejak dia berumur enam tahun selepas berpisah dengan bekas isteri pada 2003 lalu.

Sepanjang tempoh itu kami tidak mempunyai masalah, malah dia merupakan anak kesayangan dalam keluarga, termasuk ibu tirinya.

“Bagaimanapun, perubahan ketara mula dilihat pada dirinya sejak Januari 2011. Dia yang sebelum ini seorang anak yang mendengar kata tiba-tiba menjadi seorang yang degil dan sering keluar hingga larut malam,” katanya.

Bekas pesara kerajaan itu berkata, anaknya itu pernah keluar dari rumah Februari tahun lalu dan tinggal bersama kakaknya di Kulim, Kedah selama sebulan dengan alasan mahukan kebebasan.

Nur Amira yang ketika itu bersekolah di SMK Agama Al-Masriyah, Bukit Mertajam, dikatakan sering ponteng, dan tidak sampai sebulan di sana, dia meminta bapanya menukarkannya ke SMK Kampung Dato’ Ahmad Said di Ipoh dan tinggal bersama ibunya, namun, anaknya itu didapati tidak ke sekolah sepanjang berada di sana.

Lantaran itu, dia mendaftarkan anaknya di SMK Taman Inderawasih bermula dari sesi persekolahan 2012 awal Januari lalu.

Abu Bakar berkata, pada mulanya Nur Amira itu ke sekolah seperti biasa, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku, namun dia terkejut apabila anaknya itu tidak pulang ke rumah pada hari kejadian.

Menurutnya, sejak kehilangan Nur Amira, kehidupannya menjadi tidak tenteram, apatah lagi dia mempunyai masalah kesihatan, kencing manis, jantung dan hati bengkak.

Disebabkan masalah itu juga, tahap kesihatannya semakin tidak menentu dan sering berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit yang dialami.

“Saya dan anak-anak lain sudah berusaha mencarinya, tetapi, tidak juga berjumpa. Telefon bimbitnya dimatikan, begitu juga ibu kandungnya. Pada 20 Januari lalu saya mendapat tahu Nur Amira ada di rumah neneknya di Pahang, tetapi, apabila ditanya, saya diberitahu dia tiada di sana dan sudah pulang ke rumah ibunya,” katanya.

Berikutan itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Perai 21 Februari lalu bagi meminta kerjasama polis untuk mencari anaknya.

Menurutnya, dia akan pergi ke Ipoh, Khamis ini untuk mencari anaknya, namun dalam masa sama meminta kerjasama orang ramai yang terlihat akan anaknya supaya menghubunginya di talian 019-4131639 atau 013-4071327.

Sinar Harian

Lagi sarang edar dadah diserbu

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

LUNAS - Tiga lelaki berusia 20 hingga 30 tahun ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, ketika serbuah dilakukan disebuah rumah di Kampung Keladi kira-kira jam 11 malam, semalam.

Ketika serbuan yang di Ketuai Inspektor Mohamad Amin Mat Yassin bersama Ketua Balai Polis Lunas, Sarjan Mejar Azizi Bakar dilakukan, ke semua suspek cuba melarikan diri melalui pintu belakang bagaimanapun berjaya ditahan.

Dari pemeriksaan dibuat, polis menemui beberapa plastik lut sinar dipercayai dadah seberat 3.06 gram.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Ghuzlan Saleh berkata, salah seorang suspek terlibat cedera di tapak tangan kanannya kerana tersangkut di dawai kawat ketika cuba melarikan diri.

Menurutnya, pihak polis mene­rima maklumat daripada orang ramai dan membuat pemantauan kira-kira seminggu sebelum serbuan dibuat.

“Ketika diserbu polis, ke semua suspek berada di sebuah bilik di bahagian tepi rumah mereka. Selain puluhan plastik lut sinar turut dite­mui alat menghisap dadah.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Lunas sebelum dipindahkan ke IPD Kulim. Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati ke semua mereka positif dadah, “ katanya.

Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Bahaya 1982 kerana memiliki dadah.

Ghuzlan berkata, polis mengenal pasti individu, kumpulan dan lokasi menghisap dadah dan akan membuat serbuan pada bila-bila masa dan semua maklumat itu diperoleh hasil kerjasama orang ramai.

“Dadah merosakkan masyarakat terutama golongan muda. Apa lebih membimbangkan ia mula menular dalam kalangan remaja bawah umur.

“Ini merupakan satu pertumbuhan yang tidak sihat dan polis akan terus memerangi mereka terlibat. Sehingga kini pelajar lelaki dan perempuan turut terlibat dalam kegiatan tidak bermoral ini dan lebih menyedihkan ada antara mereka juga merupakan pengedar dadah yang aktif,“ katanya.

Sinar Harian